NOVEL :KAHWIN 6 BULAN JE?! BAB 22
Written at Friday, June 14, 2013 [ 10 ] comments

BAB 22
“Ya Allah,cantiknya kau Xuna!”
Mata Ariel membulat apabila memandang sebatang tubuh langsing yang molek berkebaya merah jambu bersulam benang emas.Dengan kulit gebu kemerahan,rambut ikal mayang paras pinggang,hidung yang mancung dan bibir merah merekah,Ixuna kelihatan seperti puteri bangsawan yang berbaju tradisional melayu ketika itu.Untung betul Eric kerana dapat isteri yang cantik seperti Ixuna.Tiba-tiba saja Ariel berasa cemburu.
“Abang,akak cantik sangat kan? Macam puteri dalam cerita dongeng.” Elya dan Reny yang sama berkebaya mengapit sisi Ixuna.Eric yang berdiri tidak jauh dari situ hanya mendiamkan diri.
“Apalah sangat bagusnya menunjukkan kecantikan pada manusia yang tak sepatutnya berbanding menunjukkan kecantikan yang dinilai oleh Allah.”
Ixuna yang tadinya tidak sabar menunggu pujian daripada suaminya mengetap bibir geram mendengar jawapan berbisa Eric.Sah-sah Eric memerli dia.Dia tidak menyangka yang usahanya bersolek seperti itu langsung tidak menarik perhatian Eric.Sedikit sebanyak hatinya terguris.Suaminya kelihatan selamba menonton televisyen dan tidak endah untuk melihat dirinya.
Petang itu,Jannah dan Yahya mengajak mereka semua berkunjung ke rumah jiran yang berada di hujung kampung .Jiran mereka itu mengadakan kenduri kahwin anak perempuan mereka.Eric menahan geram dan cemburu dalam hati.Tidak suka melihat kecantikan Ixuna dilihat lelaki lain walaupun Ariel.Bagi Eric kecantikan Ixuna hanya untuk tatapan persendirian dia sahaja.Namun,dia tidak mampu memaksa isterinya itu.Tipulah kalau dia cakap Ixuna tidak cantik.Bagi Eric tiada perempuan yang lebih cantik dalam dunia berbanding isteri comelnya.
“Cucu nenek ni dah comel,tapi kalau pakai tudung mesti lagi cantik dan menawan.” Jannah yang menyedari wajah cemberut Ixuna segera mendapatkan cucu menantunya itu.Ixuna terkebil-kebil memandang seraut wajah tua itu sebelum dia memegang rambutnya.Dia termenung sejenak,menjeling Eric sekilas dan bergegas masuk ke dalam bilik tidur.Tidak sampai sepuluh minit,Ixuna keluar dari bilik dan dia terus menuju ke arah suaminya yang berada di ruang tamu.
“Abang,macam ni okey tak?” Ixuna berdiri di sisi Eric yang tidak memandangnya.
Apabila Eric mengangkat kepala ,dia terpana.Matanya membulat melihat keindahan wajah di hadapannya.Isteri comelnya kelihatan ayu bertudung sarung warna merah jambu pekat dengan taburan batu swarovsky di sekelilingnya.Jantung Eric berhenti bergerak seketika.Tidak menyangka yang isterinya begitu cantik!
“Abang,okey tak Xuna pakai macam ni?” Ixuna bertanya lagi.Bimbang jika pemakaiannya masih tidak kena di mata Eric.Eric baru tersedar daripada terus merenung Ixuna dan dia berdehem kecil.Dia bangun dari duduk dan berdiri di hadapan Ixuna.Hati Ixuna berdebar-debar apabila Eric merenungnya tajam.
“Bidadari pun tidak dapat menandingi kecantikan sayang.Sayang abang nampak cantik sangat.Lebih cantik daripada melihat ratusan bunga yang kembang mekar dan lebih cantik daripada melihat gugusan salji turun dari langit.” Eric berbisik lembut di telinga isterinya.
Ixuna tidak dapat menyembunyikan senyuman gembira.Pujian Eric membuatkan dia rasa riang tidak tentu pasal.Belum sempat Ixuna menyambung kata wajah Ixuna merah padam apabila bibir Eric selamba mendarat di pipi gebunya.Suaminya itu sekarang semakin berani menyentuhnya! Tapi,Ixuna tidak rasa hendak marah dengan perbuatan Eric itu.Dia rasa senang hati pulak!
“Jomlah Eric,Xuna gerak.Malam nanti baru sambung aksi romantik kamu berdua dalam bilik.” Teguran Yahya menambahkan merah di wajah Ixuna.Eric sekadar tersenyum sumbing.Langsung tidak terkesan dengan perlian datuknya itu.Hati dia bahagia melihat isteri comelnya berhijab.Dia memanjat kesyukuran ke atas Ilahi kerana membuka pintu hati Ixuna untuk menutup aurat.
…………….
Suasana di rumah Puan Rosnani meriah dengan kedatangan ratusan tetamu yang dijemput hadir bagi meraikan majlis perkahwinan anak bongsunya,Sharifah.Sebaik tiba di majlis kenduri kahwin itu,Jannah dan Yahya mendapatkan Rosnani dan suaminya Rasyid.Biasalah jiran sekampung,semua mempunyai ikatan sillaturrahim yang kukuh.Elya,Reny dan Ariel tidak tunggu lama.Terus menyerbu khemah makanan.Macam orang tidak pernah makan sahaja gaya mereka bertiga.Sementara Eric merenung Ixuna tidak puas-puas sejak daripada Teratak Kasih lagi.
Ixuna memandang sekeliling dengan senyuman lebar.Kelihatan orang ramai bersalaman dan berbual mesra.Set karaoke dipasang di sebelah khemah makanan yang bertaut dengan kain merah dan hijau.Warna yang terang dan menarik perhatian.Pelbagai lagu didendangkan untuk menghibur pendengaran para tetamu yang hadir.Ixuna membelek dirinya daripada atas hingga ke bawah sebelum tersenyum lagi.Mujurlah dia berkebaya dan tidak berjeans atau bertshirt.Tidak menyangka yang semua perempuan dalam majlis itu mengenakan pakaian tradisional melayu seperti baju kurung dan kebaya.Hanya lelaki yang berpakaian bebas tetapi masih menutup aurat.
“Sayang termenung apa lagi tu? Tak nak makan ke?” Tangan Ixuna diraih lembut.
Eric melihat isterinya itu seperti sedang mengelamun.Ixuna memandang Eric sebelum mengangguk-angguk kepala.Dibiarkan saja suaminya itu memimpin tangannya ke khemah menjamu selera.Eric dan Ixuna berdiri di deretan makanan yang dihidang secara buffet.Terdapat nasi minyak dengan lauk ayam masak merah,daging lembu masak hitam,daging kambing masak kurma,aca nanas,pudding caramel dan air buah-buahan.Mengikut pandangan Eric,majlis yang diadakan itu boleh dikira berkos tinggi juga buat orang kampung.
“Saya nak ambil semua makanan ni boleh?” Terkebil-kebil mata Ixuna memandang wajah Eric sambil memegang pinggan polisterin.Eric yang melihat wajah comel itu menahan gelak.
“Perut sayang tu kecil je okey.Jangan tamak nak ambil makanan banyak-banyak.Ambil sikit je dulu.Nanti tak habis makan,membazir.Kalau tak cukup nanti baru tambah.” Jawab Eric sambil mengusap lembut pipi kanan Ixuna.Ixuna angguk-angguk kepala sebelum mula mengambil makanan dengan agresifnya.
Mata Ariel,Elya dan Reny membulat apabila melihat sepinggan penuh makanan yang dibawa Ixuna.Gadis itu melabuhkan punggung di sisi Elya berhadapan dengan Eric yang menggeleng-geleng kepala.Susah betul hendak bercakap dengan isteri comelnya yang macam tak faham bahasa melayu itu.Orang kata jangan ambil makanan banyak-banyak,diangkutnya sebanyak yang boleh pulak! Sabar jelah!
“Akak larat ke nak habiskan semua makanan ni?” Tanya Elya sambil melihat pinggan Ixuna yang dipenuhi semua jenis makanan.Tidak cukup dengan itu,Ixuna turut mengambil dua mangkuk pudding caramel dan dua cawan jus laici.Mengapa dua dan bukannya satu? Apabila Elya memandang ke arah Eric,abangnya itu juga ada makanan dan minuman yang sendiri? Maknanya dua bahagian makanan yang diambil Ixuna itu adalah untuk dirinya seorang!
“Kita perlu makan dengan banyak untuk meningkatkan tenaga batin.” Jawapan Ixuna menyebabkan Ariel dan Eric sama-sama tersedak air yang diminum.Wajah Elya dan Reny kemerahan sementara Ixuna beriak selamba dan memulakan suapan.
“Apa yang kau dah buat kat Ixuna ni bro? Semangat sekali nak menguatkan tenaga batin bagai? Suruh dia minum air kacip Fatimah jelah.” Ariel berbisik di telinga Eric sebelum sepupunya itu menyiku perutnya kuat.Ariel mengaduh kesakitan dan tergelak kecil.
Eric memandang Ixuna sekilas sebelum menghela nafas pendek.Dahlah blur dan tak pandai dengar nasihat orang.Mulut main lepas cakap ikut sukahati dia saja.Tapi..Ixuna tetap comel! Dia tahu yang Ixuna langsung tidak berniat tentang satu perkara pun yang diperkatakannya.Mungkin gadis itu membicarakan fakta yang dipelajarinya sebelum ini.
“Hai Eric,dah lama tak nampak you.You bila balik sini?” Sedang mereka rancak makan dan berbual,seorang perempuan datang menyapa Eric.Ixuna melihat gadis yang berkebaya ketat tanpa tudung itu dari atas hingga ke bawah.Cantik dan seksi.Badan lentik habis.Cuma..mukanya macam tua sikit.Mungkin perempuan itu berusia awal 30-an.
“Oh,Diyana,I baru je balik sini.You balik kampung untuk datang majlis kerja kahwin adik you ke?” Wajah Eric berubah apabila melihat muka Diyana.Boleh terlupa pulak yang Diyana adalah anak sulung kepada Puan Rosnani.Eric beristighfar dalam hati apabila melihat baju yang dipakai gadis itu.Macam sarung nangka!
“Yalah.Takkanlah I nak balik kampung suka-suka.I banyak kerja dekat KL tu.Ini pun I balik sebab mak sibuk suruh I balik.” Dengan tergedik-gedik Diyana menjawab pertanyaan lelaki idamannya itu.Lelaki yang digilainya sejak dahulu lagi.
“Gila betullah dia ni.Makan macam raksasa.” Ariel langsung tidak mempedulikan kedatangan Diyana.Dia lebih berminat memerhatikan Ixuna makan hingga licin semua makanan yang diangkut tadinya.
Eric turut tercengang melihat isterinya itu.Ada saka ke apa sampai boleh makan dengan begitu banyak? Badan dahlah kecil molek je? Astagfirullahal-Azim…apa yang kau merepek ni Eric! Ixuna membasuh tangan dengan kendi yang terdapat di atas meja.Ariel berbaik hati menuangkan air ke atas tangan gadis itu.Tisu dihulurkan dan Ixuna mengelap mulut.Dia bersandar pada kerusi dengan senyuman puas.Perutnya yang lapar sudah diisi dengan penuh! Sekarang dia banyak tenaga! Eric masih tercengang melihat isterinya itu.Teruk betul perangai! Lain kali dia tidak mahu membawa Ixuna ke majlis kahwin orang.Bukan apa,takut isterinya itu menghabiskan makanan sebelum orang lain sempat makan!
“You dah makan Eric?” Diyana bersuara lagi apabila Eric kelihatan tidak mengendahkannya.
“Dah.” Buta ke apa? Tak nampak ke pinggan polistrin dengan sisa makanan yang terdapat di hadapannya? Bentak Eric dalam hati.
“Ketatnya kain dia.Tak takut koyak dekat bahagian punggung ke?”
Pertanyaan Ixuna ke arah Reny dengan suara yang agak kuat menyebabkan Diyana berhenti daripada ingin berbual lanjut dengan Eric.Dia memandang gadis comel yang bertudung merah jambu itu lama.Siapakah gadis itu? Adik Eric ke? Setahunya Eric hanya mempunyai seorang adik perempuan iaitu Elya.Reny adalah adik Ariel.
“Boleh I tahu you ni siapa? Kawan Elya dan Reny ke?” Diyana bertanya dengan nada ingin tahu.Dia memaafkan gadis comel itu akan kebiadaban bicaranya sebentar tadi kerana Diyana memikirkan Ixuna masih budak-budak hingusan.
“Oh Diyana,I lupa nak kenalkan..this is my..”  Bicara Eric mati begitu sahaja apabila Ixuna bangun daripada duduk dan berlari keluar daripada khemah makanan.Dia terkejut besar dengan reaksi isterinya itu.Namun Eric pantas tergelak apabila melihat Ixuna khusyuk memerhatikan rombongan pengantin lelaki yang sedang diarak dengan kompang tidak jauh daripada situ.Ingatkan kenapalah tadi! Bikin dia cemas saja.Eric,Ariel,Elya dan Reny meninggalkan Diyana dan mengikuti jejak Ixuna.
“Wow,sedapnya!” Ixuna terjerit kecil dengan wajah yang begitu girang.Eric yang telah berdiri di sisi gadis itu berkerut dahi.
“Apa yang sedapnya sayang? Tak habis dengan makanan dia ni ek?”
“Bukan makananlah.Bunyi kompang sedap..Eh sedap? Bukan sedap tapi indah dah best.” Ixuna membetulkan ayat dan menghayati bunyi paluan kompang yang bergema di segenap penjuru itu.Bunyi itu agak bingit namun bisa menggembirakan hatinya.Bunyi yang menggambarkan perasaan gembira dan kemeriahan majlis itu.
Eric tidak memberi sebarang respon terhadap kata-kata Ixuna yang kedengaran pelik.Dia membiarkan Ixuna melihat dan menghayati suasana itu.Sedikit sebanyak Eric berasa terkilan kerana tidak mengadakan majlis perkahwinan gaya kampung sewaktu dia berkahwin dengan Ixuna dulu.Dia fikir Ixuna adalah gadis bandar yang sukakan perkahwinan penuh kemewahan dan glamour.Namun,Eric tersilap perhitungan.Hanya dengan majlis seperti ini,Ixuna mampu mengukir senyuman mekar.Senyuman mekar yang membuatkan jiwa Eric melayang-layang saat memerhatikan gadis itu.
“Eric,awak tak pandai bersilat ke?” Pertanyaan Ixuna mematikan lamunan Eric.
“Bersilat? Pandai sayang.Kenapanya?” Belum sempat Eric mendapatkan jawapan daripada Ixuna,tubuhnya di dorong kuat ke hadapan oleh isterinya itu.
Eric terkedu bila mendengar orang ramai bersorak.Di hadapannya kelihatan pengantin lelaki sedang duduk di sebuah kerusi sambil dikipas oleh pengapit.Aduhai,macammana dia boleh tidak sedar yang pengantin lelaki telah tiba di perkarangan rumah dan disambut oleh persembahan silat! Mana-mana penduduk kampung yang berminat boleh berhadapan dengan pengantin lelaki dan menunjukkan bunga silatnya.Adat melayu yang menjadi ikutan hingga sekarang.Eric..yang kau pergi cakap pandai bersilat dekat Ixuna,kenapa? Masaklah kau sekarang!
“Abang,you can do it!” Jeritan Ixuna dengan wajah ceria tidak jauh dari tempat Eric berdiri membuatkan pemuda itu bersemangat serta merta.Pantas saja dia membuka langkah silat yang pernah dipelajari di sekolah menengah dahulu.Walaupun tidak berapa mahir,Eric tetap mahu melakukan perkara yang mampu menggembirakan Ixuna.Selesai bersilat tidak sampai seminit,Eric bersalaman dengan pengantin lelaki sebelum berlalu mendapatkan Ixuna.
“Macammana dengan gaya abang bersilat? Okey tak?” Tanya Eric dengan wajah berseri-seri ke arah Ixuna.
“Macam poyo…Saya rasa saya mampu bersilat jauh lebih baik berbanding awak.” Apabila orang lain tidak mendengar,Ixuna kembali memanggil Eric dengan gelaran saya dan kau.Eric terpempam,bicara Ixuna mampu menjatuhkan semangatnya dalam sekelip mata.Mengapa isterinya itu langsung tidak tersentuh dengan apa yang dia tunjukkan?
Ixuna menahan gelak apabila melihat wajah Eric yang berubah kosong.Tidak menyangka yang suaminya itu sensitif orangnya.Dia yang tadi berlalu ke bahagian hadapan segera mendekatkan diri dengan Eric. “Walaupun gaya awak bersilat sangat poyo,awak tetap menjadi pensilat yang paling istimewa di mata saya.Sebab bila orang lain yang bersilat,saya langsung tak teruja untuk melihat.” Ixuna menepuk lembut bahu Eric yang terkebil-kebil memandangnya.Tidak sampai sesaat keceriaan kembali terpamer di seraut wajah tampan itu.
“Nakal ya? Suka sangat buat orang terasa hati.” Eric menarik hidung mancung Ixuna sebelum memaut erat bahu isterinya.Lega rasa hati mendengar ungkapan Ixuna yang dia tidak tahu ikhlas atau tidak.Mereka berdua terus menyaksikan pengantin lelaki diarak untuk masuk ke dalam rumah pengantin perempuan.Punyalah susah hendak bersanding,banyak sangat adat yang perlu diikuti.Bebel Eric dalam hati.
“Eric,banyak ke duit yang dia orang bagi?”
Ixuna bertanya apabila melihat sekumpulan perempuan memagar pintu rumah pengantin perempuan dengan tubuh mereka.Menghalang rombongan pengantin lelaki daripada masuk ke dalam.Mereka meminta bayaran tol daripada rombongan pengantin lelaki sebelum memberikan laluan.Beberapa ketika pengapit pengantin lelaki kelihatan mengeluarkan banyak sampul kecil seperti sampul duit hari raya dan mengagihkannya kepada perempuan-perempuan itu.Kata Eric adat orang kampung di negeri Johor kebanyakkan memang begitu.Sebelum membenarkan pengantin lelaki melangkah masuk ke dalam rumah pengantin perempuan,mereka perlulah membayar tol terlebih dahulu.
“Kalau sayang nak tahu,sayang pergilah minta sampul duit tu.” Kali ini giliran Eric mendorong tubuh isterinya ke hadapan.
Wajah Ixuna merah padam apabila dia hampir terlanggar pengantin lelaki yang ingin memasuki rumah.Perempuan-perempuan yang memagar laluan tadi telah ke tepi setelah mendapat bungkusan duit masing-masing.Kini hanya Ixuna yang menghalang lalu lintas pengantin lelaki.Ixuna mengetap bibir sambil menjeling Eric yang ketawa berdekah beberapa kaki disisinya.Suka hati betul dia!
“Pokok senduduk dan pokok semalu,segar kehijauan di bawah sinaran rembulan,pihak tuan masih tidak boleh lalu,kerana masih ada tol yang memagari jalan.”
Pantun spontan daripada Ixuna menyebabkan Eric melopong.Bukan itu sahaja bahkan rombongan pengantin lelaki tersenyum-senyum melihat gadis yang menghalang laluan mereka itu.Pihak pengantin perempuan yang tidak mengenali Ixuna,mula berbisik sesama sendiri.
“Dari hulu klang ke hulu langat,bawa kenderaan laju-laju,setakat bayar tol apalah sangat,jika dapat melihat bidadari salju.” Pantun empat kerat merepek yang diutarakan oleh pengapit pengantin lelaki menyebabkan perkarangan rumah gamat dengan sorakan orang ramai.Tidak pernah dibuat orang,hendak masuk ke rumah pengantin kena berpantun bagai.Ingat hendak masuk meminang ke apa?!
“Buah nangka dan buah cempedak,jatuh menghempap rimbunan dedalu,pengantin lelaki nak bersanding atau tidak,cepatlah bayar tol dan saya akan berlalu.” Ixuna mana pernah mengaku kalah.Dia buat muka selamba dan masih memagari jalan.
Akhirnya,pengantin lelaki yang berpakaian serba hijau menarik keluar sepuluh sampul kecil daripada poket pengapitnya dan menyerahkan sampul itu kepada Ixuna.Jika dibiarkan gadis comel itu berbalas pantun dengan pengapit,mungkin sampai ke malam mereka masih berdiri di luar rumah pengantin perempuan.Ixuna tersenyum lebar sebelum berlalu ke tepi.Pengapit pengantin lelaki sempat mengeyit mata gatal ke arah Ixuna sebelum masuk ke dalam rumah.
“Yeah! Saya dapat!” Ixuna melayang-layangkan sampul duitnya di hadapan Eric yang berwajah cemberut.Bengang betul apabila melihat ada lelaki yang ingin bermain mata dengan isteri comelnya.Berdesing telinga Eric sebentar tadi apabila pemuda yang berbalas pantun dengan Ixuna mengatakan isterinya itu umpama bidadari salju.Dia tahulah isterinya itu putih gebu.Tapi tak perlulah nak pandang lebih-lebih!
“Sayang,abang tak suka..”
“Ha,50 sen je?” Kata-kata Eric mati begitu sahaja apabila Ixuna menunjukkan syiling 50 sen yang dikeluarkan daripada sampul yang didapati sebentar tadi.Wajah ceria Ixuna berubah mendung tiba-tiba.
“Habis tu sayang ingat dia orang nak isi berapa ringgit duit dalam sampul tu?”
“Paling kurang 50 ringgit! Tak pun lima ratus!” Eric segera menekup mulut Ixuna apabila merasakan suara isterinya itu sangat nyaring.Dia tidak mahu mendapat malu dengan sikap kebudak-budakkan Ixuna itu.
“Sayang,muflislah pengantin lelaki kalau satu orang yang pagar rumah tu nak kena bayar lima ratus ringgit.Sayang ingat dia orang jutawan ke?” Soal Eric perlahan.Kasihan pulak melihat wajah comel yang mula mengeluarkan semua syiling 50 sen daripada sepuluh sampul yang diperoleh dan disusun atas telapak tangan.
“Em..tapi saya malu sebab nak kena berpantun tadi.Patutnya dia orang bayar saya mahal.” Protes Ixuna tidak puas hati.Mula mempamerkan muncung itiknya.Pertama kali dalam hidup dia memagar perjalanan pengantin lelaki dan meminta bayaran tol.Ini semua Eric punya pasal! Wajah suaminya ditenung dengan perasaan bengang.
“Okey,abang yang salah.Nanti abang bayar dekat sayang lima ribu ringgit sebagai bayaran sayang memagar jalan tadi.Macammana?” Tawaran Eric membuatkan senyuman kembali bertandang di wajah itu.
“Ini yang saya suka ni.” Ixuna menyeringai sebelum menyerahkan ke semua duit syilingnya kepada seorang kanak-kanak yang kebetulan melintas di situ.
“Ha,mana duitnya?” Pantas sekali Ixuna menadah tapak tangan di hadapan Eric.Eric menahan gelak.
“Duit tu abang nak bagi dekat sayang,tapi sayang kena pulangkan dekat abang semula.”
“Kenapa pulak?”
“Yalah,abang pun nak bayaran lima ribu ringgit daripada sayang sebab sayang paksa abang bersilat tadi.Ini kali pertama abang bersilat di hadapan pengantin.” Jawapan Eric menyebabkan Ixuna melopong.
“Eric,awak penipu!” Geram betul Ixuna dengan gelagat suaminya itu.Saja hendak memperbodohkan dirinya! Eric mengekeh ketawa melihat wajah cemberut Ixuna.Materialistik betul! Tanpa disedari perlakuan pasangan itu diperhatikan oleh seseorang.
Ixuna dan Eric hanya mengintai daripada luar pengantin bersanding dalam rumah.Pada mulanya,mereka berdua ingin masuk dan melihat daripada dekat mempelai itu.Namun,orang ramai terlalu sesak dalam rumah.Jadi Eric dan Ixuna membatalkan niat mereka.Setelah kaki penat berdiri di tepi tingkap,Ixuna dan Eric bergerak menghampiri khemah orang yang sedang rancak berkaraoke.Pelbagai lagu perkahwinan dinyanyikan.Ixuna menggoyang-goyangkan kepala perlahan sambil bertepuk tangan riang.Eric yang melihat sekadar tersenyum simpul.
“Sayang,abang nak pergi tandas sekejap.Sayang tunggu sini ya?” Ixuna angguk-angguk kepala mendengar kata-kata Eric.Eric sempat mengusap kepala isterinya sebelum berlalu ke belakang rumah.
Mengenangkan Eric pernah bertandang ke rumah Puan Rosnani sebelum ini,dia tidak mempunyai masalah untuk menuju ke tandas.Melalui pintu belakang yang terbuka Eric melangkah masuk ke dalam rumah batu itu.Beberapa orang wanita di dapur sedang sibuk membungkus makanan untuk diagihkan kepada orang ramai bagi dibawa pulang ke rumah.Eric sempat tersenyum ke arah makcik-makcik kampung itu yang masih mengecam wajahnya sebelum terus ke tandas.Selesai qada hajat Eric bergegas keluar rumah.Ingin mendapatkan isterinya.Namun langkahnya dihalang oleh seseorang.
“Eric,you tak cakap lagi dengan I siapa budak tadi tu?” Wajah Diyana kelihatan bengang saat itu.Terngiang-ngiang di telinganya yang Eric memanggil gadis comel tadi dengan panggilan sayang.Mengapa Eric melayan gadis itu dengan begitu mesra? Setahu Diyana Eric bukanlah lelaki yang mudah melayan perempuan seperti Ariel.
“Oh,I lupa nak cakap.Perempuan yang you cakap budak tu adalah isteri I.Nama dia Rania Ixuna.” Jawapan Eric menyebabkan Diyana terpempam.Wajahnya yang tadi agak kemerahan bertukar pucat.Eric sudah berkahwin? Lelaki kegilaannya telah berkahwin dan dia tidak tahu?!
“You jangan nak tipu I.Bila you kahwin? Kenapa I tak tahu pun? I tengok budak tu macam sebaya adik you je? Takkan you kahwin dengan budak bawah umur?” Seperti machine gun mulut Diyana bertanya.Dia berpeluk tubuh menanti jawapan daripada Eric.
“I tak tipu you.I baru je kahwin,tak sampai sebulan pun.I ada beritahu datuk dan nenek I suruh beritahu keseluruhan orang kampung ni yang I nak kahwin dan jemput mereka hadir.Tapi mungkin orang kampung ni ramai tak kenal I dan KL pun agak jauh untuk pergi.I pasti nenek I ada cakap dekat mak you pasal I nak kahwin.Mungkin mak you lupa nak beritahu you.” Panjang lebar Eric menjawab.
Dipandangnya gadis sebayanya itu dengan pandangan meluat.Dia masih ingat yang Diyana pernah meluahkan perasaan cinta terhadapnya tiga tahun lepas dan dia menolak perasaan gadis itu bulat-bulat.Waktu itu dia dan Ariel sering bertandang ke kampung untuk melawat Jannah dan Yahya.Setiap kali datang gadis itu akan bertandang ke Teratak Kasih dengan membawa pelbagai jenis kuih muih.Dia dan Ariel langsung tidak menyentuh kerana bimbang terkena buatan orang.Dia bukan berfikiran negatif cuma mengambil langkah berjaga-jaga.
Eric kurang suka dengan sikap gedik Diyana yang selalu membangga-banggakan kerjanya sebagai penjaga butik di Kuala Lumpur.Hendak balik ke kampung pun apabila dipaksa oleh ibunya,Puan Rosnani.Eric tahu serba sedikit tentang gadis itu melalui Jannah.Jannah dan Yahya sendiri tidak suka jika Eric atau Ariel berbaik-baik dengan perempuan seperti Diyana.Mungkin ada yang tidak kena tentang perempuan itu dimata datuk dan neneknya.
“Ha,I lupa nak cakap,isteri I tu bukan bawah umur.Dia dah 25 tahun.Cuma muka dia tu babyface sangat.Sebab tu I kahwin dengan dia cepat-cepat.Takut dia dikebas lelaki lain.”
Eric tersenyum mengena sebelum berlalu meninggalkan Diyana yang wajahnya masam mencuka.Eric kembali bergerak ke kawasan khemah karaoke.Ingin mendapatkan Ixuna.Senyuman yang tadi terukir di bibir hilang begitu saja apabila mendengar sorakan orang ramai di hadapan khemah karaoke.Eric terasa nafasnya sesak dan wajahnya membahang menahan marah apabila melihat isteri comelnya sedang rancak menyanyi lagu Selamat Pengantin Baru dendangan Saloma sambil menggerak-gerakkan badan di hadapan orang ramai.Tamat saja Ixuna menyanyi,orang ramai bertepuk tangan dan para pemuda bersiul gatal.Eric mengetap bibir geram.
“Malangnya you dapat isteri yang bandar sangat macam perempuan tu.Buat malu saja.” Diyana yang perasan wajah bengang Eric sempat menyindir.Eric mendengus geram sebelum cepat mendapatkan Ixuna yang baru keluar daripada khemah karaoke.Kelihatan isterinya itu disapa oleh ramai orang.Macam artislah pulak!
“Bestlah suara akak.Macam suara Britney Spears!” Reny menyeringai sambil memegang tangan Ixuna.Elya dan Ariel turut mempamerkan senyuman gembira apabila melihat persembahan Ixuna sebentar tadi.Sebenarnya,Ixuna bukanlah berminat untuk berkaraoke.Namun,seorang makcik sibuk menolaknya masuk ke dalam khemah itu dan menyuruh dia menyanyikan sebuah lagu untuk suka-suka.Jadi,Ixuna nyanyi sajalah.Dia tidak menyangka yang suaranya disukai ramai.
“Ixuna,awak buat apa?!” Sergahan Eric menyebabkan mereka berempat terdiam.
“Saya tak buat apa-apa.Baru selesai berkaraoke.” Jawab Ixuna tanpa perasaan bersalah.
“Jom balik.Sekarang!” Eric membentak sebelum mengheret tangan Ixuna meninggalkan majlis kerja kahwin itu.Dalam sekelip mata mood gembiranya hilang begitu saja.



P/S: 2 BAB SEBelum hold.Alhamdullilah manuskrip K6BJ dah siap n dah dihanta pada penerbit.Ade rezeki...terbitlah nanti.Mekasih pada semua pembaca yg support K6BJ selama ni.
-sAME2 doa yang K6BJ lulus penilaian n cepat diterbitkan~
-100 likes 4 next entry.
-rajin2 komenlah ye.love u all~