Saturday, August 9, 2014

NOVEL : BILA KULI JADI ARTIS! BAB 1,2,3


 BAB 1
 “Selamat datang ke Pizza Star.”
Suara Ika yang datang dari arah muka pintu restoran membuatkan Yuri memandang sekilas.Kelihatan gadis itu membuka pintu dengan senyuman lebar hingga ke telinga. Senyuman plastik yang sentiasa dilemparkan kepada semua pelanggan restoran setiap kali gadis genit itu menjadi host atau dengan  kata nama lain,penyambut tetamu.Dua pemuda yang berumur dalam lingkungan 30 an,berkulit gelap dan bermisai melihat Ika daripada atas hingga ke bawah dengan senyuman gatal.
“Boleh saya tahu,encik berdua hendak makan di sini atau ingin bungkus bawa pulang ke rumah?” Ika lembut bertanya.Dua pemuda tadi tersenyum miang.Itu adalah dialog yang akan diungkapkan oleh seorang host setiap kali pelanggan menjejak masuk ke restoran.
“Kalau abang nak bungkus cik adik yang comel ni untuk dibawa pulang ke rumah boleh tak?”
Pertanyaan biadap salah seorang daripada pemuda itu membuatkan telinga Yuri berdesing. Mujurlah dia berdiri tidak jauh daripada kawasan pintu hadapan Pizza Star.Jika tidak mahu Ika terkulat kulat sendirian di situ.Segera saja kaki menapak ke arah sahabat baiknya itu.Tangan digenggam menahan geram.Dasar lelaki gatal.Tak boleh nampak perempuan. Budak mentah macam Ika pun hendak digodanya!
“Maaflah encik,restoran kami ni ada khidmat bungkus makanan je,bukan bungkus orang. Kalau encik berkehendak begitu, pergi cari  dekat restoran lainlah.Itu pun saya tak jamin ada atau tidak.Kita berada di Malaysia.Sebuah negara Islam yang tidak mengamalkan permedagangan manusia.”
Tercengang seketika kedua pemuda itu apabila Yuri tiba-tiba saja menyampuk bicara mereka..Mereka memandang jelik gadis cantik persis tomboy yang sedang berpeluk tubuh itu sebelum mendengus kecil.Terganggu dengan kehadiran Yuri.Baru hendak mengayat pekerja pizza yang setahun jagung itu.Ada pulak yang kacau daun! Setelah merasakan aura membunuh daripada sepasang mata gadis tomboy itu,kedua pemuda itu tersenyum sumbing.Mungkin menyedari kebodohan sendiri atas kepincangan menggunakan lidah yang dikurniakan.Atau mungkin takut dimaki oleh gadis di hadapan mereka.Ika hanya tersengih-sengih. Sudah mengagak Yuri akan membahasakan kedua pemuda tidak tahu adab itu. Terus saja Ika membawa dua pemuda itu ke meja kosong berdekatan memandangkan mereka berdua tidak ingin membungkus makanan untuk di bawa pulang.
“Cool lah lu beb,ayat power habis!” Farah yang sedari tadi memasang telinga di kaunter juruwang,segera saja menerpa dan memaut bahu Yuri.
“Biasa jelah beb.” Yuri menjawab malas sambil melemparkan senyuman senget.
Farah,gadis yang kerap berselendang, tersenyum lebar seperti kebiasaan.Yuri sudah masak benar dengan perangainya. Sama saja dengan Ika.Ceria memanjang.Entah petua apa yang digunakan dua gadis itu sehingga setiap hari mereka bisa tersenyum ceria menghadapi kerenah pelanggan yang pelbagai ragam.Jika diikutkan angin Yuri,mahu gulung tikar restoran itu.Mereka berdua memandang perkarangan luar restoran daripada pintu berkaca lutsinar dan Yuri terdengar Farah mengeluh kecil.
“Kau tak bosan ke beb kerja dekat sini?” Pertanyaan Farah tidak sedikit pun mengejutkan Yuri.Sering kali pertanyaan begitu ditanyakan oleh semua teman rapat yang sama  bekerja di Pizza Star.Renungan mata Farah yang mengenakan kanta lekap bewarna kelabu itu Yuri pandang dengan satu keluhan panjang.
“Bosan.Tapi kita tiada pilihan lain selain daripada bekerja di sini. Sekarang bukan senang nak dapat kerja.”
Yuri  membetulkan topi di kepala yang menutup rambut pendek paras bahunya.Jawapan sama yang Yuri berikan kepada Farah setiap kali soalan itu diajukan.Gadis yang tua dua tahun daripadanya itu mengangguk kecil.Sudah setahun Yuri bekerja di Pizza Star Kota Tinggi,Johor sebaik saja mendapat keputusan SPM.Keputusan peperiksaan Yuri bukanlah teruk sangat tetapi Yuri tidak terpilih untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA).
Mungkin tiada rezeki.Niat di hati ingin menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), tetapi masalah kewangan keluarga menjadi penghalang.Demi mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga,Yuri sanggup bekerja untuk menampung perbelanjaan sendiri dan menyimpan duit untuk perbelanjaan pelajaran kelak. Walaupun gaji di Pizza Star tidak mencecah nilai seribu,itu bukan alasan untuk dia mementingkan diri sendiri dengan menyerahkan tugas mencari rezeki kepada bapa dan abang-abangnya sahaja.Dia sendiri perlu berusaha!
Dalam era millennium ini,seorang gadis yang hanya mempunyai sijil SPM dalam tangan seperti dia,Ika dan Farah sememangnya tidak mempunyai peluang luas untuk memilih pekerjaan yang bagus.Graduan yang mempunyai diploma dan ijazah sudah ramai yang jadi penganggur.Inikan pula dia yang hanya mempunyai sijil SPM.Peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang berkualiti hanya tinggal mimpi .Diterima bekerja sebagai salah seorang staf di Pizza Star itu pun amat disyukuri.
Pizza Star adalah sebuah francais terkemuka di Asia.Label francais ini sama saja dengan Pizza Hut,KFC atau MacDonald.Pizza Star diitubuhkan oleh seorang jutawan Cina Muslim bernama Abdullah Lim,lebih kurang enam puluh tahun lalu di Beijing,China.Pizza Star berkembang pesat apabila cawangannya didirikan di banyak negara.Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai menyebabkan cawangan Pizza Star bertambah setiap tahun.Hampir enam puluh tahun beroperasi kini Pizza Star memiliki lebih daripada seribu cawangan di Asia.
“Alangkah baiknya jika kita dilahirkan seperti dia..” Suara lembut Farah menyebabkan lamunan Yuri mati begitu sahaja.Yuri memandang ke arah papan iklan bersaiz gergasi yang terpacak megah berhadapan dengan Pizza Star.Papan iklan yang membuatkan mata Yuri dan Farah tidak berkelip kelip melihatnya.Tanpa bicara Yuri tersenyum hingga ke telinga.
Terpamer cantik di atas papan itu wajah seorang pemuda yang amat tampan pada pandangan matanya.Pemuda itu memperagakan baju sukan jenama ‘Ace’ yang mana merupakan jenama paling laris masa kini.Pemuda itu ialah Ace.Seorang penyanyi terkemuka dunia yang namanya melonjak naik dalam sekelip mata dua tahun lepas apabila dia menjuarai pertandingan nyanyian terbesar di Amerika Syarikat,World Idol.
Ace yang ketika itu berusia 16 tahun menjuarai pertandingan tersebut dengan suara merdunya yang tiada tandingan.Dalam masa dua tahun berkecimpung dalam dunia hiburan,kariernya tidak pernah sekalipun jatuh.Lahir daripada keluarga berada dan mempunyai perusahaan sendiri,Ace menjadi idola ramai gadis termasuk Yuri.Kini Ace  memiliki sebuah syarikat hiburan atas usaha gigihnya .Bahkan dia juga telah mengeluarkan beberapa produk dengan jenama sendiri.Dia pandai menjaga tingkahlaku hingga tiada gosip-gosip liar tercetur.Namanya semakin mashyur saban hari.Bukankah Ace sangat bertuah?
“Em...idola aku.Bintang aku.Dia memang dilahirkan dengan tuah.Alangkah bertuahnya aku jika dapat bertatapan mata dengan dia.” Senyuman Ace dalam papan iklan itu seolah-olah menusuk jauh ke dalam kalbu.Bilalah agaknya Yuri boleh bertemu dengan idolanyaitu? Berangan jelah kau ni Yuri! Cemuh gadis itu dalam hati.
“Tak payah nak bertuah sangatlah Cik Yuri.Berangan je kerja kau orang berdua ni.”
Suara Mak Ngah,penolong pengurus Pizza Star Kota Tinggi atau nama sebenarnya Noor Afiza Mazlan mematikan perbualan Yuri dan Farah.Gadis yang berusia 26 tahun itu segera saja menyelit antara Yuri dan Farah yang sedang berdiri.Nasib baiklah tubuh gadis itu kurus macam papan.Jika tidak,tiada maknanya Yuri hendak berdiri bersama mereka berdua di muka pintu itu.Nampaknya,Mak Ngah turut sama memerhatikan papan iklan Ace itu.
“Ya Allah,kenapalah Ace ni hensem sangat ya? Walaupun Mak Ngah tengok papan iklan tak bergerak tu setiap hari,tetap juga Mak Ngah nak puji wajah dia yang tampan tu.Bilalah Mak Ngah dapat bertatapan dengan dia ya?” Paku dulang,paku serpih.Mengata orang dia yang lebih.Hampeh! Mak Ngah pun dua kali lima dengan Yuri.Dia kata Yuri berangan memikirkan Ace.Sekarang,dia pun sama.
Farah ketawa kecil melihat gelagat gadis itu dan Yuri hanya menggeleng geleng kepala.Sudah masak benar dengan situasi sebegitu.Mak Ngah adalah nama gelaran manja untuk penolong pengurus yang kurus kering itu kerana dia adalah anak kedua dalam ahli keluarganya.Selain itu,gelaran tersebut diberi kerana  mulutnya yang suka membebel macam mak nenek.Justeru,keseluruhan staf Pizza Star Kota Tinggi memanggil Fiza dengan panggilan Mak Ngah.
 “Wow,cantiknya kereta!” Mata Mak Ngah membulat sambil melihat sebuah kereta BMW 5 Series bewarna putih molek terparkir di hadapan Pizza Star.Yuri dan Farah turut sama memerhatikan kereta mewah itu tanpa berkelip mata.Aduhai,macam orang jakun saja gaya mereka bertiga saat itu!
Bukanlah jakun sangat sebenarnya.Cuma untuk orang seperti mereka dapat memandu kereta seperti itu rasanya dalam mimpi sajalah.Yuri? Lesen pun tiada.Bagaimana mahu memandu kereta? Selang beberapa minit,keluar dua orang manusia daripada perut kereta mewah itu. Yuri menelan liur.Pada mulanya Yuri ingatkan orang yang memandu kereta itu berbangsa cina.Namun,setelah melihat gadis yang keluar daripada kerusi penumpang mengenakan pashmina,maknanya orang melayulah tu! Eh,memandai je kau ni Yuri!
Kedua manusia yang menarik perhatian mereka bertiga itu berpakaian tebal seperti berada dalam musim salji.Walaupun Yuri tidak pernah ke luar negara,tetapi gaya pemakaian mereka itu sepertilah gaya para pelakon drama korea yang menjalankan penggambaran pada musim sejuk.Setahu Yuri,Malaysia tiada musim salji! Paling sejuk pun dekat Cameron Highland atau Genting Highland.Itupun suhu tidak mencapai 20 darjah celcius hingga tahap manusia di situ  terpaksa memakai pakaian tebal seperti orang Eskimo.
“Gila ke apa,tengah hari buta pakai baju macam tu.” Nampaknya Farah sependapat dengan Yuri.
“A,ah,sejak bila pulak Malaysia ni ada musim sejuk.” Mak Ngah menyampuk.
Mereka bertiga terus memerhatikan pasangan itu sehingga mereka menghampiri pintu Pizza Star.Ika yang entah bila muncul di belakang mereka segera saja membuka pintu restoran dan Farah turut sama membantu.Yuri dan Mak Ngah mengiring ke bahagian tepi agar tidak menghalang dua manusia itu memasuki restoran.Bau semerbak harum menusuk hidung sebaik saja pemuda yang mengenakan kaca mata hitam melintasi Yuri.Harumnya bau! Pasti minyak wangi mahal ni! Amboi,ke situ pulak kau Yuri!.
“Selamat datang ke Pizza Star!” Yuri dan Mak Ngah serentak mengucapkan kata-kata menyambut para pelanggan restoran sambil menundukkan kepala.Kemudian mereka berdua berpandangan sama sendiri dan tersengih tak tentu pasal.Bukan Yuri tidak tahu, Mak Ngah akan teruja untuk menyambut tetamu atau mengambil order pelanggan restoran yang kelihatan segak atau menarik perhatian walaupun itu bukan tugas utamanya.Lebih kurang sama saja dengan Yuri.Gatal lebih!
Sengihan Yuri mati begitu saja apabila bau haruman tadi tiba-tiba saja begitu dekat dengannya.Apabila Yuri mendongakkan kepala,terasa tegak keseluruhan bulu roma di atas badan.Mata yang mengenakan kaca mata hitam itu kelihatan memerhatikan dirinya daripada jarak lebih kurang beberapa inci sahaja.Entah sejak bila dia berdiri begitu dekat dengan Yuri.Yuri tidak perasan.Automatik saja kaki menapak beberapa langkah ke belakang.Walaupun mata pemuda itu bertutup, Yuri dapat merasakan sepasang mata itu tajam merenung dirinya.
“Saya nak awak yang ambil pesanan makanan saya.” Ujar pemuda itu seraya mengajukan jarinya ke arah Yuri.
Alahai,lunaknya suara dia.Tapi,tunggu sekejap! Kenapa pula dia nak suruh aku yang ambil pesanan makanan dia?! Tak betul ke apa lelaki ini?.Kata Yuri dalam hati.Belum sempat Yuri memprotes,pemuda itu sudah hilang mengikut jejak langkah pasangannya yang tersengih sengih seperti kerang busuk.Yuri,Mak Ngah,Ika dan Farah tercengang seketika.
“Kau kenal dia ke Yuri?” Farah bertanya dengan wajah teruja.
“Gila kau.Ada pulak aku kenalan yang berpakaian Eskimo dan berkereta mewah.Aku tak kenallah.” Jawapan Yuri jelas menambahkan persoalan di wajah sahabatnya. Tanpa menunggu lama,Yuri terus saja mengambil buku menu daripada tangan Ika dan mengejar langkah pasangan itu.Sepatutnya kerja menyambut tetamu dan menyerahkan menu dilakukan oleh Ika.Namun,atas permintaan khas pemuda tadi,Yuri terpaksalah mengikut.Customer always right lah katakana!
Sakitnya hati Yuri bila pasangan tadi kelihatan berpusing pusing dalam restoran untuk mencari meja yang sesuai untuk diduduki.Macam hendak buat lawatan pula gaya mereka berdua. Mujurlah memang salah satu daripada tugas Yuri adalah untuk mengeskot pelanggan ke meja yang disukai mereka sebelum mengambil pesanan.Jika tidak,masakan Yuri sudi mengelilingi restoran itu hingga beberapa kali.Akhirnya,selepas penat tawaf dalam restoran itu,kedua pasangan tadi mengambil keputusan untuk duduk di meja nombor 25.Sekali lagi Yuri diserang sakit hati.Punyalah banyak meja bersih yang tiada pinggan mangkuk,kutleri atau sisa makanan yang belum dikemas di atasnya,mengapa mereka berdua memilih untuk duduk di meja itu?
“Maaf encik,cik,meja ni belum dikemas.Boleh tak kalau encik dan cik duduk kat meja yang bersih?” Yuri bertanya lembut sambil mengajukan ibu jari ke arah meja meja kosong yang tiada pelanggan.Masih banyak meja yang bersih dan kosong.Hendak juga duduk di meja yang kotor.Bodoh ke apa mereka berdua ini? Desisnya dalam hati.
“Saya nak duduk dekat meja ni,awak ada masalah ke?”
Pemuda yang berkaca mata hitam itu bertanya sinis.Kelihatan hujung bibir merahnya yang menyenget ke tepi.Daripada memek muka pemuda itu sepertinya Yuri telah melakukan sesuatu yang menjengkelkan.Ringan saja tangan Yuri ingin menghadiahkan penampar pada wajah itu.Nasib baik pelanggan!
 “Oh,takde masalah,cuma encik kena tunggu sebentarlah,saya nak panggil kawan saya untuk bersihkan meja.” Yuri tertinjau tinjau mencari kelibat staf yang bertugas mengemas meja pada hari tersebut.
Selain Yuri,Kak Azimah dan Kak Kiot atau nama samarannya Zakiah juga bertugas sebagai servis hari itu.Bagaimana Yuri hendak mengemas meja seraya hendak melayan kerenah pelanggan itu? Sudahlah pemuda itu kelihatan berterusan merenung Yuri dari balik kaca mata hitamnya.Sementara perempuan muda yang duduk disisinya tersengih sengih memerhatikan pemuda di hadapannya.Yuri pulak yang angin satu badan melihat gelagat mereka berdua.Mereka fikir dia badut sarkas ke apa?!
“Kenapa malas sangat? Tak perlu buang masa tunggu kawan.Awak takde tangan untuk kemas sendiri meja ni ke? Awak staf servis juga kan?”
Menyirap darah Yuri apabila diperli pemuda itu.Malas untuk bertengkar,Yuri mengemas meja tersebut sepantas mungkin.Sepanjang mengemas Yuri perasan yang pemuda itu tersenyum sinis memandangnya.Grr...sakitnya hati!.Setelah selesai mengemas,cepat saja dia  meletakkan buku menu dan cuba berlalu.
 “Awak nampak tak yang kami berdua? Kenapa bagi menu sekeping saja? Macamana saya nak tengok?”Langkah Yuri terhenti.Yuri menyumpah dalam hati.Bagaimanalah boleh terlupa untuk membawa dua buku menu tadinya.Dengan perasaan sebal dia kembali berpaling ke belakang dan tersenyum ke arah pemuda itu.
“Maafkan saya.Saya terlupa.Saya pergi ambil satu lagi buku menu sekarang.” Pantas saja Yuri berlari ke kaunter juruwang dan mengambil sebuah buku menu yang tersusun cantik di situ. Kemudian dia kembali berlari ke meja nombor 25.
Jantungnya hampir berhenti berfungsi dan Yuri terkesima seketika apabila bertatap mata dengan pemuda yang sudah menanggalkan kaca matanya itu.Dia juga tidak berkelip.Ya Allah,kacaknya dia! Bagaimanalah dia boleh tidak perasan ketampanan wajah pemuda itu sedari tadi.
“Saya tahulah saya hensem.Tak perlulah nak tenung saya macam tu sekali.Bak sini menu tu.”
Pemuda itu menarik buku menu daripada tangan gadis gebu yang sedang berdiri tegak memandangnya.Tidak hairan dengan wajah terkejut Yuri kerana dia tahu ramai yang kagum dengan ketampanan wajahnya.Sebaik saja Yuri perasan senyuman sinis pemuda itu terus saja Yuri beristighfar perlahan.Wajahnya terasa membahang. Alahai,kenapalah mata ini gatal sangat untuk merenung.Tidak tentu pasal kau dah kena perli Yuri! Monolognya dalam hati.
“Saya nak Seafood Lasagna satu dengan orange juice.” Gadis cantik yang berusia dalam lingkungan 20 an itu mula memesan makanan.Yuri mencatat pesanannya di atas sekeping kertas.Dia memandang pula wajah pemuda tampan tadi.Tiada tanda yang pemuda itu bersedia untuk memesan makanan.Sengaja menyeksa Yuri berdiri lama di sisi meja itu.
“Vin,cepatlah oder makanan.I dah laparlah..” Gadis itu merengek kecil seraya memegang tangan pemuda tampan itu.Mungkin teman wanita dia.Nama pemuda itu Vin? Pelik saja bunyinya.
“Saya nak hati awak.”
“Ha?!” Hampir saja terlepas pen dan kertas yang Yuri pegang.Dia salah dengar ke?
“Saya nak Pizza Hawaiian Chicken personal size dengan Iced Coffee.” Ujar pemuda itu dengan melirik senyuman nakal.Suka melihat pekerja pizza Star itu gabra.Yuri terpinga pinga seketika sebelum menulis pesanannya.Sah,Yuri salah dengar!.
“Baiklah,hidangan akan siap dalam masa 20 minit.” Yuri mahu cepat beredar daripada meja itu namun baru selangkah Yuri menapak sekali lagi pemuda itu memanggilnya.
“Awak...”
Sebaik saja Yuri berpaling ke belakang,pemandangannya gelap.Pantas saja Yuri menarik sesuatu yang menyelubungi wajahnya.Sesuatu yang harum dan baunya seperti bauan yang dia hidu tadi.Sekali lagi mata Yuri terbeliak apabila tangannya memegang sehelai jaket hitam tebal yang berbulu lembut.Jaket siapa lagi jika bukan jaket pemuda itu!
“Tolong sangkutkan jaket tu dekat tempat yang sepatutnya.Saya takut jaket saya kotor.” Pinta pemuda itu tanpa perasaan bersalah.
“Maaflah encik,Pizza Star bukan restoran bertaraf lima bintang sampai ada tempat penyangkut jaket bagai.Sangkut saja di kerusi.Encik bukannya budak lima tahun sampai makan pun berselerak sana sini.”  Selesai Yuri bersuara,yang bertujuan untuk menyakitkan hati sang pendengar,segera saja Yuri mengambil jaket pemuda itu dan disangkutkan di atas kerusi kosong yang berada bersebelahannya.Belum sempat sang pemuda membalas kata,Yuri segera cabut lari.Dari kejauhan Yuri dapat mendengar gelak besar teman wanita pemuda itu.Mungkin mengetawakan teman lelakinya kerana  telah disembur oleh Yuri.Rasakan!





















BAB 2
Sebulan berlalu dengan pantas,namun pertemuan yang berlaku antara Yuri dan pemuda kacak itu memang tidak mudah dilupakan.Yalah wajah pemuda itu mirip dengan Lee Min Ho, pelakon yang sangat tampan di mata kebanyakan peminat drama korea.Bukan senang nak jumpa tu.Ha,ha,ha.Merepek sudah!.
Em..memang dia sangat tampan daripada pandangan mata Yuri.Walaupun sebulan sudah berlalu, wajahnya masih berlegar legar dalam otak gadis itu. Seperti baru sehari lepas mereka bertemu.Jauh dalam sudut hati,Yuri berharap dia dapat berjumpa dengan pemuda kacak itu sekali lagi.Tidak puas memandang wajah kacak yang menyakitkan hati itu!Kulit pemuda itu putih,hampir saja menyamai tona kulit Yuri.Hidung mancung.Bibir merah tanda bukan seorang perokok.Rambut mengikut gaya terkini.Dia tinggi lampai dan badannya sasa.Keningnya hitam dan matanya..
“Yuri,janganlah termenung lagi.Terlepas juga bas kamu nanti.Kamu masuk kerja pukul 3.30 petang kan?” Pertanyaan Hasnah buat Yuri tersentak.Dia tersengih seperti kerang busuk memandang wajah tua ibunya yang terjenggul di pintu bilik.
“Ya mak.Kejap lagi Yuri keluar.” Jawapan Yuri membuatkan ibunya terus berlalu ke ruang tamu.Sebenarnya Yuri bukanlah selalu berada di rumah.Sepanjang Yuri bekerja,dia menginap di hostel Pizza Star.Ini kerana jarak rumahnya dengan Pizza Star mengambil masa satu jam jika menaiki bas.Untuk menjimatkan wang tambang bas dan masa,Yuri berkeputusan menginap di hostel bersama Farah dan Kak Azimah yang Yuri gelar Kak Ima.
Oleh kerana dia demam,barulah dia bercuti selama dua hari dan pulang ke rumah yang terletak di Kampung Sayang.Kampung Sayang? Ya..itulah nama kampung Yuri.Jangan ditanya mengapa nama kampungnya begitu,kerana Yuri tidak tahu akan jawapannya.Selesai menyisir rambut yang pendek seperti gaya rambut Emma Watson,Yuri menggapai sebuah topi Nike dan mengenakannya di atas kepala.Uniform Pizza Star yang bewarna merah berbelang hitam tersarung lengkap di atas tubuh.Yuri mengambil sebuah beg sandang yang terisi dengan beberapa helai baju sebelum bergegas ke luar daripada bilik.
“Yuri,badan kau dah makin gemuklah Fir tengok.Jaga sikit makan tu.Nanti takde orang nak kahwin dengan kau.” Suara sumbang abang ketiga Yuri yang bernama Firdaus membuatkan gadis itu mencebik bibir.Yuri memandangnya sekilas sebelum mendapatkan ibunya yang sedang menjahit baju koyak.
“Hek eleh,tahulah dia tu kurus.Tak payah nak sibuk hal orang pulak.Kau tu kurus,ada orang nak ke? Poyo lebih.” Yuri menjawab selamba.
Abangnya itu ketawa mengekek.Begitulah hubungan Yuri dengan abang ketiga yang hanya tua tiga tahun daripada umurnya.Disebabkan jarak umur yang tidak jauh beza,Yuri lebih selesa berkau dan beraku dengan abangnya itu.Berbeza apabila Yuri memanggil abang sulung dan abang kedua.Kadang kala,orang luar yang tidak mengetahui perhubungan baik antara Yuri dengan abangnya itu,sering beranggapan yang mereka dua beradik sering bergaduh.Padahal,tidak pernah sekalipun Yuri bergaduh dengan abang ketiga yang digelar Fir itu.Memang Mayurie Rosella kalau bersuara,satu kampung boleh dengar.Abangnya pula,jika ketawa bagai pontianak mengilai.
“Alah,Fir lelaki.Lelaki takpe takde makwe.Sekarang memanglah takde orang nak.Tapi bila Fir dah cukup duit nanti,Fir suruh je mak meminang mana mana perempuan yang Fir suka.Kau tu perempuan,mana boleh meminang lelaki.Jadi,jagalah berat badan tu.” Sakat Firdaus lagi.Gemar melihat wajah cemberut adiknya.Adik yang pandai berdikari dan tidak menyusahkan orang tua.Walaupun Yuri sekadar kuli di Pizza Star,Firdaus tetap bangga dengan kerajinan adiknya itu.Masakan tidak,kebanyakan remaja sekarang,jika tidak mahu menyambung pelajaran hanya tahu goyang kaki di rumah mengharapkan ibu bapa mencari rezeki.Firdaus bersyukur adiknya tidak sebegitu.
“Mak,tengok Fir ni!!!” Yuri menjerit nyaring sambil menggoyang goyang lembut lengan  ibunya.Saja hendak mengadu dengan Hasnah.Anak manjalah katakan.Walhal Yuri bukanlah anak bongsu.Yuri masih ada seorang adik yang berusia sembilan tahun.
“Ya Allah,mak nak menjahit ni Yuri.Betullah cakap abang kamu tu.Badan tu jangan gemuk sangat.Nanti susah nak cari baju.” Hasnah menyokong pendapat anak bujangnya.
Lepas ke hal baju pulak.Dongkol Yuri dalam hati.Dia mula tarik mucung sedepa.
“Sampai hati mak cakap Yuri macam tu.Yuri bukan gemuk sangat pun.” Yuri buat suara sedih.Padahal langsung tidak ambil hati dengan kata-kata ibunya.Yalah,memang Yuri agak gemuk.Berat 65 kilogram dengan ketinggian 160 sentimeter. Sudah melebihi berat badan. Jadi,tidak perlulah terasa dengan kenyataan yang dilemparkan.
“Yalah,memanglah sekarang ni kamu tak gemuk sangat.Tapi,kalau kamu tak jaga makan, nanti bertambah gemuk badan tu.Lagi satu,mak tak berkenan betullah dengan gaya kamu sekarang ni. Rambut tu dahlah pendek, bertopi pulak,kadang kadang seluar hip hop pun kamu pakai.Kamu nak jadi lelaki ke Yuri?”
Sekali ibunya mengeluarkan ceramah,bingit telinga mendengarnya.Seluar hip hop? Seluar jeans pendek lelaki bersaiz besar dengan rantai silver di belakang poket merupakan seluar kegemaran Yuri.Itulah seluar hip hop yang dimaksudkan Hasnah.Sudah banyak kali ditegur,namun Yuri buat tidak dengar.Bagi Yuri seluar itu sangat padan dengan dirinya.Tidak nampak seksi dan cool habis! Bukan Yuri tidak berminat untuk bergaya feminim. Namun Yuri rasa dengan susuk tubuhnya yang tidak langsing apatah lagi menawan juga dengan kerja Yuri selaku staf Pizza Star,Yuri langsung tiada masa untuk berhias cantik apatah lagi nak berfeminim bagai.Cukuplah sekadar gaya yang mengikut kata ibunya menyerupai lelaki itu.Yuri peduli apa? Asalkan nalurinya tidak bertukar songsang,itu sudah cukup memadai.
“Mak ni ada pulak cakap macam tu.InsyaAllah mak,bila Yuri dah ada kerja yang lebih baik nanti,Yuri akan berhias cantik dan nampak keperempuanan habis.Mak jangan terkejut pulak bila berduyun duyun lelaki meminang anak emak ni.” Yuri menggiat ibunya sebelum mencium pipi dan menyalam tangan wanita itu.
“Em,yalah tu.Berangan tak sudah.Hati-hati jalan.” Hasnah malas melayan kata-kata anak daranya itu.Semakin dilayan semakin lambat dia hendak pergi kerja.Yuri menapak ke luar rumah dan menunggu bas di tepi jalan untuk menuju ke Kota Tinggi.Selang satu jam Yuri sudah terpacak dalam Pizza Star.Setelah meletakkan beg sandang dalam hostel yang terletak di tingkat atas Pizza Star, Yuri bergegas ke bahagian bawah.Selesai punch card kedatangan kerja,dia bergegas ke tandas untuk memakai apron dan memperkemaskan lagi uniformnya.
“Rugi semalam Yuri kau tak datang.Kita ada pengurus baru.Handsome gila. Akak cair tengok dia.”
Kak Azimah yang muncul entah dari mana tiba-tiba saja menyapa Yuri.Dia berdiri di sisi gadis itu sambil membetulkan tudungnya.Kak Ima merupakan satu satunya staf yang Yuri anggap seperti kakak kandung sendiri.Dia mempunyai sikap yang lemah lembut dan penyayang.Yuri suka untuk bermanja manja dengannya.Tambahan lagi,mereka berdua tinggal sebilik.Banyak perkara yang dikongsi bersama.
“Alah,hari ni bukan Yuri tak boleh tengok pun.” Yuri menjawab malas.Bukan boleh dikira sangat citarasa Kak Ima ini.Kadang kala,lelaki yang dia cakap hensem semua tak masuk dengan citarasa Yuri dan begitu juga sebaliknya.Biasalah citarasa masing-masing kan berbeza.Ada orang yang minat Hindustan,mengatakan Shah Rukh Khan itu hensem.Walhal,pada mata Yuri pelakon itu tidak hensem langsung.Namun,bakat lakonannya memang awesome.Mata Yuri lebih berkenan dengan wajah-wajah pelakon Korea dan Inggeris.
“Em,betul juga tu.Sekejap lagi jumpalah kau dengan dia.Macamana demam,dah sembuh ke?”
Aik,Kak Ima ni,ingat pula dia nak bertanya tentang kesihatan aku? Ingatkan taksub sangat dengan ketampanan pengurus baru sampai terlupa perihal adik angkat sendiri! Getus Yuri dalam hati.
“Alhamdullilah.Dah sihat kak.” Yuri menjawab pendek sebelum berlalu keluar daripada tandas. Teringin juga melihat wajah pengurus baru yang dikatakan hensem sangat tu.
Yuri menoleh ke kiri dan ke kanan.Tiada pula muka baru dalam restoran itu.Namun,mata Yuri mati pada sebatang tubuh segak yang bersweater  hitam sedang berjalan menuju ke arahnya. Langkahnya kemas dan teratur sekali.Matanya tajam menikam pemandangan. Yuri bermimpi ke? Mamat ini buat apa lagi dekat sini? Buat apa? Makanlah wei! Adegan yang sama berulang,sekali lagi jantungnya berhenti berfungsi apabila pemuda itu berdiri tegak dihadapannya.Dia mengukir senyuman manis.Yuri bertambah sesak nafas!
“Er..encik nak makan apa?” Tiba-tiba saja soalan itu terpacul keluar daripada mulut.Pemuda itu terkebil-kebil memandang Yuri sebelum tergelak kecil.Ya Allah,indahnya senyuman dia! Kelihatan lekuk lesung pipit di pipi kiri dan kanan pemuda itu!
“Nak makan awak.” Jawapan ringkas itu cukup untuk buat Yuri terkedu dan wajahnya membahang menahan malu.Yuri tak tahu nak cakap apa.Hanya memandang kiri dan kanan untuk melarikan diri.Malangnya,dia tidak boleh lari.Jika dia lari,pemuda itu akan kata Yuri gila.Jatuhlah maruahnya nanti!
“Ha,kat sini pun awak Yuri.Puas saya cari awak di merata tempat,tapi tak jumpa.” Suara Miss Fatin Hamimah,merangkap pengurus Pizza Star,Kota Tinggi menyelamatkan Yuri.Segera saja Yuri menjauhkan diri daripada pemuda itu dan mendekati Miss Fatin.Malangnya,pemuda itu kelihatan mengikuti langkah Yuri.Alamak,takkanlah dia hendak membuat aduan pada Miss Fatin tentang kelancangan mulutnya berkata kali lepas?! Mustahil,perkara itu berlaku sebulan lepas.Jika hendak diungkit,pasti daripada dulu lagi pemuda itu sudah membuat aduan.
“Er..ada..ada apa Miss Fatin cari saya?” Yuri tergagap gagap berbicara apabila lelaki itu masih merenung.Kali ini wajahnya kelihatan serius.Dia berdiri bersebelahan Miss Fatin dan memandang Yuri seperti Yuri melakukan kesalahan besar.
“Em saya nak perkenalkan awak dengan pengurus baru Pizza Star,Kota Tinggi.Kenalkan ini Encik Daniel Ervin.Dia menggantikan posisi saya bermula semalam.”
Terkedu dan tak terkata.Itulah reaksi Yuri ketika itu.Pemuda yang pernah mencari pasal dengannya itu ialah pengurus baru Pizza Star?! Masak kau Yuri! Sudahlah tadi dia kata dia nak makan kau.Nampak sangat yang dia berdendam dengan kau.Aduhai,janganlah sampai kena buang kerja.Patutlah kali lepas bukan main lagi dia mengelilingi Pizza Star ini seperti hendak membuat lawatan.Rupa-rupanya memang dia ingin melawat tempat dia bakal bekerja.
 “Ervin,kenalkan ini Mayurie Rosella atau Yuri.Staf servis terbaik Pizza Star.”
Alamak,sesi perkenalan daripada Miss Fatin betul betul buat wajah Yuri semakin tebal! Staf servis terbaik? Staf servis terbaik apa kalau dia selalu memprotes permintaan pelanggan.Dan salah seorang daripada pelanggan itu adalah pemuda di hadapannya itu. Tak payah nak labelkan terbaik sangatlah jika dia sekadar kuli di Pizza Star itu.Yuri menatap sekilas wajah Ervin.Dia masih menunjukkan wajah serius.
“Oh,staf terbaik.Baguslah kalau macam tu.Saya akan menilai sejauh mana baikknya awak sewaktu melayan kerenah pelanggan.Selamat bekerjasama Yuri.” Akhirnya Ervin membuka mulut dan menghulurkan salam.Penuh dengan sindirin.Yuri teragak agak menyambut salam Ervin dan sekali lagi pemuda itu tergelak apabila merasakan tangan Yuri yang sejuk beku saat berada dalam genggamannya.Tak guna punya orang! Segera saja Yuri menarik tangan daripada terus bersalaman dengannya.
“Okeylah Ervin.Aku ada kerja lain buat.Aku pergi dulu.Bye.” Miss Fatin berlalu dengan senyuman lebar di wajah.Disebabkan dia sudah dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Kawasan barulah Pizza Star menerima seorang pengurus baru.Dan Yuri tidak menyangka yang pengurus baru itu ialah Daniel Ervin.Mata Yuri mengiringi langkah Miss Fatin yang keluar daripada Pizza Star.
“Ambil ni.” Sekali lagi kepala Yuri diselubungkan dengan satu objek hitam apabila dia kembali membuka bicara.
Yuri mendongkol geram apabila mendapati sweater pemuda itu yang terbang di atas kepalanya.Suka sangat main campak campak.Aku masukkan dalam tong sampah.Baru padan muka dia!.Cemuh Yuri dalam hati.
“Tolong letakkan sweater saya tu dalam ofis.Jangan curi curi cium saya punya sweater.Takut nanti awak tidur termimpikan saya pulak.”
Yuri membuat aksi loya tekak.Apa kena dengan pemuda di hadapan dia ini? Sudah gila ke? Ingat dia buang tebiat ke untuk mencium pakaian seorang lelaki.Yuri tahulah dia tu wangi,tapi dia taklah gila sangat untuk mencium pakaian lelaki yang tidak dikenali.Oh tidak,kalau Yuri kenal pun,Yuri takkan buat macam tu!
“Maaflah Encik Ervin.Saya ni masih waras dan taklah miang sangat untuk buat perkara sebegitu.Kalau Encik Ervin takut yang saya akan cium sweater encik ni,lebih baik encik letak sendiri sweater ini ke dalam ofis.” Yuri bersuara bengang seraya menghulurkan sweater itu ke arahnya.Ervin buat tidak hairan dan berpaling ke arah lain.Cuba menahan gelak yang bakal meletus setiap kali melihat reaksi gadis comel itu.
“Saya tak takut pun kalau awak nak cium sweater saya.Saya lagi suka kalau awak buat macam tu.” Ervin berbicara perlahan.
“Ha?!” Yuri seperti emndengar pemuda itu mengungkapkan sesuatu perkataan.Namun dia tidak dengar dengan jelas.Dia ni bercakap macam dalam kelambu!
“Awak ni banyak cakaplah Yuri.Pergi letak sweater saya tu dalam ofis sekarang.” Ervin beri arahan tegas.
Patutlah tadi Yuri tidak perasan yang dia adalah pengurus baru Pizza Star.Ini kerana dia mengenakan sweater untuk menutup uniform pengurus Pizza Star.Kemeja bewarna biru muda berkotak kotak kecil dengan tali leher bewarna merah adalah pakaian formal pengurus setiap cawangan Pizza Star.Dia memang kelihatan segak dan mengancam habis dalam uniform itu.Amboi,sempat pula kau memuji orang yang mencari pasal dengan kau Yuri!
“One more thing...” Dia ini memang tak boleh nampak aku berjalan terus agaknya.Ada saja hal yang ingin diperkatakan.Yuri menggengam kuat sweaternya sebelum berpaling ke belakang menghadap wajahnya.
“Apa?”
“Just call me Ervin.Tak perlu nak berencik bagai.Saya nak cepat mesra dengan semua staf saya.” Tegas saja bicaranya.
Lantak kaulah encik pengurus.Apa kau ingat kalau aku panggil kau Ervin,aku boleh cepat mesra dengan kau ke? Boleh jalanlah.Yuri bermonolog dalam hati.
“Okey.” Yuri membalas pendek dan terus berlalu menuju ke pejabatnya.Tidak mahu memanjangkan cerita.Entah apalah nasibnya sepanjang Ervin menjadi pengurus tempat dia mencari rezeki.Pasti haru biru!

















BAB 3
Kemunculan mangkuk ayun yang bernama Daniel Ervin sedikit sebanyak menganggu konsentrasi Yuri berkerja.Masakan tidak,setiap minit ada saja mulut staf Pizza Star yang membicarakan tentangnya.Dia hensemlah,kayalah,baiklah dan segala jenis pujian dilambakkan tanpa segan silu.Walhal,Ervin baru saja lima hari menjadi pengurus di restoran itu. Poyo betul semua kawannya itu.Daripada gaya mereka bercakap macam sudah kenal lama saja dengan Ervin.Getus Yuri dalam hati.
“Kak,hensem betullah bos kita tu.Ika rasa macam nak makan dia aje.” Terlopong mulut Yuri mendengar kata-kata Atikah yang muda setahun daripadanya itu.Yuri  menganggap gadis genit bermulut becok itu seperti adiknya sendiri.Kecil kecil dah pandai gatal.Tak patut betul!
“Kau ingat bos kita tu piza? Boleh dimakan? Umur belum masuk 18 tahun dah pandai jadi ulat bulu. ” ujarnya dalam nada menyindir.Ika tersengih sebelum meninggalkan Yuri di muka pintu Pizza Star. Hari itu Yuri bertugas sebagai penyambut tetamu.Jadi,Yuri terpaksalah berdiri di muka pintu hingga jam menunjukkan pukul empat petang.Kerja yang paling membosankan!
Seperti kebiasaan,wajah Ace yang terpamer pada papan iklan di hadapan Pizza Star menggamit pemandangan.Hampir tiga bulan berlalu sejak papan iklan itu dipasang di situ. Namun,tidak pernah sekali pun Yuri jemu memandangnya.Apabila Yuri menatap senyuman Ace pada papan iklan itu,Yuri merasakan seolah olah penyanyi itu tersenyum ke arahnya.Senyuman yang memberikan semangat . Macam inilah agaknya gelagat para peminat fanatik Ace di luar sana.
“Walaupun ramai orang cakap bos baru hensem,bagi aku dia bukanlah hensem mana pun. Ace paling hensem dalam mata aku.Senyuman dia nampak bersinar sangat.Bagaimanalah agaknya kalau dia senyum kat depan aku ya? Mahu pengsan agaknya.” Yuri berkata dengan diri sendiri sebelum ketawa kecil.Jari jemarinya melekap pada cermin kaca lut sinar itu sebelum Yuri menggerakkannya lembut mengikuti bentuk mata Ace.Reaksi Yuri ketika itu seperti dia betul betul membelai wajah Ace yang terpampang pada papan iklan tersebut.
“Ehem,ehem!” Bunyi deheman yang datang daripada arah belakang memeranjatkan Yuri. Cepat saja dia menjatuhkan jari jemarinya yang melekap pada cermin tadi.Berderau darah apabila terpandang seraut wajah tampan sedang merenung galak dirinya daripada jarak beberapa kaki.Dia dengar ke apa yang aku cakap tadi?.Yuri gementar sambil menahan malu.
“Sakit telinga saya bila mendengar ada orang kata yang saya ni tak hensem.Saya rasa saya ni dah cukup segak dan bergaya.” Ervin yang sedari tadi melihat tingkahlaku dan mendengar monolog gadis itu segera menghampiri apabila merasakan Yuri melebihkan Ace yang tidak dikenali berbanding dirinya!
Alamak,dia memang dah dengar kata-kata aku tadi!.Masak kau Yuri!.Yuri cuba menenangkan diri sendiri apabila Ervin menapak mendekati.Dia tidak memandang Ervin tetapi dia melihat pantulan wajah pemuda itu yang terbias di atas kaca lut sinar.Walaupun agak samar,wajah tampannya masih kelihatan di atas kaca itu.Yuri terpaku di situ seperti patung tidak bernyawa.Hanya memerhatikan keindahan makhluk tuhan di hadapan mata. Hilang sudah perihal Ace apabila Ervin begitu dekat.Wangian yang dipakai Ervin kuat menusuk hidung.Bau yang memberahikan.Astagfirullahalazim!.Apa yang kau merepek ni Yuri!.
“Yuri,di mata awak,saya ni tak hensem ke?” Sepasang mata yang bewarna coklat cair itu menikam mata Yuri seolah-olah menembusi kepala.Ervin berpeluk tubuh berhadapan dengan Yuri.Tangan sasanya yang separa terdedah itu kelihatan putih kemerahan dengan bulu roma yang agak keperangan dan beberapa urat yang jelas kelihatan.Maskulinnya dia! Wah,sampai ke situ Yuri menelek!.Mengata Ika gatal,Yuri pun lebih kurang sama saja.Tak pandai jaga mata!
“Kurang hensem jika nak dibandingkan dengan Ace.” Jawapan jujur Yuri jelas buat rupa Ervin berubah. Dia marah ke? Kenapa pula dia nak marah.Suka hati akulah nak beri jawapan yang macammana.Siapa suruh soal aku dengan soalan sebegitu.Protes Yuri dalam hati.
“Ace...” Ervin tersenyum sinis sebelum memerhatikan papan iklan yang Yuri pandang sedari tadi.Tidak menyangka yang gadis itu peminat fanatik Ace.Sama saja dengan mama dan kakaknya.Apa yang bagus sangat dengan Ace itu? Bicara Ervin dalam hati.Cuba menepis perasaan bengang yang bertandang menguasai diri.
“Ya Ace.Bagi saya dalam dunia ni,dialah lelaki yang paling hensem,segak dan bergaya. Takde lelaki yang dapat kalahkan dia.Tapi,bos tak perlu ambil hatilah.Citarasa setiap orang berbeza.Semua staf dalam Pizza Star puji bos hensem.Itu maknanya,bos memang hensemlah.” Yuri berbasa basi untuk menyedapkan hati Ervin.Lelaki itu sudah menunjukkan wajah kelat.Pengurus baru Pizza Star ini jenis mudah sentap ke?
“Saya tak ambil hati,tapi saya makan hati.” Ervin menggumam kecil menahan cemburu.Boleh pulak Yuri hendak membandingkan ketampanannya dengan Ace! Sakit hati betul!
Yuri kurang mendengar kata-kata pemuda itu.Malas hendak bertanya tentang hal yang dibebelkan Ervin seorang diri.Nanti dia kata Yuri menyibuk pulak.Beberapa ketika dia masih merenung papan iklan Ace dan Yuri perasan Ervin menjelingnya dengan ekor mata.Macam tak puas hati saja gaya majikannya itu.
“Kenapa bos tenung papan iklan Ace tu lama lama? Bos pun dah terpikat kat dia ya?” Yuri berseloroh.Cuba menceriakan suasana yang janggal.
“Banyaklah awak punya terpikat.Ingat saya gayboy ke apa? Daripada saya terpikat dekat Ace lebih baik saya memikat awak.” Senak sekejap hulu hati Yuri mendengar bicara selamba Ervin.Jangan cepat melatah Yuri.Buaya darat saja yang suka melemparkan ayat ayat manis seperti itu.Manis ke? Manis berkrimlah buat pendengaran gadis seperti Yuri.
“Ish,tak payahlah bos rajin sangat nak memikat saya.Sebab saya takkan layan punya.Kalau Ace yang datang memikat mesti saya terlekat.” Jawab Yuri bersahaja.Tidak sangka pula jawapan Yuri itu berjaya membuatkan Ervin tergelak kecil.Dia menggeleng geleng kepala seketika sebelum memandang Yuri tunak.
“Jangan cakap besar Mayurie Rosella.Belum cuba belum tahu.Takde maknanya Ace yang duduk dekat Amerika tu nak datang sini untuk memikat awak.Lebih baik dia memikat perempuan mat salleh kat sana.” Ervin membalas .Yuri garu garu kepala yang tidak gatal sebelum turut sama tergelak.Rasanya bos dia ini jenis orang yang suka bergurau.Layan sajalah.Tiada maknanya dia betul betul ingin memikat aku yang tidak cukup feminim ini.Monolog Yuri dalam hati.
“Saya bergurau je lah bos.Dia bintang,dan saya ni lalang.Lalang takkan dapat terbang hingga menggapai bintang.” Yuri cuba menutup perbualan itu dengan pepatah merapu.
Ervin kelihatan terdiam sejenak sebelum melemparkan senyuman manis ke arah gadis yang cukup istimewa dimatanya itu.Senyuman yang bisa buat hati Yuri berdebar tak tentu pasal.
“Baguslah kalau tak dapat gapai.Tolong Yuri,jangan panggil saya bos.Sila panggil saya Ervin atau Vin saja.Boleh kan?”
Sekali lagi Yuri menggaru garu kepala.Setahu Yuri sepanjang lima hari lepas,kebanyakkan daripada staf Pizza Star memanggil Ervin dengan gelaran bos.Jadi mengapa pula Yuri perlu memanggil dia dengan nama lain? Sudahlah dia tua lima tahun daripada Yuri.Macam kurang hormat untuk memanggil nama penuhnya.Jadi,takkanlah Yuri nak panggil dia abang pulak?.
“Tak biasalah bos...”
“Biasakan.Kalau tak saya potong gaji awak!” Ugut Ervin sambil menjungkitkan kening.Tanda dia serius.Tidak mahu membina tembok pemisah antara dia dengan Yuri walaupun gadis itu sekadar kuli di Pizza Star.
Amboi,peraturan kerja mana yang dipakai mangkuk ayun ini?! Sesuka hati dia saja hendak memotong gaji pekerja.Yuri sudah menunjukkan wajah masam mencuka.Mulut terasa ingin memprotes namun dia tahu ia hanya satu tindakan yang sia-sia.
“Okey Ervin.” Yuri membalas perlahan dan kelihatan Ervin berpuas hati dengan panggilan itu.Layankan sajalah Yuri.Dia bos,kau kuli.Kalau dah kuli tu,buat jelah cara kuli.Jangan hendak melawan orang atasan! Teruk padahnya nanti.

“Em,lagi satu hal,daripada awak syok sangat belek muka Ace tu lebih baik awak bersihkan kaca ini yang dah penuh dengan cap jari awak.Jangan tahu nak berkhayal saja.Fokus pada kerja tu Mayurie Rosella.” Pedas lagi berbisa ayat terakhir Ervin sebelum dia berlalu pergi meninggalkan gadis itu.Saja ingin menyakat.Wajah cemberut gadis itu menceriakan hari Daniel Ervin!

No comments: