Thursday, November 27, 2014

REMAKE: SUMPAHAN BIDADARI SYAITAN BAB 1,2,3






P/S: Assalamualaikum dan salam sejahtera. Firstly, maaf dipinta kerana blog ni dah bersawang lama. Berita baik untuk peminat tegar novel fantasi Sumpahan Bidadari Syaitan,,, mood saya kembali untuk menyambung kisah ini. Ha4. gaya cakap macam novel dah siap aje kan.
- tulis novel fantasi bukan senang, but I keep trying.
- Saya betulkan part dulu sebab rase banyak yang tak kena dan perlu ubah.
- So I make a liitle bit change and Insya-Allah, I ll proceed with this story!
- Just make sure you all keep supporting, like and comment ya!
- Saya akan masukkan satu minggu 1 bab.
- Dan kalau banyak yang share dekat fb, bab akan dimasukkan dengan segera.
- Thanks kepada semua peminat SBS. Love u all~


SUMPAHAN BIDADARI SYAITAN

Prolog
“Sky tak nak kahwin mama. Sky baru 18 tahun! Kenapa mama nak paksa Sky kahwin dalam usia semuda ini?!” Sky membentak ibunya, Puan Scarlett dengan wajah merah menyala.
“Mama tak suruh kamu kahwin pun. Mama cuma nak kamu bertunang.” Puan Scarlett menjawab selamba sambil menyisip teh di ruang tamu.
“Bukannya senang lelaki keluarga bangsawan berkehendakkan kamu Sky. Sepatutnya kamu menerima lamaran ini dengan hati yang terbuka.” Sela Alex bersahaja. Dia sedang membaca akhbar dan malas bertatap mata dengan anak tunggalnya itu.
“Mama dengan papa nak jual Sky ke? Tak cukup ke semua usaha yang Sky lakukan selama ini untuk senangkan hidup mama dengan papa?!” Sky masih menengking.
“Memang tak cukup sayang. Kita tak cukup kaya dengan karier kamu. Mama dan papa nak kaya cepat. Jadi lebih baik kamu terima saja lamaran tu.” Bicara Puan Scarlett menambah berang di hati Sky.
“Mama dengan papa memang tak sayangkan Sky! Sky nak keluar daripada rumah ni!”
Skymenghamburkan kemarahan sebelum bergegas masuk ke dalam biliknya di tingkat dua. Belum sampai 15 minit dia kembali ke tingkat bawah dengan membawa sebuah bagasi sederhana besar.
“Lari daripada rumah jangan lama-lama sayang. Kamu perlu masuk universiti minggu depan.” Puan Scarlett bersuara lagi. Masak sangat dengan perangai Sky yang kerap lari daripada rumah apabila ada masalah.
“Jangan lupa tutup pintu bila kamu keluar.” Tokok Alex, bapanya pula.
Sky melopong dengan bicara ibu bapanya yang langsung tidak endah akan pemergiannya dari rumah itu. Dengan muka masam mencuka dia menarik bagasi dan keluar daripada rumah. Pintu dihempas kuat sebelum dia berdiri seketika di perkarangan banglo dua tingkat itu. Dia merenung lama rumah itu sebelum menghela nafas panjang.
“Selamat tinggal, mama, papa.”
Sky menggumam kecil sebelum memasuki sebuah kereta mewah yang sedia menunggu di hadapan rumahnya sedari tadi. Kereta tersebut meluncur laju meredah jalanraya di pagi yang indah itu.


















BAB 1
“Kita menuju ke mana ni Sharon?”
Pertanyaan Blair mematikan lamunan Sky. Blair sedang meninjau suasana luar bot daripada cermin lutsinar. Apa yang kelihatan dimatanya hanyalah lautan biru yang terbentang luas dan awan mendung kehitaman yang berarak perlahan. Suasana luar agak kurang baik untuk mereka menjalankan aktiviti air seperti kebiasaan.
“Mana-mana ajelah.”
Sharon menjawab pendek dan Sky tersenyum apabila melihat Blair mendengus kecil. Dua orang sahabatnya itu sering bertikam lidah dan tidak sebulu. Walaupun begitu, mereka masih bersahabat baik. Sharon adalah gadis inggeris tipikal dan Blair, gadis afrika berkulit hitam manis. Sharon adalah tuan empunya bot yang mereka naiki saat itu. Apabila ingin beriadah, Sky dan rakan-rakannya akan bergerak merentasi air untuk menenangkan jiwa.
Sebetulnya perancangan Sharon hari itu adalah atas permintaan Arlen. Arlen teringin untuk membawa Sky ke sebuah pulau yang berdekatan untuk menggembirakan hati kekasihnya itu. Lokasi pulau agak jauh daripada jeti. Demi persahabatan baik mereka, Sharon dengan senang hati menunaikan permintaan Arlen.
“Babe, sini kejap.” Arlen yang tadinya sedang duduk membaca sebuah buku tebal di penjuru bot memanggil Sky agar mendekatinya. Sky tersenyum manis sebelum mendapatkan buah hatinya itu.
Arlen, lelaki yang dicintai Sky sejak zaman sekolah menengah lagi. Namun, hubungan mereka tidak direstui Scarlett dan Alex kerana Arlen berasal daripada keluarga orang susah. Sky jatuh hati terhadap kebaikan dan kecerdikan pemuda itu. Sepanjang di sekolah, Arlen sentiasa membantu Sky menyelesaikan masalah dalam pembelajaran. Lelaki itu sering menjadi pendamping untuk mendengar semua permasalahannya.
“Tak habis lagi ke terjemah buku tu?”
Sky duduk di sisi Arlen sambil memandang tulisan buku tebal yang sudah hampir koyak itu dengan riak tidak berminat. Satu patah haram daripada perkataan greek itu langsung tidak difahaminya. Kadang-kadang dia terasa meluat apabila Arlen melebihkan buku itu berbanding dirinya sejak dua bulan lepas. Teman lelakinya itu terlalu taksub untuk menyelesaikan terjemahan buku terbabit.
“Baru separuh je babe. Tulisan greek dalam buku ni banyak bercampur dengan tulisan purba. Jadi susah sikit untuk saya terjemahkan semuanya.”
Sky mengangguk-angguk kecil. Buku yang sudah lusuh dan hampir lunyai itu ditemui Sky sewaktu ekspedisi Pulau Duyung dua bulan lepas.Waktu itu dia dan Arlen bermain di gigi air dan Sky terlihat sebuah objek terdampar di persisiran pantai. Apabila dilihat daripada dekat, objek itu merupakan sebuah buku tebal yang dibasahi air. Arlen mengambil buku itu dan mengeringkannya. Mujurlah buku itu masih boleh dibaca.
Mengikut perkiraan Arlen, buku itu mungkin dimiliki oleh seorang pelancong Greek yang berkunjung ke Pulau Duyung. Berkemungkinan buku itu tercicir sewaktu pelancong tersebut berada di atas air. Arlen yang mahir bertutur dalam pelbagai bahasa mampu menterjemah separuh daripada isi kandungan buku itu. Kata Arlen buku itu bertajuk Pulau Syaitan.
“Hei Arl, kau tak fikir buku yang kau baca ni buku sejarah kan?” Paul, rakan sekelas Arlen bertanya dengan riak wajah bimbang.
“Taklah, aku rasa ia buku dongeng.”
“Tapi kulit buku dan warna kertas buku ni macam betul-betul buku zaman purba. Entah-entah ini buku sumpahan.”
Sky menelah sambil menyentuh helaian buku itu. Saja sebenarnya ingin menyakat Paul yang selalu taksub dengan dunia paranormal. Remaja itu selalu berfikiran semua kisah dongeng adalah benar dan dunia fantasi itu wujud.
“Barang sesiapa yang mengetahui isi kandungan buku ini. Dia akan ditimpa malapetaka.” Ralph yang datang dari arah belakang tiba-tiba duduk di sebelah Paul dan melihat buku itu. Seolah-olah dia memahami setiap butir perkataan Greek yang tertulis cantik di atas buku tersebut.
“Mulut tu janganlah cabul sangat. Kau bukan faham bahasa Greek pun!” Arlen meluku kepala Ralph hingga pemuda itu tergelak. Sky dan yang lainnya turut tayang sengih.
“Tapi kan kau orang tak terfikir ke yang buku ini membicarakan tentang misteri di laut yang benar-benar telah terjadi.” Sharon yang tadinya sedang berbual dengan pemandu bot mendapatkan rakan-rakannya yang sedang berkumpul.
“Maksud kau?” Blair bertanya dengan riak curiga.
“Yalah mengikut cerita Arlen kali lepas, buku ini mengisarkan tentang misteri orang yang hilang di laut. Semua orang yang hilang di laut akan terdampar di Pulau Syaitan.”
Sharon mengulang kembali serba sedikit cerita yang pernah diberitahu Arlen melalui terjemahan buku itu kepadanya kali lepas. Buku itu menceritakan tentang misteri Pulau Syaitan yang tidak diketahui lokasi sebenarnya. Dalam buku itu mengatakan Pulau Syaitan dihuni oleh kaum syaitan yang kejam dan memakan manusia. Manusia yang hilang dilautan akan terdampar di Pulau Syaitan dan nyawa mereka akan melayang disana. Sejauh mana kebenaran buku itu tiada siapa yang tahu.
“Alahai, tak payah nak percaya sangatlah. Seperti kita menonton filem Pirates of Carribean. Takkan kita nak percaya Flying Dutchman tu wujud?”
Sky seorang gadis moden yang tidak pernah percaya akan semua perkara yang tidak dilihat dengan mata kepalanya sendiri segera menyampuk.
“Aku percaya Flying Dutchman wujud seperti aku percaya wujudnya Segi Tiga Bermuda yang menelan ramai manusia.” Jawapan Paul membuatkan mereka semua tergelak.
“Tiada apa yang lebih mengerikan berbanding malam di Pulau Syaitan. Apa yang dirasai hanyalah kesakitan, kepedihan dan kesengsaraan. Apa yang dilihat adalah sumpahan kekal abadi. Apa yang dilihat hanya boleh berubah dengan pengorbanan darah. Tiada siapa yang mampu melerai kutukan ini melainkan…” Arlen menambah terjemahan baru buku itu.
“Melainkan apa?” Sky yang khusyuk mendengar pantas bertanya apabila Arlen menghentikan terjemahannya. Dia tidak percaya tetapi dia suka mendengar. Itulah sikap Sky yang paling disukai Arlen. Sky seorang gadis yang amat memahami dan pandai berdikari.
“Muka surat ni koyaklah babe. Tak boleh baca lagi.”
Sky mengeluh hampa dengan jawapan Arlen. Kelihatan separuh daripada muka surat yang dibaca Arlen itu telah rabik. Mungkin akibat dibasahi air.
“Abaikan jelah Sky. Jom kita ambil angin dekat luar.” Blair yang kurang senang dengan isi kandungan buku misteri itu segera menarik tangan Sky agar keluar daripada bot.
Mereka berdua berdiri di bahagian tepi bot dan menarik nafas panjang.
“Kau dah tak tengok ke wajah calon suami yang ibu bapa kau pilihkan tu?” Blair yang mengambil Sky dengan kereta tadinya sempat mendengar masalah yang dihadapi sahabat baiknya itu.
“Tak. Aku tak berminat. Kau tahu kan yang aku cintakan Arlen. Siapa pun lelaki pilihan parents aku selain daripada Arlen, aku takkan terima untuk jadi suami.” Sky menjawab tenang.
“Kau sangat setia dengan Arlen. Kau tak terfikir ke jika lepas kita sambung belajar, kau mungkin akan jumpa lelaki yang lebih hebat daripada Arlen?” Rambut lurus Blair terbang dibuai angin. Dia kagum dengan cinta Sky terhadap Arlen. Walaupun Sky digilai ramai lelaki. Gadis itu hanya memilih pemuda biasa untuk dicintai.
“Bagi aku, Arlen lelaki yang paling hebat. Aku tak pandang kekayaan atau kekacakan. Cukuplah jika dia baik hati dan mampu melindungi aku sepanjang masa. Aku takkan cari lelaki lain selagi Arlen cintakan aku.” Luahan Sky membuatkan Blair mengangguk-angguk kecil.
Sky atau nama sebenarnya Scarlett Selena berumur 18 tahun. Seorang pelajar pintar yang baru menamatkan pengajian di sekolah tinggi. Gadis itu memiliki rambut lurus bewarna merah jambu paras pinggang. Badannya langsing dan agak tinggi. Kulitnya putih gebu dan bibirnya merah merekah tanpa secalit gincu. Matanya bundar bewarna hitam. Mata yang kelihatan misteri dan penuh rahsia. Dia memiliki kecantikan yang luar biasa kerana berdarah campur. Puan Scarlett adalah warga Amerika manakala suaminya Alex adalah seorang lelaki yang berasal dari Korea Selatan.
Sky terkenal di kalangan remaja sebagai seorang penyanyi yang namanya baru meningkat naik apabila dia memenangi sebuah pertandingan nyanyian di Amerika. Walaupun begitu, kedua orang tuanya langsung tidak mengiktiraf bakat yang dimiliki gadis itu. Sky bercadang untuk mengambil jurusan muzik apabila menyambung pelajaran di universiti kelak. Namun, kedua orang tuanya menghalang dan mengarahkan dia mengambil kursus perniagaan. Blair tahu yang hubungan Sky bersama kedua orang tuanya kurang baik.
“Langit sangat gelap hari ini. Seperti nak ribut.” Sky bersuara perlahan sambil memandang langit yang semakin gelap. Sesekali imbasan kilat kelihatan menerangi langit.
“Rasanya kita patut kembali ke darat. Jika ombak besar melanda, susah kita nanti.” Blair bersuara bimbang.
“Sharon, aku rasa kita patut patah balik ke darat. Hujan lebat akan turun sebentar lagi.”
Sky menjerit sedikit kuat untuk memanggil Sharon yang masih rancak berbual bersama Arlen, Paul dan Ralph. Gadis sebaya Sky itu bergegas menuju ke luar bot dan sama-sama melihat pokok hari. Laut yang tadinya tenang kini sedikit bergelora. Jauh dihadapan kelihatan kabus yang tebal dan sayup-sayup kedengaran bunyi guruh.
“Okey. Jangan bimbang. Kita akan berpatah balik ke jeti sebelum hujan turun.” Sharon berlari anak menuju ke kabin pemandu bot.
“Oh shit!” Jeritan kuat Sharon beberapa minit kemudian menggegarkan semua orang yang berada dalam bot itu. Sky dan Blair segera bergegas ke kabin pemandu bot. Arlen, Paul dan Ralph yang sama mendengar jeritan Sharon segera mendapatkan gadis itu.
“Kenapa Sharon?” Blair bertanya cemas.
Uncle Peter tak ada dalam bot. Dia hilang. Bot kita tak ada pemandu!” Sharon yang berwajah pucat memberitahu dengan nafas yang termengah-mengah. Dia berlari ke sekitar bot untuk mencari Uncle Peter tadinya. Namun pencariannya menemui kegagalan. Kini bot mereka bergerak tanpa pemandu.
Damn, enjin bot ni dah rosak!” Paul yang agak mahir memandu bot cuba memberhentikan bot itu daripada terus bergerak ke hadapan. Namun, cubaannya gagal. Bot itu terus bergerak laju tanpa dapat dikawal.
“Kita berpecah. Cari di keseluruhan bot dan lihat permukaan air. Mungkin uncle Peter  terjatuh ke laut. Cepat!”
Ralph bertempik dan mereka semua meninggalkan kabin pemandu dengan segera. Mereka mencari kelibat Peter di setiap pelosok bot itu namun gagal. Arlen dan Sky meninjau dibahagian luar bot. Memikirkan kemungkinan yang Uncle Lim telah jatuh ke dalam air. Malangnya pencarian mereka tetap tidak mendatangkan hasil.
Oh my god! Mati kita Arlen!” Sky memegang tangan Arlen apabila melihat tidak jauh dihadapan, satu pusaran air yang besar, hitam dan menakutkan bakal menelan bot mereka.
Tidak sampai beberapa saat, hujan turun dengan lebat membasahi mereka. Hari yang tadinya mendung sudah berubah segelap malam. Kilat sabung menyabung di atas kepala membawa petanda satu malapetaka akan berlaku sebentar lagi. Ombak semakin mengganas dan bot mereka mula disimbahi air yang menggila.
Sharon, Blair, Paul dan Ralph sama berdiri diluar deck bot melihat perubahan suasana yang tiba-tiba itu.Wajah mereka sepucat orang yang telah mati. Mereka semua seperti patung saat itu. Kaki tidak mampu bergerak dan hanya mata yang menggambarkan perasaan masing-masing
“Berpantang ajal sebelum maut.” Sky menjerit sebelum bergegas masuk ke dalam bot dan mengambil enam buah jaket keselamatan bewarna oren dan menyerahkan jaket itu kepada rakan-rakannya. Mereka dengan tangan yang terketar-ketar memakai jaket keselamatan di badan masing-masing secepat mungkin.
Sky cuba mengimbangkan diri daripada jatuh setiap kali bot dilambung ombak.Tiada apa yang boleh mereka lakukan lagi. Hendak terjun ke laut, mereka akan mati lemas dibantai ombak setinggi pokok kelapa. Jika mereka terus berada dalam bot yang rosak itu mereka akan ditelan pusaran air. Mereka tiada pilihan. Mereka berenam berpegangan tangan antara satu sama lain membentuk bulatan dalam bot itu. Titisan jernih mengalir keluar daripada tubir mata Arlen tanpa dia sedari. Dia memandang ke arah Sky, gadis kesayangannya. Adakah semuanya akan berakhir disini?
“Andai takdir memisahkan kita di sini. Saya berharap dapat bertemu dengan awak di alam lain Sky.” Arlen berbisik perlahan sebelum pemandangan Sky gelap.
“Tidak!” Sky menjerit kuat apabila badannya melayang menghempas dinding bot.
Bot telah terbalik dan memasuki pusaran air.Telinganya hanya mampu mendengar jerit pekik dan lolongan yang mengerikan.Tubuhnya berpusing-pusing seperti dipukul sesuatu dengan kuat. Sky merasakan ajal semakin hampir dengannya.Wajah mama dan papa yang tidak berperasaan terbayang dalam fikirannya.

BAB 2
Skyterbatuk-batuk kecil mengeluarkan air yang memenuhi paru-paru. Terasa tubuhnya basah dan melekit dengan butiran pasir dan air masin.Terdengar deruan ombak yang mengalir perlahan tidak jauh dari tempat dia terdampar. Badannya terasa lemah dan setiap urat sendinya terasa tidak mampu berfungsi. Dia yang tadinya baring mula duduk dan memerhati keadaan sekeliling. Dia berada di darat!
“Aku berada di mana ni?!” Mata Sky membulat apabila melihat bulan mengambang penuh di hadapannya. Lautan yang terbentang luas kelihatan tenang dan langit dipenuhi bintang yang bergemerlapan. Sky memisat matanya berkali-kali. Cuba memastikan apa yang dilihatnya bukan mimpi. Bukankah dia baru saja ditelan pusaran air yang menggila?
Kemana perginya ribut, hujan lebat dan kilat yang sabung menyabung tadinya? Sky tersedar yang dia bersendirian di situ. Pantas saja dia berdiri dan berlari anak ke kiri dan ke kanan.
“Arlen! Sharon! Blair!” Suara Sky memecah ketenangan malam di persisiran pantai itu.
“Paul, Ralph! Kau orang kat mana?!” Sky masih terjerit pekik dengan wajah cemas. Memanggil satu demi satu nama sahabatnya.
Semua rakannya sudah tiada. Bot yang mereka naiki turut tidak kelihatan. Mungkin sudah karam dibantai ombak. Sky duduk berteleku di atas pasir setelah penat menjerit memanggil nama kawan-kawannya. Air mata keluar menitis daripada tubir. Sungguh dia tidak menyangka malapetaka akan menimpa dia dan rakannya dalam sekelip mata.
Bunyi sesuatu yang bergerak dalam air menyebabkan Sky menelan liur.Dari kejauhan dia dapat melihat satu objek kehitaman tenggelam timbul. Bulu roma Sky meremang apabila dia  terlihat objek itu seperti kepala manusia yang mempunyai mata. Dia yang duduk atas pasir berengsot perlahan ke belakang menjauhi gigi air. Masih tidak pasti apakah gerangan makhluk misteri yang kelihatan berenang mendekatinya.
“Arlen?” Jauh di sudut hati, Sky berharap makhluk yang sedang berenang itu adalah sahabatnya. Semakin dekat makhluk itu mendekati gigi air, Sky mula sedar yang itu bukanlah manusia.
“Ikan duyung?!”
Sky terjerit kecil apabila dua makhluk itu melompat di atas air. Di bawah sinar bulan, jelas kelihatan separuh badan manusia yang bewarna hitam dan separuh ekor ikan bewarna perak. Namun, rupa makhluk itu belum dapat ditatap sepenuhnya. Dia yang terpegun dengan keajaiban makhluk itu mula merapatkan diri ke gigi air. Air yang tadinya berkocak kembali tenang.
Belum sempat beberapa kali Sky mengerdipkan mata, makhluk yang tadinya menghilang tiba-tiba melompat tinggi dari permukaan air dan menjunam jatuh di hadapan Sky. Makhluk yang menyerupai perempuan tua hodoh dan bergigi tajam seperti ikan pirana itu bergerak seperti ular di atas pasir dan cuba menggigit Sky. Dia terjerit pekik apabila gigi ikan duyung itu terbenam pada jaket keselamatan yang masih tersarung di badannya.
“Argh!!! Tolong!!!” Dengan kudrat yang ada Sky merentap kasar jaket keselamatannya hingga tercabut. Ikan duyung hodoh itu masih menggigit jaket keselamatannya seperti sedang memakan sesuatu yang lazat.
Belum sempat Sky melarikan diri daripada makhluk mengerikan itu, seekor lagi ikan duyung berupa sama melompat ke atas darat dan cuba menerkamnya. Dia sempat mengelak. Apabila gigi ikan duyung itu hampir saja mengenai kaki kirinya, Sky bertindak pantas menyepak kepala ikan duyung itu. Masa seperti terhenti apabila kepala ikan duyung itu tercabut daripada badannya. Ekor yang tertinggal menggeliang geliut di atas pasir sebelum berderai menjadi debu.
Sky terpegun apabila melihat puluhan kepala hitam muncul dari permukaan air dengan mata merah menyala memandangnya. Semua mahkluk itu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan seolah-olah berbicara akan sesuatu. Tidak sampai beberapa saat, ikan duyung yang tadinya menggigit jaket keselamatan Sky kembali melompat masuk ke dalam air. Gerombolan makhluk itu berenang laju menjauhi gigi air. Mereka seperti melarikan diri daripada sesuatu yang merbahaya!
Sky terpaku disitu beberapa ketika sebelum dia mengambil keputusan untuk menjauhi gigi air. Khuatir jika makhluk hodoh dan mengerikan tadi kembali muncul untuk menyerangnya. Beberapa minit berlalu suasana kembali tenang. Nampaknya kelompok ikan duyung tadi benar-benar telah pergi.
Sky terduduk di atas pasir memikirkan semua perkara yang telah terjadi. Dia pasti dia tidak bermimpi apabila dirinya hampir dimakan ikan duyung hodoh itu. Tetapi dia masih menafikan yang makhluk seperti ikan duyung wujud dalam dunia ini. Bukankah ia hanya mitos dan cerita fantasi?
Bukankah ikan duyung sepatutnya memiliki wajah yang cantik dan mempersonakan? Bukan bertaring dan berwajah hodoh seperti nenek tua yang disimbah asid. Tetapi mana buktinya ikan duyung itu berwajah cantik jika bukan semua fakta merepek itu hanya berada dalam buku-buku dongeng? Apa yang dia lihat sekarang adalah spesies ikan duyung yang sebenar. Raksasa laut pemakan manusia. Mujur dia tidak menjadi mangsa.
Sky tersentak daripada terus mengelamun apabila terdengar bunyi sesuatu mengaum kuat tidak jauh daripada tempat dia duduk. Dengan badan yang agak menggigil dia berdiri dan berundur ke belakang. Jantungnya hampir berhenti berfungsi apabila terlihat dua lembaga hitam berbulu lebat dengan mata merah menyala sedang memerhatikannya dari kejauhan. Dua lembaga yang berupa seperti mawas gergasi itu bergerak perlahan dengan air liur yang meleleh keluar daripada mulut.
Tidak sampai beberapa saat Sky dan dua makhluk itu bertatapan, makhluk hitam berbulu itu kelihatan ingin menerkamnya. Sky terus berlari meninggalkan persisiran pantai dan memasuki hutan tebal dibelakangnya. Kedengaran derap kaki mawas gergasi itu mengejar. Dia perlu berlari selaju mungkin untuk menyelamatkan diri. Mustahil untuk dia melawan dua makhluk yang bersaiz seperti anak gajah itu.
Sinaran bulan mengambang sedikit sebanyak membantu Sky meredah belantara pada malam hari. Bajunya sudah koyak sana sini akibat tersangkut pada pokok berduri dalam hutan.Walaupun lengan, siku dan kakinya berdarah, semua kesakitan itu langsung tidak dirasai. Apa yang mencengkam jiwanya saat itu hanyalah ketakutan yang melampau.
Dia bersembunyi dibawah akar banir sepohon pokok gergasi yang menjulang tinggi ke langit dengan badan menggigil dan kesejukan. Bunyi derap kaki yang mengejarnya sudah hilang. Namun, telinganya dapat menangkap bunyi sesuatu melayah di udara. Sky tidak berani berpaling ke atas apabila dia terlihat dahan pokok dihadapannya bergoyang-goyang. Seperti ada sesuatu yang hinggap di situ. Dalam suasana sebegitu, bila-bila masa saja ajal akan menjemputnya. Sky sedikit sebak bila mengenangkan yang dia mungkin akan mati tanpa mama dan papa disisi.
Suasana tenang seketika dan pokok yang tadinya bergoyang kembali pegun. Sky memberanikan diri untuk keluar dari tempat persembunyian. Dia berasa tidak selamat jika terus berada di situ. Lututnya agak lemah kerana penat berlari. Ditambah lagi dengan ketakutan yang melampau, seluruh urat sendinya terasa longgar.
Dia mematikan langkah apabila terasa ada sesuatu yang mengekori. Walaupun badan bermandi dengan peluh, dia masih memberanikan diri untuk berpaling ke belakang. Tubuh Sky kaku apabila melihat beberapa kaki dihadapan terdapat seekor haiwan yang bergigi panjang sedang menapak ke arahnya. Ia adalah seekor harimau putih bergigi panjang!
Dia ingin menjerit, namun tiada suara yang keluar. Sky berundur tapak demi tapak ke belakang. Saber tooth white tiger yang Sky tahu telah pupus dalam dunia itu kelihatan ingin mendekatinya. Mata kuning lagi tajam haiwan itu memandang Sky seperti ingin mengatakan sesuatu.
Tanpa berfikir panjang Sky berpaling ke belakang dan sekali lagi dia memulakan marathon dalam hutan tebal itu. Setelah beberapa kali tersadung akar kayu, merempuh pohon berduri dan terpelecok kerana tanah licin, Sky tiba di satu kawasan lapang. Dia tertinjau tinjau ke segenap penjuru untuk memastikan yang harimau tadi tidak mengikutinya.
Apabila dia berpaling ke depan, mulutnya terlopong dan rahang hampir terjatuh. Di hadapannya tersergam indah sebuah singgahsana yang terang benderang dan sangat besar. Bangunan itu mempunyai reka bentuk seperti sebuah istana zaman Arthurian. Dipagari tembok besi tinggi dan terdapat obor-obor api disekeliling. Bumbung bewarna coklat keemasan dan berbentuk kon. Struktur bangunan itu terdiri daripada batu bata merah yang disusun cantik.
Beberapa ketika Sky terpaku dengan kecantikan reka bentuk bangunan dihadapan matanya itu. Dia mengucap syukur dalam hati kerana dapat memastikan ada manusia yang hidup di atas pulau itu selain dirinya. Sky segera berlari anak memasuki kawasan pagar utama yang terbuka luas dengan hati yang berdebar-debar. Selangkah saja dia masuk, pagar dibelakangnya berkelentang tutup dengan sendiri. Sky kembali cemas.
Suara sekumpulan manusia yang berborak tidak jauh dari tempat dia berdiri membuatkan ketakutan Sky hilang begitu saja. Dia ingin menegur kumpulan manusia itu. Namun lidahnya tersekat untuk bertanya apa-apa soalan apabila melihat gaya pemakaian mereka. Enam orang lelaki tersebut mengenakan pakaian besi lengkap seperti ingin berperang. Sebilah pedang tersarung di pinggang setiap satu dari mereka. Mengapa mereka berpakaian begitu?
“Carl, kita dah jumpa mangsa kita!” Jeritan seorang lelaki menyebabkan Sky tergamam. Dia tidak berdaya untuk bergerak lagi. Dia hanya memerhatikan enam pemuda itu mendekatinya. Daripada wajah mereka kelihatan sepeti orang inggeris yang normal. Bercakap pun dalam bahasa yang bisa difahaminya.
“Bagus. Nampaknya pemburuan kita pada malam ini berlangsung dengan mudah.”
Lelaki bernama Carl itu bersuara apabila dia berdiri dihadapan Sky. Wajah pemuda itu kelihatan tenang dan dia mengukir senyuman gembira. Pemburuan apakah yang mereka maksudkan? Mengapa dia yang disebut sebagai mangsa?
Belum sempat Sky berfikir panjang, Carl mengeluarkan pedangnya.Tanpa sebarang bicara perut Sky ditusuk dengan pedang tajam itu. Sky rebah ke bumi dengan darah yang membuak-buak keluar menerusi perut. Saat itu dia merasakan kesakitan yang teramat menyelinap dalam segenap urat nadinya.Tubuh terasa kejang dan dia mula membeku seperti ais. Kedengaran suara-suara lelaki tadi bersorak riang sebelum Sky merasakan semuanya sunyi. Adakah ajal sudah menjemputnya?
………………………..
“Bangun sayang. Matahari dah terbit ni.”
Sky merasakan seseorang mengusap lembut pipinya. Sinar matahari menerangi bumi menyilaukan pandangan dia yang baru tersedar. Dia terpinga-pinga seketika sebelum memandang kiri dan kanan dengan cemas. Dia masih berada di tempat semalam. Dia tidak bermimpi! Dia meraba perutnya. Pelik! Tiada sebarang kecederaan atau tompokan darah di situ. Apa sebenarnya yang telah terjadi?!
“Hei, mamai lagi ke?”
Sky tersentak apabila seseorang mencucuk pipinya dengan jari telunjuk. Apabila dia berpaling ke kanan, dia dapat melihat seraut wajah tampan sedang mencangkung disisinya. Sky terdiam sejenak sebelum berengsot ke belakang menjauhi pemuda yang tidak dikenali itu. Adakah pemuda itu berniat untuk membunuhnya?
“Panaslah duduk dekat situ. Jom, kita masuk dalam.” Pemuda itu menghulurkan tangan kepada Sky dengan senyuman mesra. Sememangnya dataran di hadapan istana itu terpancar dengan panas terik matahari.
“Kau siapa? Aku tak kenal kau. Aku tak tahu macammana aku boleh ada dekat sini.” Sky akhirnya membuka mulut. Pemuda itu tersenyum kecil sebelum menapak perlahan mendapatkan Sky dan berlutut satu kaki di sisi gadis itu.
“Nama aku Cyril. Semua orang dekat sini panggil aku Cyril. Kau?” Cyril mencuit lagi pipi gebu itu dengan jarinya. Rasa seronok memperlakukan gadis cantik itu sedemikian rupa. Sky menepis tangannya.
“Sky.”
Sky teragak-agak memperkenalkan diri pada pemuda yang ramah itu. Orangnya memang kacak. Berbadan tegap, wajahnya putih bersih dan matanya bewarna hijau suram. Cuma rambutnya yang pelik, bewarna putih kelabu. Lebih kepada warna perak. Sangat menarik perhatian! Cyril mengenakan kemeja lengan pendek bewarna putih dengan seluar slack bewarna hitam. Hujung kemeja lengan kanannya bewarna merah darah. Daripada pemandangan Sky, gaya pemuda itu seperti seorang pelajar sekolah menengah.
“Sky aje? Nama penuh kau apa?”
“Cuma Sky.” Sky tidak akan memberitahu nama penuhnya dengan mudah!
“Kita dekat mana ni?” Sekali lagi Sky bertanyakan soalan yang sama.
“Em, banyak benda yang kau akan tanya nanti. Jadi, sebelum kita bercerita lebih panjang, apa kata kau bersihkan diri dulu. Jomlah ikut aku. Aku tak makan orang.”
Cyril bangun dan menarik tangan Sky agar sama berdiri. Dengan perasaan was-was Sky mengikut jejak langkah pemuda yang baru dikenalinya itu melangkah masuk ke dalam singgahsana tersebut. Lagipun dia memang tiada pilihan lain. Dia tidak akan berpatah balik ke hutan atau ke pantai. Kelak tubuhnya akan dimamah binatang-binatang buas yang ditemuinya semalam.
Sky sedikit terpegun apabila mendapati ruang legar bangunan tersebut dipenuhi dengan ratusan manusia sebaya Cyril. Semua lelaki yang berada di situ mengenakan pakaian yang sama dengan Cyril. Manakala yang perempuan mengenakan kemeja lengan pendek dengan skirt labuh bewarna hitam.
Apa yang membezakan mereka hanyalah warna hujung lengan kemeja. Ada yang bewarna merah, hitam, hijau, biru, kuning. Mereka kelihatan membawa buku dan berborak antara satu sama lain. Namun, Sky sedikit pelik apabila semua manusia yang berada di situ memandangnya tajam apabila menyedari kehadirannya di situ. Cyril berwajah tenang dan terus memimpin tangannya melintasi semua pelajar yang mula berbisik-bisik antara satu sama lain.
“Hei Cyril, kau dah dapat mangsa baru ke? Cantik sungguh!” Seorang pemuda yang kemejanya sama warna dengan Cyril menghalang laluan mereka. Pemuda itu cuba menyentuh pipi Sky namun Cyril cepat bertindak dengan menolak tubuh pemuda itu. Apa yang Sky tidak sangka dengan satu tolakan lembut, pemuda itu jatuh menyungkur ke atas lantai.
“Jangan nak kurang ajar di siang hari dengan aku Roy. Dia milik aku. Kalau kau sentuh dia, kau mati.”
Berderau darah Sky mendengar bicara serius Cyril. Sejak bila pulak dia menjadi milik pemuda itu? Pemuda yang bernama Roy itu tersenyum sinis sebelum bangun dari jatuh dan berlalu pergi. Kelihatan beberapa orang perempuan yang hujung lengan kemeja mereka bewarna merah mencerlung marah ke arah Sky sebelum mengikut jejak Wan.
“Oh, maafkan aku. Aku bukan sengaja cakap kau milik aku. Aku cuma tak nak dia orang usik kau aje.” Cyril memberi penjelasan tanpa dipinta apabila perasan Sky melihatnya pelik. Sky diam tanpa kata.
Tiba di satu sudut Sky hampir bertembung dengan seseorang. Apabila dia melihat wajah orang yang melanggar bahunya itu, dia diserang ketakutan. Automatik tangannya mencengkam kuat lengan Cyril dan dia berlindung di balik tubuh pemuda itu.
Wajah Carl yang menikam perutnya semalam tidak pernah hilang dari ingatan. Walaupun dia tidak mati dan tiada kesan tikaman di perutnya. Kesakitan yang dia rasai semalam masih belum hilang. Sky sendiri pelik dengan kejadian itu. Adakah dia bermimpi ditikam Carl atau dia benar-benar telah ditikam?
“Oh Cyril. Kau tunggu malam ni. Kita tengok siapa yang menang.” Carl menumbuk bahu Cyril, menjeling Sky penuh makna dan terus berlalu dengan lima orang lelaki dibelakangnya. Cyril menarik tangan Sky dan kembali memimpinnya.
“Jangan takut, mereka takkan berani apa-apakan awak.”
“Siapa mereka semua ni? Mereka nampak macam pelajar sekolah?” Sky tidak dapat menahan mulutnya daripada bertanyakan hal itu.
“Bukan macam tapi memang pelajar sekolah.” Cyril melepaskan pegangan tangan Sky sebelum berdiri di hadapan gadis itu. Dia mendepangkan kedua tangannya dengan senyuman yang sukar ditafsirkan. Pemuda itu kelihatan gembira sekali.
“Selamat datang ke Sekolah Tinggi Bidadari, Sky.”
Penyataan Cyril membuatkan Sky terpempam. Bagaimana dia boleh tidak tahu yang wujudnya sekolah sebesar ini di atas sebuah pulau. Sekolah yang terletak di tengah hutan belantara. Di tengah laut? Sebelum ini dia tidak pernah mendengar nama Sekolah Tinggi Bidadari?
“Sekolah Tinggi? Ini bukan sebuah pulau ke?” Sky tanya lagi.
“Oh ya. Lupa pulak aku nak cakap.” Cyril yang tadinya sudah menjatuhkan tangan kembali mendepangkan tangannya tanda menyambut kehadiran Sky. Kemeja yang tidak terselit pada seluarnya langsung tidak menjejaskan kekemasan pemuda itu.
“Cik Sky, selamat datang ke Pulau Syaitan!”










BAB 3
Sky terpegun apabila mendengar nama Pulau Syaitan. Adakah Pulau Syaitan yang dikatakan Cyril itu adalah pulau sama dalam buku yang ditemui Arlen? Pulau yang katanya dipenuhi syaitan dan menjadi momokan semua manusia dalam dunia? Semua peristiwa yang berlaku semalam terimbas dalam kotak fikiran Sky. Sememangnya dia telah berjumpa dengan beberapa jenis makhluk pelik yang sepatutnya tidak wujud dalam dunia nyata. Adakah semua makhluk itu adalah syaitan?
“Hei, berangan ke?” Sekali lagi Cyril mencuit pipi gebu itu dengan jari telunjuknya. Sky terkejut dan terpinga-pinga.
“Aku tahu banyak perkara yang memeningkan kepala kau. Sabar sikit ya. Lepas kau bertukar pakaian dan makan, aku akan benarkan kau tanya aku apa-apa soalan pun.”
Cyril bersuara lembut. Agak simpati melihat wajah cantik yang pucat itu. Dulu, dia pun begitu. Namun sekarang semuanya sudah berubah. Dan dia pasti Sky juga akan berubah!
“Cyril, kau undi warna apa untuk perempuan ni?” Teguran seorang perempuan berambut ikal mayang mematikan lamunan Cyril.
“Sudah tentulah merah sebab dia cantik.” Jawapan Cyrilk membuatkan Sky diserang tanda tanya.
“Aku undi hijau sebab aku rasa dia sama dengan aku.” Perempuan itu menepuk bahu Sky sebelum menunjukkan warna hijau pada hujung kemejanya.
“Apa hal pulak dia sama dengan kau?” Cyril bertanya sinis.
“Yalah. Aku rasa dia pandai macam aku. Dan comel macam aku. Jadi dia sepatutnya hijau.”
Sky menggaru-garu kepala yang tidak gatal kerana tidak memahami butir bicara perempuan itu.
“Perasan betul kau ni. Macamlah kau pandai sangat. Eh, dahlah Doris. Aku nak bawa puteri aku ni masuk bilik. Kau jangan nak kacau daun.” Cyril menumbuk lembut bahu gadis bernama Doris itu dengan senyuman penuh makna.
“Lebih baik kau hati-hati. Kalau dia bukan merah, habislah kau malam ni…”
Doris menjeling ke arah Sky sebelum berlalu pergi. Pertama kali dia melihat Cyril begitu berminat dengan seorang ahli baru Pulau Syaitan. Apa yang istimewa sangat tentang perempuan yang bernama Sky itu?
“Apa maksud kawan kau tadi tu?” Sky bertanya hairan.
“Tak ada apa-apalah.”
Cyril menghampiri Sky sebelum kembali memimpin tangan gadis itu menuju ke sebuah bangunan lain. Sky melopong apabila melihat sebuah bangunan berbentuk silinder tinggi yang mencanak ke langit. Mereka memasuki pintu utama bangunan itu sebelum menaiki sebuah gerabak kayu yang bergerak seperti lif. Beberapa minit berlalu barulah gerabak kayu itu berhenti dan Cyril mengheret dia ke sebuah pintu lain.
Sky terpaku apabila Cyril membuka pintu. Dia memasuki sebuah bilik yang luasnya lebih kurang tiga buah kelas. Keseluruhan perabot bilik itu bewarna coklat dan diperbuat daripada kayu. Namun, tiada pula kelihatan televisyen atau telefon. Bilik itu kelihatan antik dan elegan. Terdapat banyak ukiran dan lukisan flora dan fauna tergantung di dinding.
“Buka baju kau.” Cyril bersuara tiba-tiba dan Sky terus tergamam.
“Aku tak nak.” Sky yang tadinya tenang kembali ketakutan. Adakah pemuda dihadapannya itu akan mengapa-apakan dirinya?
“Buka ajelah. Bukan mati pun.”
Cyril menghampiri Sky dengan senyuman menggoda. Semakin dia mendekati, Sky semakin menapak ke belakang. Gadis itu kelihatan cuak dan wajahnya yang putih kemerahan itu semakin membiru. Sky tidak dapat bergerak apabila dia terhadang di dinding.
“Tolong jangan apa-apakan aku.” Sky memejam mata apabila dia sudah terperangkap dalam kurungan tangan Cyril. Anak mata biru pemuda itu buat bulu romanya meremang. Desah nafas pemuda itu menampar pipinya.
“Alahai, janganlah nangis. Aku bukan nak buat apa-apa pun.”
Cyril tergelak sebelum mencubit pipi  Sky kuat. Dia menjauhi Sky apabila gadis itu mengaduh kesakitan. Sky menahan geram dalam hati. Apa sebenarnya niat pemuda itu?
“Aku suruh kau buka baju untuk bersihkan diri. Pergilah mandi. Kejap lagi aku datang. Lepas mandi pakai baju yang aku sediakan atas katil tu. Bilik air dekat situ.” Cyril menjuihkan bibir merahnya ke arah sebuah pintu yang terletak di sisi kanan Sky sebelum berlalu keluar dari bilik. Senyuman manis terukir di bibirnya apabila melihat Sky agak takut memandangnya.
Sky menghembus nafas panjang sebelum menapak ke arah katil. Dia melihat sepersalinan uniform seperti yang dipakai semua pelajar perempuan Sekolah Tinggi Bidadari. Cuma uniformnya tidak mempunyai warna pada bahagian lengan. Sky termangu seketika. Macam sudah tiada baju lain saja yang boleh diberi Cyril untuk dia pakai.
Bimbang memikirkan Cyrilk akan kembali sebelum dia selesai mandi dan berpakaian, Sky bergegas ke bilik air. Sekali lagi dia melopong apabila mendapati struktur bilik air dibina daripada marmar hitam yang berkilauan seperti kristal. Sangat cantik dan memukau pandangan.
Tab mandi besar dipenuhi dengan air berserta kelopak mawar merah yang mengeluarkan bau semerbak harum. Dia yang merasakan tubuhnya sudah melekit mula membersihkan diri.
“Wah, cantiknya Sky saya!”
Sapaan Cyril yang tiba-tiba membuka pintu menyebabkan Sky terkejut kecil. Dia yang tadinya sedang menyisir rambut, bangun dari birai katil dan berhadapan dengan pemuda kacak itu. Mujurlah dia sudah lengkap berpakaian. Tidaklah dia berasa malu. Molek saja uniform Sekolah Tinggi Bidadari melekap di badannya. Sky menahan debar apabila Cyril mengelilingi tubuhnya dan seperti menghidu bau rambutnya. Pemuda itu memang pelik dan memualkan!
“Emm bagus. Dah wangi. Tak busuk macam tadi.” Sky melopong dengan bicara selamba Cyril. Pemuda itu memerli dirinya ke?
“Boleh tak aku nak tahu…”
“Tunggu dulu, lepas makan baru kita boleh bercerita. Jom makan.” Cyril menyampuk sebelum Sky sempat bertanyakan apa-apa soalan.
Beberapa ketika, dua orang perempuan yang berusia dalam lingkungan 30-an, memakai gaun serba hitam memasuki kamar itu dan menghidangkan pelbagai makanan di atas meja yang terletak di balkoni bilik Cyril. Sky hanya memerhati tindak tanduk dua orang perempuan tersebut. Agak pelik kerana mereka mengenakan pakaian seperti berkabung atas kematian seseorang. Selesai melakukan tugas, mereka berdua berlalu pergi tanpa sebarang bunyi.
“Sky, cuba tengok sini. Cantik tak?” Cyril yang berdiri di balkoni memanggil gadis yang menarik perhatiannya itu.
Sky menapak mendekati Cyril dan dia tergamam. Sky terpesona dengan pemandangan di hadapan matanya. Bilik Cyril betul-betul menghadap ke arah hutan belantara yang tebal dan dari kejauhan kelihatan persisiran pantai.
“Cantiknya…” Mulut Sky tidak dapat menahan untuk memuji keindahan itu.Terlupa seketika apa yang telah dihadapinya malam lepas.
“Kalau siang memang cantik. Bila malam menjelma, semuanya akan jadi tak cantik.” Cyril bersuara perlahan. Namun cukup didengari Sky.
“Maksud kau?”
“Makan dulu baru bercerita. Meh sini, duduk sebelah aku.” Cyril menarik kerusi pada meja bulat itu untuk membenarkan Sky duduk. Sky dengan berat hati terpaksa mengikut arahan pemuda itu.
“Makanlah apa pun yang kau nak makan. Saya suruh pembantu saya sediakan makanan yang istimewa.”
Cyril terpegun apabila melihat Sky tersenyum menghadap makanan. Pertama kali dia melihat senyuman yang begitu indah dan menawan. Gadis itu masih ingat untuk tersenyum walaupun mereka berada di Pulau Syaitan.
“Terima kasih sebab sudi menyediakan semua makanan ni.”
Sky sempat berterima kasih sebelum mula mengisi perutnya yang kelaparan. Rasa macam sudah bertahun dia tidak makan. Makanan yang dihidangkan kelihatan lazat dan menarik. Ada steak daging, salad, buah-buahan dan jus epal. Cyril kelihatan lebih berminat memerhatikan dia makan daripada menjamu selera. Pemuda itu memerhatinya dengan penuh perasaan hingga Sky rasa tidak selesa. Mata pemuda itu seolah-olah menelanjangi tubuhnya.
“Aku terdampar di pulau ni sebab bot yang aku dan rakan-rakan naiki rosak. Kawan-kawan kau tak ada terjumpa kawan-kawan aku ke?”
Sky bertanya untuk menyedarkan Cyril daripada terus memerhatikannya. Cyril berdehem kecil dan meneguk air dalam gelas. Entah kenapa hatinya berdebar-debar bila terlalu lama merenung Sky. Mengapa gadis itu begitu mempersonakan?
“Berapa orang kawan kau tu?”
“Termasuk aku enam. Tiga lelaki dan tiga perempuan.” Sky memberi penjelasan.
“Mungkin mereka terdampar di pulau lain.” Cyril membuat kesimpulan dengan wajah tidak bersalah.
“Ada pulau lain ke dekat sini?” Sky bertanya penuh minat. Hatinya kuat mengatakan rakan-rakannya masih hidup.
“Ada. Sebuah pulau terletak jauh di utara, dan sebuah pulau lagi terletak jauh di selatan.” Cyril memberitahu.
“Apa nama pulau tu?” Harapan Sky yang kawannya masih hidup menggunung tinggi.
“Gugusan Pulau Syaitan. Namanya Pulau Syaitan Satu dan Pulau Syaitan Dua.”
“Kau tak menipu kan?” Jawapan Cyril mencetus tanda tanya Sky. Pemuda itu tergelak.
“Aku tipu ajelah. Pulau tu memang ada, tapi nama pulau tu ialah Pulau Bakawali dan Pulau Helang.” Cyril menjawab serius.
“Tak pernah dengar pun? Kau pernah sampai ke pulau-pulau tu ?”
“Tak pernah. Aku cuma tahu cerita berdasarkan buku dongeng aje. Tapi aku percaya yang pulau tu wujud. Kau pasti pernah dengar cerita pasal Pulau Syaitan kan?” Cyril merenung mata Sky lama. Mata hitam yang kelihatan bersinar indah dan penuh misteri.
“Adalah sedikit.” Sky cuba menidakkan hal itu namun dia memang telah mendengar cerita Pulau Syaitan melalui Arlen.
“Kalau macam tu senanglah aku nak bercerita. Untuk pengetahuan kau Pulau Syaitan ini tidak terdapat dalam peta dunia atau terlihat oleh mata kasar manusia.” Cyril membongkar rahsia.
“Maksud kau?” Sky fokus.
“Pulau Syaitan hanya ditemui oleh orang yang sesat di lautan atau mengalami kemalangan dalam air.” Sky teringat akan cerita Arlen. Sama seperti cerita Cyril.
“Takkan kau nak cakap semua pelajar Sekolah Tinggi Bidadari adalah mangsa kerosakan bot macam aku?” Sky bertanda tanya.
“Lebih kurang macam tulah. Cuma aku nak kau tahu tentang satu perkara. Aku dan semua yang berada di sini adalah berasal daripada dunia kau. Sudah tentu pada waktu yang berbeza. Tetapi sekarang kami terperangkap di Pulau Syaitan selamanya.” Cyril bersuara lemah.
Sky terpempam dan seleranya untuk makan terus hilang. Adakah dia berada di dunia yang berbeza? Dunia apa? Dia memasang telinga dan mendengar semua butir bicara yang keluar dari mulut Cyril dengan teliti.
Mengikut Cyril dia sudah lima puluh tahun berada di pulau itu dan bersekolah di Sekolah Tinggi Bidadari. Semua penghuni pulau itu akan kekal pada umur yang sama dan usia mereka tidak akan meningkat. Jika mereka terdampar di Pulau Syaitan pada usia 17 tahun. Maka selamanya pun akan kekal 17 tahun hingga mereka mati.
Pulau Syaitan telah terkena sumpahan ahli sihir yang mana setiap penghuninya akan bertukar menjadi makhluk lain apabila malam menjelma. Kata Cyril, semua makhluk yang Sky temui kali lepas adalah manusia yang sudah bertukar rupa. Apabila siang menjelma mereka akan kembali menjadi manusia.
Setiap malam, akan ada kad syaitan yang turun dari langit. Jika ada antara mereka yang mampu menyelesaikan misi dalam kad itu, mereka boleh berubah dalam wujud manusia di malam hari mengikut kehendak hati. Jika semua penghuni gagal melakukan misi yang diberikan, salah seorang daripada mereka akan kekal dalam bentuk makhluk ganas hingga mati.
Penghuni Pulau Syaitan tidak akan mati selagi mereka mempunyai dua wujud dalam satu hari. Apabila mereka bertukar menjadi makhluk lain akibat gagal melakukan misi dan ada yang membunuhnya, mereka akan mati dan bertukar menjadi debu. Sesiapa yang berjaya menjalankan misi dan dapat mengawal pertukaran wujud manusia, mereka boleh keluar daripada Sekolah Tinggi Bidadari dan menuju ke Perkampungan Indera yang terletak tidak jauh dari sekolah itu. Melalui Kampung Indera mereka boleh memilih jalan untuk keluar daripada Pulau Syaitan.
Walaupun begitu, mengikut Cyril, sesiapa yang boleh mengawal wujud manusia sepenuhnya masih boleh melakukan misi daripada kad syaitan. Sudah ramai yang ingin keluar daripada pulau itu. Namun tiada satu pun yang berjaya. Mereka mati dibunuh di pertengahan jalan atau kembali semula ke Sekolah Tinggi Bidadari. Tiada siapa yang berjaya keluar daripada Pulau Syaitan kerana pelbagai makhluk mengerikan seperti ikan duyung pemakan manusia menanti mereka dalam air. Ramai yang telah mati dan mereka sudah penat mencuba.
“Kau ingat aku akan percaya dengan semua cerita kau ke?” Sky ketawa megejek sebaik saja Cyril tamat bercerita. Dia pasti pemuda dihadapannya itu gila.
“Terpulanglah nak percaya atau pun tidak. Malam ni kita tengoklah apa yang akan terjadi.”
Cyril mendengus kecil sebelum bangun dari duduknya. Sudah mengagak yang Sky tidak akan mempercayai ceritanya dengan mudah. Sky mengikuti langkah Cyril yang meninggalkan meja makan dan kembali memasuki bilik.
“Kalau betul cerita kau tadi, boleh aku tahu kau akan bertukar jadi makhluk apa bila malam menjelma?” Sky pura-pura berminat untuk mengetahui hal itu. Padahal dalam hati dia galak mengetawakan otak mereng Cyril. Sayang sekali wajah pemuda itu tampan namun otaknya biul.
“Rahsia. Kau tunggu ajelah malam nanti. Aku akan makan awak.” Cyril berbisik di telinga Sky hingga menyebabkan gadis itu sedikit gelabah. Sky menyedapkan hatinya sendiri dengan gelak yang dibuat-buat.
“Aku tak takut pun.”
“Amboi, cakap besar. Tak takut ya? Kita tengok nanti, kau takut ke tak.”
Cyril menggigit bibir. Malam ini dia akan membuktikan kepada Sky tentang semua perkara yang diceritakannya. Namun jauh dalam hati, Cyril sendiri tidak dapat meneka apakah wujud kedua gadis itu. Sama sepertinya atau Sky berada dalam kumpulan lain? Jika Sky berada dalam wujud kumpulan lain. Terutama wujud seteru kumpalannya. Dia akan mengalami masalah besar!
“Untuk mengelakkan sesuatu yang buruk terjadi malam ni. Aku nak kau duduk di sini.”
Sky sedikit terperanjat apabila Cyril membawanya ke sebuah pintu lain dalam bilik itu. Dihadapan matanya terdapat sebuah sangkar besi seperti penjara yang agak besar.
Sky dapat mengesan sesuatu yang pelik daripada kata-kata Cyril. Belum sempat dia melarikan diri, Cyril mengheret dia masuk ke dalam penjara itu dan menguncinya.
“Hei, kenapa kau kurung aku dekat sini?! Keluarkan akulah!” Sky menghentak jejaring besi yang memagari sekelilingnya dengan tangan. Cyril memerhati dia dengan senyuman manis.
“Kalau kau tak nak dikejar, dimakan atau dicederakan oleh makhluk-makhluk ganas yang aku cakap tadi, lebih baik kau duduk dalam sangkar ni diam-diam. Malam nanti, aku datang jumpa kau. Selamat tinggal sayangku.”
Cyril melambung-lambung kunci penjara itu dalam tangannya sebelum berlalu keluar daripada bilik itu. Sky di dalam masih terjerit-jerit minta dilepaskan. Cyril tidak sabar menunggu malam menjelma! Dia akan memberi gadis cantik itu pengajaran kerana tidak mempercayai ceritanya!


 p/s: next entry will up as soon as possible, please like n share. tq~


2 comments:

Anonymous said...

Cerita yang pelik tapi menarik

Anonymous said...

I love it...turuskn berkarya...