Saturday, August 9, 2014

NOVEL : BILA KULI JADI ARTIS BAB 11,12,13,14,15








BAB 11
Keesokan hari, Yuri bekerja shift petang,mujurlah Ervin bekerja shift pagi.Dapatlah Yuri mengelak daripada bersemuka dengan dia sepanjang waktu bekerja.Ikutkan hati Yuri mahu saja dia ambil cuti kerja kerana bengang dengan Ervin.Namun dia sedar Pizza Star itu bukan bapak dia punya.Dia perlu bekerja untuk mencari rezeki.Hal pergaduhan antaranya dan Ervin sudah diceritakan kepada Ika,Kak Ima dan Farah.Mereka semua menyokong Yuri dan mengatakan yang tindakan Ervin memarahi Yuri adalah tidak patut sama sekali.Yuri pula tiada perasaan untuk memanjangkan hal itu.Hanya menambah rasa sakit hati yang tidak berkurangan sejak semalam.
“Yuri,gilalah semalam kau gaduh dengan bos.Yuri tabik dekat kaulah wei.” Rafiudin atau nama gelarannya Din mengangkat tangannya gaya tabik kepada Yuri sebelum ketawa besar. Yuri masak sangat dengan perangai Din yang suka menyokong seseorang melakukan kegiatan tidak bermoral.Yuri tersenyum hambar sebelum membantu pemuda itu memasukkan dua kotak besar pizza ke dalam Porch bag untuk di hantar ke rumah pelanggan.Porch bag mengandungi besi pemanas yang mampu membuatkan makanan di dalamnya kekal panas seperti baru keluar daripada oven selama lebih kurang satu jam.Din ialah rider Pizza Star.
“Aku tak gila,bos tu yang gila sebab suka cari pasal dengan aku.” Yuri menjawab selamba seraya memandang Din yang sedang memasukkan beberapa pek kecil sos ke dalam plastik.
“Eh,tapi semalam kan,lepas kau keluar daripada pejabat dia.Aku rasa dia mengamuk lah.” Cerita Din menyebabkan Yuri terdiam sejenak.
“Kenapa pulak kau cakap macam tu?” Hati terasa ingin tahu.
“Yalah.Aku dengar macam dia tumbuk meja lepas tu dia hempas barang atas lantai.Aku tak nampak,cuma aku dengar.Bunyi macam pejabat tu dilanda ribut taufan.Okeylah beb,aku dah lambat ni.Aku hantar oder dulu.” Din menamatkan ceritanya dan berlalu keluar daripada Pizza Star menuju ke arah motor penghantar pizza.Yuri yang berdiri di kaunter juruwang memandang pemuda yang tua dua tahun daripadanya itu memecut laju meninggalkan perkarangan Pizza Star.
“Yuri,Din mana?” pertanyaan mengejut Mak Ngah mematikan niat Yuri untuk mengelamun.
“Hantar oder dekat Kota Jaya.Kenapa Mak Ngah?” Wajah Mak Ngah kelihatan gelabah saat mendengar jawapan Yuri.
“Ada tiga oder delivery masuk serentak.Kalau terlambat hantar nanti kena komplen dengan pelanggan.Aduh,macammana ni.” Mak Ngah berjalan mundar mandir di hadapan Yuri sambil menggaru garu kepalanya yang bertudung.Satu daripada perangai Mak Ngah yang yuri kurang suka,dia mudah menggelabah bila berhadapan dengan sesuatu situasi sukar.
Masa yang diperuntukkan untuk penghantaran sesuatu pesanan makanan Pizza Star adalah 30 minit.Jarak rumah pelanggan dengan Pizza Star tidak lebih daripada lima kilometer.Masalah utama dalam proses penghantaran adalah apabila pesanan penghantaran masuk serentak dengan banyak daripada lokasi yang berbeza.Bilangan rider yang terhad dalam sesuatu masa menyebabkan kemungkinan pelanggan akan membuat aduan pesanan mereka lambat sampai ke rumah.Apabila aduan diterima,pengurus yang bertugas akan kena bebel dengan pihak atasan.Polisi kerja Pizza Star adalah sentiasa menepati masa dan menyediakan makanan yang berkualiti.
Itu belum lagi ditambah dengan kehadiran CMS.Customer Management Service.Satu sistem dimana,ada antara pelanggan yang membeli makanan secara take away,delivery atau dine in telah diupah oleh pihak Pizza Star untuk memberi markah secara rahsia kepada pekerja yang melakukan tugas saat itu.Sedar-sedar hujung bulan markah CMS dIfaks ke Pizza Star.Jika layanan dari staf baik kepada pelanggan misteri yang tidak dikenali itu,maka tinggilah markah CMS yang diperoleh.Jika layanan ala kadar,maka kuranglah markah yang diberi.Apa yang Yuri tahu.Jika markah CMS rendah daripada 40 peratus mereka akan mendengar ceramah percuma daripada pengurus Pizza Star tentang pentingnya melayan pelanggan dengan mesra.
“Takpelah Mak Ngah,biar Yuri yang hantar.Mak Ngah gantikan tempat orang sebagai juruwang sekejap.Lagipun orang bukan tak biasa hantar oder dekat rumah pelanggan.” Yuri menawarkan diri,cuba mengurangkan keresahan Mak Ngah.
Sebelum ini,memang Yuri selalu membantu Din atau Aizul menghantar oder ke rumah pelanggan jika mereka lambat pulang daripada sesuatu penghantaran.Walaupun Yuri tiada lesen dan hanya tahu menunggang motor sahaja,itu bukanlah satu sebab yang menghalang dia daripada menunggang motorsikal. Tambahan lagi,pihak polis tidak pernah menahan motor penghantar pizza. Mungkin  pihak berkuasa tahu yang semua rider Pizza Star mempunyai lesen untuk melayakkan mereka bekerja.
“Okey.Senang hati Mak Ngah mendengarnya.” Mak Ngah tersenyum lega mendengar pelawaan Yuri.Segera dia menggantikan posisi Yuri yang bertugas selaku juruwang hari itu. Yuri bergegas ke dapur untuk mengambil Porch bag.
..........................................
Malang tidak berbau,selesai saja Yuri menghantar oder,sewaktu dalam perjalanan pulang ke Pizza Star dia ditimpa kemalangan.Mujurlah hanya kemalangan kecil.Jika tidak Yurilah staf pertama yang melakar sejarah menempa ajal dalam waktu bekerja selaku salah seorang daripada staf Pizza Star.Salah dia juga.Bawa motorsikal laju sangat.Syok merempit hingga tidak sedar motorsikal melanggar lubang di atas jalanraya dan hilang kawalan.Yuri jatuh bergolek di atas jalan dan motorsikal menghempap badan.Nasib baik,Din yang kebetulan melalui jalan yang sama membantu.Jika tidak,agak sukar untuk dia bangun daripada jalanraya tadinya.
“Hish,kamu ni Yuri,buat kering semangat Mak Ngah je.Siapa suruh bawa motor laju laju.” Mak Ngah membebel apabila Yuri menceritakan perkara yang terjadi sebaik saja tiba di Pizza Star dengan Din.Yuri duduk di sebuah kerusi panjang yang terdapat di satu sudut.Kerusi itu disediakan khas untuk pelanggan menunggu pesanan makanan mereka  yang ingin dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah.
“Alah,cedera sikit jelah Mak Ngah.Kalau tak bawak motor laju,mana boleh nak cepat sampai. Nanti kena komplen dengan pelanggan pulak.” Yuri membela diri seraya memerhatikan bahagian siku yang melecet akibat bergeseran dengan jalan tar.Bersyukur dalam hati kerana Allah masih memanjangkan umurnya.
“Ya Allah,Yuri apa yang dah berlaku ni?!” Berderau darah Yuri apabila tiba-tiba saja Ervin melutut di kakinya dan membelek tangannya yang cedera.Entah daripada mana Ervin datang,Yuri sendiri tidak sedar.Melihat daripada gaya pemakaiannya yang tidak kemas itu pastilah waktu kerjanya sudah tamat.
“Jangan nak sibuklah!” Yuri menarik tanganku daripada terus berada dalam pegangan Ervin.Marahnya terhadap pemuda itu masih belum hilang.Jangan ingat dia dengan mudah boleh berbuat baik dengan Yuri.Hal semalam belum selesai lagi.
“Apa yang dah terjadi ni Fiza?” Ervin bangun daripada terus berlutut sebelah kaki di hadapanYuri dan menyoal Mak Ngah serius.Hanya Ervin yang menggelar Mak Ngah dengan nama betulnya dalam Pizza Star.Mungkin dia tidak biasa memanggil pembantunya itu dengan gelaran Mak Ngah.
“Er...”
“Saya tolong Din hantar oder delivery.Din tak sempat nak hantar tiga pesanan sekaligus. Nanti kena komplen dengan pelanggan pulak.” Yuri segera menjawab apabila Mak Ngah tergagap gagap.
“Peraturan kerja mana yang awak ikut ni? Ada saya benarkan staf Pizza Star selain daripada rider menghantar oder delivery? Awak rider ke Mayurie Rosella?” Renungan Ervin seakan menembusi kepala Yuri saat itu.Wajahnya yang tadi beriak bimbang bertukar merah menyala seperti semalam.Pemuda itu sedang menahan perasaan marah.Sekali lagi hati Yuri terasa sakit dan pedih.Dia hanya menundukkan kepala, menyedari kesilapan yang dilakukan.Sewenang wenangnya dia melanggar peraturan kerja.Patutlah Ervin marah…
“Saya bukan rider.Saya cuma nak membantu.Saya cuma tak nak ada pelanggan komplen.” Yuri bersuara perlahan.
“Boleh jalanlah dengan komplen pelanggan!.Awak ingat saya kisah sangat dengan komplen mereka berbanding dengan nyawa awak.Awak langsung tak fikirkan keselamatan diri awak Mayurie Rosella!”  Tengkingan Ervin membuatkan semua yang berada di situ terkedu. Mujurlah pelanggan yang berada dalam restoran tidak ramai waktu itu.Jika tidak mahu tebal wajah Yuri.Yuri menahan diri daripada mengalirkan air mata.Pertama kali ditengking sedemikan rupa oleh seorang majikan.
“Maafkan saya Ervin.Yuri tak bersalah dalam hal ini.Jangan marah dia.Saya yang benarkan dia menghantar pesanan pelanggan.” Mak Ngah akhirnya membuka mulut untuk membela Yuri.Dia perasan yang wajah Yuri berubah teduh saat itu.Kali pertama Fiza melihat majikan barunya naik angin.
“Yalah bos.Jangan salahkan Yuri.Kebetulan saja kemalangan berlaku hari ini. Dah nasib nak kena.Sebelum ini Yuri bukan tak pernah hantar oder delivery pun.” Din masuk campur.
“Dengar sini baik-baik.Mulai hari ini,saya tak peduli walau sebanyak mana pun oder delivery yang diterima,staf  Pizza Star selain daripada rider tidak dibenarkan sama sekali menghantar pesanan pelanggan ke rumah.Jika sekali lagi perkara ini berlaku,awak semua tahulah apa akibatnya.” Ervin mengugut dan memandang muka staf-stafnya yang berada di situ.Semuanya mempamerkan wajah bersalah.Mereka tidak tahu bertapa Ervin bimbang jika sesuatu yang buruk menimpa Yuri.Mujurlah gadis itu hanya terluka kecil.
Yuri mencebik bibir.Ingat aku hairan sangat ke? Paling kurang kena buang kerja.Tapi,kalau kena buang kerja,habislah aku! Daripada mana aku mahu mengumpul duit untuk menanggung kos pembelajaran kelak.Soal Yuri dalam hati.Mak Ngah dan Din terdiam dan membeku tidak jauh daripada tempat Yuri duduk.Takut agaknya dengan ugutan Ervin.Yalah,soal periuk nasi masing-masing,mana boleh dipandang remeh.
Apabila semua mendiamkan diri,Yuri memberanikan diri menatap wajah Ervin.Kelihatan pemuda itu sedang merenungnya dengan wajah kesal sebelum Ervin meraup wajahnya beberapa kali.Mungkin cuba menenangkan diri daripada terus dikuasai perasaan marah.Jauh dalam hati,Yuri tidak suka melihat riak wajah Ervin sebegitu.Seperti dia telah menyusahkan Ervin sahaja.
“Jom Yuri,saya bawa awak ke klinik.” Ervin menghampiri dan cuba menarik tangan gadis itu agar mengikutinya.Yuri segera menepis.
“Tak perlulah.Cedera sikit saja ni.” Yuri cuba mengelak.
“Jangan degil boleh tak?! Jom pergi sekarang!” Tersentak Yuri apabila Ervin sekali lagi meninggikan suara.Akhirnya Yuri mengikut arahannya.Tidak mahu dimarahi lagi.Mereka berdua beriringan keluar daripada Pizza Star dan menuju ke arah kereta BMW 5 seriesnya.
................................
Akibat daripada kecederaan yang tidak seberapa,Yuri telah mendapat cuti dua hari daripada Ervin.Pada mulanya Yuri ingat Ervin hendak memberhentikan dia daripada terus bekerja di Pizza Star.Rupa-rupanya Ervin suruh Yuri berehat sahaja.Mengenangkan wajah pemuda itu yang penuh kebimbangan sewaktu menghantar dia ke klinik petang tadi,Yuri malas untuk memprotes.Biarlah dia berlembut sedikit untuk memastikan Ervin tidak naik angina seperti hari itu dan semalam.Sungguh Yuri tidak suka melihat Ervin dalam keadaan sedemikian.
Sebaik saja Ervin menghantar dia pulang ke hostel,dia segera mengemaskan barang untuk pulang ke kampung.Yalah,cuti dua hari takkanlah Yuri hendak menghabiskan waktu dengan bergolek dalam hostel yang umpama tongkang pecah.Mujurlah bas untuk pulang ke Kampung Sayang ada ketika itu walaupun jam menunjukkan pukul enam petang.Biasalah,bas yang menuju ke kampung Yuri sering rosak.Tidak seperti bas yang menuju ke Johor Bharu atau kawasan bandar yang lain.
Tiba sahaja di kampung,puluhan soalan ditanya oleh Hasnah yang bimbang melihat siku anak daranya berbalut dengan kain putih.Yusof pula membebel memarahi Yuri kerana berani membawa motorsikal tanpa lesen.Bila melihat ayahnya membebel,Yuri teringatkan Ervin. Bimbang sangat dia dengan keselamatan Yuri.Apa yang mereka katakan,hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.Yuri mengiyakan semua bicara mereka dan berlalu masuk ke dalam bilik.Badan terasa lenguh akibat dihempap motorsikal.
“Yuri,henpon kamu berbunyi tu.Cuba jawab panggilan tu.”
Jeritan Hasnah dari luar bilik menyedarkan Yuri daripada terus diulit mimpi.Dia bergolek malas di atas katil dan menggapai henpon yang terletak di atas meja.Setelah solat maghrib tadi,dia terus berbaring dan terlena.Tidak menyangka jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam.Nombor yang tertera di atas skrin henpon adalah nombor yang tidak dikenali.
“Hello.” Yuri menjawab malas sambil bermain dengan anak rambut.
“Assalammualaikum.” Satu suara yang enak didengar memberi salam di hujung talian.Suara lelaki.Tapi Yuri tidak dapat mengecam milik siapakah suara itu.Mungkin salah nombor.
“Waalaikumussalam.Siapa ni?” Yuri bertanya setelah menjawab salamnya lambat.
“Saya ni.” Orang di hujung talian menjawab pendek.
“Saya tu siapa?”
“Oranglah.” Siapa pula yang berani membuat lawak bangang dengan Yuri di malam hari ini.
“Aku tengah takde mood ni.Kalau kau terasa nak kena maki,aku boleh bagi percuma.” Suara Yuri naik seoktaf.Orang di hujung talian tergelak kecil.
“Amboi,tak padan dengan sakit sayang saya ni.Boleh pulak nak maki-maki orang.” Kering sekejap semangat Yuri.Dia menjauhkan henpon daripada telinga untuk berfikir seketika.Ervin ke yang berada di hujung talian itu? Siapa lagi yang berani nak bersayang bagai dengan dia jika bukan pemuda itu.Tambahan lagi,Ervin memang tahu Yuri sedang sakit.Tapi dia mana ada nombor henpon Yuri?
“Er...siapa ni?” Yuri bertanya sekali lagi.Tidak mahu tersalah teka.Dia mahukan kepastian.
“Sampainya hati sayang tak cam suara saya.Ni Ervin lah.” Alahai manjanya suara Ervin saat itu.Nada merajuk yang sengaja dibuat-buat.Yuri rasa dirinya seperti berada di awangan apabila mendengar suara pemuda itu.Ah,sudah! Kau dah gila ke Yuri?!.
“Daripada mana awak dapat nombor saya?” Apalah bodoh kau punya soalan Yuri.Sah-sahlah fail maklumat pekerja semua staf  Pizza Star berada dalam simpanannya.Dalam sekelip mata saja dia dapat mencari nombor henpon kau.Yuri menjawab persoalannya sendiri.
“Em,saya tanya dengan bangla jual karpet bersebelahan dengan Pizza Star.Dia tahu nombor henpon awak.” Ervin di hujung talian selamba memerli.
“Ada apa hal awak telifon saya ni?” Yuri bertanya lagi.
“Nak tanya khabar buah hati saya yang dah balik kampung tu.Macammana tangan tu,sakit lagi tak?”  Lembut sekali tutur Ervin.
“Tak sakit pun.Eh,macammana awak tahu saya balik kampung?” Laju sahaja soalan itu keluar daripada mulut Yuri.Ingin menukar topik.Tidak mahu hatinya berterusan berasa sesuatu yang pelik.
“Tadi saya telifon Farah,nak tanya keadaan awak.Ingatkan awak ada dekat hostel.Rupa-rupanya dah balik kampung.Kenapa tak cakap dengan saya masa saya hantar awak balik hostel tadi? Kalau tak boleh saya hantar awak terus ke kampung.” Terdengar keluhan di hujung ayat Ervin.Sungguh dia rasa ralat kerana tidak dapat menghantar Yuri ke kampung.Hanya Allah yang tahu bertapa Ervin bimbangkan keselamatan gadis itu.
Yuri menggar-garu kepala yang tidak gatal.Panjang pulak ayat majikannya itu.Mengapa Ervin hendak melayan aku dengan baik?.Janganlah buat aku perasan yang kau sukakan aku Daniel Ervin oii! Rengus Yuri dalam hati.
“Sayang,are you still there?” Pertanyaan Ervin menyedarkan Yuri daripada terus mengelamun.
“Saya malas nak menyusahkan awak hantar saya balik ke kampung.Cukuplah pertolongan awak hari ini,saya dah rasa berterima kasih sangat.” Yuri menjawab perlahan.Petang tadi memang Yuri tidak banyak berbual dengan Ervin .Perasaan bengang akibat dimarah, membuatan lidah Yuri kelu untuk mengucapkan terima kasih.Padahal Ervin sudah berbaik hati membawa dia ke klinik dan membiayai semua kos rawatan.
“Bukan jauh sangat pun.Saya bukan hantar awak guna kaki tetapi guna kereta.Tak sampai satu jam pun dah sampai.” Ervin menunjukkan rasa tidak puas hati dengan jawapan Yuri.
“Yuri,saya minta maaf dengan apa yang berlaku semalam dan petang tadi.Saya berasa kesal dan bersalah sebab dah meninggikan suara dekat awak.Sepatutnya saya tak buat macam tu.Saya kalau dah marah memang tak ingat dunia.Maafkan saya Yuri.Maafkan saya.” Ervin menyambung bicara apabila Yuri kedengaran membisu.Yuri dapat merasai seperti Ervin menahan rasa di hujung sana.Tuturnya bergetar dan bernada pilu. Kedengaran pemuda itu menghela nafas panjang.Mungkin masih rasa bersalah.
“Sebenarnya saya yang perlu minta maaf dengan awak.Sebagai salah seorang daripada staf Pizza Star saya sepatutnya tidak melanggar semua peraturan kerja dan biadab dengan majikan saya.”
Entah kenapa,lidah Yuri laju saja untuk mengungkap kata maaf.Dia menyedari akan kesilapan diri setelah mendapat nasihat daripada Hasnah petang tadi.Setelah bercerita tentang semua perkara yang berlaku kepada Hasnah,Hasnah memarahi anak daranya itu kerana berlawan cakap dengan Ervin.Kata Hasnah sebagai majikan,Ervin lebih tahu mana yang baik atau buruk untuk pekerjanya.
“Saya dah lama maafkan awak.Kesilapan saya sebab berkasar dengan awak.Maafakan saya…” Ervin tidak berpuas hati selagi Yuri tidak memaafkan kesalahannya.
“Saya maafkan…” Yuri menjawab dan Ervin terdiam lama di hujung talian.Hatinya gembira dan bersyukur kerana Yuri sudi memaafkannya.
“Yuri,boleh tak saya nak berkawan dengan awak?” Pertanyaan mengejut Ervin buat kening Yuri bertaut.
“Selama ni kita belum berkawan ke?”
“Saya tak rasa pun yang awak anggap saya macam kawan.Saya lihat awak dengan Fiza, Din,Aizul,Farah,Ika dan semua staf Pizza Star yang lain berkawan dengan mesra.Awak boleh bergurau dengan mereka tanpa rasa kekok dan saya tak pernah pun nampak awak marah dekat mereka sampai tak nak bertegur sapa.Tapi dengan saya...” Ervin tidak menghabiskan ayat yang bercampur dengan nada merajuk dan berkecil hati itu.Namun,Yuri faham apa yang cuba diungkapkan Ervin.Macamlah Yuri selalu sangat marah dekat dia.Bagaimanalah dia hendak bergaul rapat dengan pemuda itu sedangkan Ervin baru saja bekerja di Pizza Star. Belum sampai dua bulan pun.Sudahlah lelaki itu pengurus dan dia hanya kuli Pizza Star.Tambahan lagi dengan sikap Ervin yang sukar diramal.Lagilah sukar untuk Yuri berkawan baik dengannya.
“Kelak,saya akan cuba untuk berkawan baik dengan awak.Asalkan awak tak cari pasal dengan saya,saya rasa saya boleh bergaul baik dengan awak.” Mudah saja Yuri menabur janji. Ervin tergelak kecil di hujung talian.
“Insya-Allah,lain kali saya akan fikir banyak kali sebelum cari pasal dengan awak.Susah betullah bila dapat buah hati yang kuat merajuk dan kuat sentap ni.” Terdengar nada ceria dalam intinasi suara Ervin setelah mendengar jawapan jujur Yuri.
“Cukuplah Ervin dengan buah hati dan sayang awak tu.Jangan melebihi batasan.Itu adalah syarat utama jika hendak berkawan baik dengan saya.” Yuri mengingatkan Ervin agar tidak mudah bermain dengan kata-kata.Ervin jenis lelaki bermulut manis!.Jadi,Yuri perlu berhati-hati.
“Okey my princess.Em..awak dah solat Isyak ke belum ni?” Ervin mengubah topik.
“Em..belum.” Yuri menjawab ikhlas.Baru bangun daripada tidur.Itu pun sebab Ervin telifon.Jika tidak, ada lena hingga ke subuh.
“Pergi solat dulu,lepas tu tidur.Badan awak tu mesti lemah sebab kena hempap motor.Jaga diri baik-baik tau.Jumpa lusa nanti.Apa-apa hal telifon saya.” Bimbangnya Ervin akan dirinya.Tiba-tiba Yuri rasa disayangi.
“Kalau saya nak tambah cuti untuk bermalas-malas di rumah boleh tak?” Pertama kali Yuri cuba bergurau dengan majikannya.
“Jangan nak mengada-ngada.Jangan ponteng kerja.Saya rindu nak menatap wajah awak.Nanti saya pulak yang sakit sebab awak takde depan mata.Okeylah awak pergi solat.Selamat malam.Assalammualaikum.”  Ervin memutuskan talian dan Yuri menjawab salamnya dalam hati dengan senyuman lebar.Mengapa hati Yuri rasa lain macam sangat?.

BAB 12
Setelah dua hari bercuti Yuri kembali bekerja di Pizza Star.Kebetulan dia bekerja shift pagi pada hari Sabtu.Sebuah lori besar menghantar stok sejuk beku restoran daripada pengilang molek terparkir di hadapan Pizza Star.Semua stok diletakkan atas tangga untuk dikira jumlahnya sebelum disimpan dalam freezer.Setiap minggu,pada hari sabtu,stok bahan sejuk beku yang baru akan sampai menggantikan stok yang lama.
“Hei Yuri,apa khabar? Kau dah sihat ke?”
Aizul yang baru selesai membuat bancuhan doh di dapur mendapatkan Yuri yang sedang memerhatikan dua orang bangla memunggah barang daripada lori ke atas tangga Pizza Star.Aizul adalah salah seorang daripada staf Pizza Star yang bertugas sebagai rider juga pembuat pizza.Yuri dan dia mula bekerja di Pizza Star pada tarikh yang sama.Jadi mereka berdua bersahabat baik.Tambahan lagi,Aizul jenis periang.
“Alhamdullilah.Sihat Aizul.Aku bukan cedera parah pun.Wei,siapa pengurus bertugas pagi ni?” Yuri pantas bertanya.Rasanya bukan Ervin sebab dia tidak perasan wajah pemuda itu di dapur tadi.Tidak semena-mena terbit perasaan rindu itu menatap wajah yang selalu mencari pasal dengannya itu.
“Kak Ayu.Dia ada dekat belakang tadi buat doh dengan aku.” Jawapan Aizul sedikit mengecewakan Yuri.
“Oh,takpelah kalau macam tu.Hei,kau kena angkat ke semua stok ni?” Yuri pura-pura bertanya soalan yang dia tahu jawapannya.
“Habis,siapa lagi nak angkat.Aku jelah staf lelaki yang kerja pagi ni.” Aizul mengeluh kecil dan Yuri tersenyum sumbing.
Biasalah,staf lelaki yang bekerja shift pagi hari sabtu memang lepak kerana terpaksa mengangkat stok ke freezer.Jarak antara tangga dengan freezer tidak begitu jauh.Masalahnya setiap kotak yang mengandungi stok sejuk beku itu mempunyai berat 20 kilogram setiap satu.Sudahlah stok tersebut melebihi 20 kotak.
“Takpelah Zul,aku tolang kau angkat stok ni.” Yuri sentiasa ingin membantu sahabat baiknya.
“Eh,janganlah Yuri.Tangan kau baru baik.Nanti kalau kau cedera,tak tentu pasal bos kita mengamuk.Kau tu dahlah pekerja kesayangan dia.” Aizul menghalang niat murni Yuri.
Yuri terkejut mendengar ayat terakhir Aizul.Dia pekerja kesayangan Ervin? Pekerja kesayangan yang kena hina dan tengking.Aizul tersalah informasilah ni!
“Pekerja kesayangan kepala kau.Tangan aku okeylah.Bukan koyak pun.Aku nak tolong kau.Kau jangan banyak songeh.Jom kita angkat semua stok ni bersama.”
Yuri tidak mengendahkan Aizul dan terus mengangkat sebuah kotak menaiki tangga menuju ke freezer.Akhirnya,Aizul mengalah dengan permintaan Yuri dan dia turut menjalankan tugasnya.Sebenarnya tugas Yuri pagi itu adalah sebagai staf servis.Jadi,sebelum restoran dibuka,dia perlu menyapu dan mengemop lantai.Oleh kerana,semua tugasnya sudah selesai,barulah dia sudi membantu Aizul.Apa guna jadi sahabat kan?
“Auch!” Tanpa disengajakan kaki Yuri tergelincir pada anak tangga kedua tatkala dia mengangkat kotak stok yang ketiga.Mujurlah ada satu tangan yang menampung bahagian belakang Yuri,menghalang dia daripada jatuh terbaring di atas lantai.Jika tidak mahu dia ke hospital untuk kali kedua!
“Ya Allah,dia ni! Cuba hati-hati sikit waktu buat kerja tu!” Berderau darah Yuri apabila mendengar suara itu.Segera dia mengimbangkan diri dan berdiri tegak.Yuri berpaling ke belakang.Jelas kelihatan sesusuk tubuh tegap sedang memandangnya dengan renungan penuh kebimbangan dan rasa tidak puas hati.
Yuri memerhatikan majikannya itu daripada atas hingga ke bawah.Ervin menggenakan seluar track pendek paras lutut bercorak loreng dengan t-shirt berkolar warna hijau muda.Mata Yuri sempat mengerling ke arah kaki pemuda itu yang terdedah.Mujurlah putih melepak dan tidak berbulu lebat.Jika tidak seram Yuri melihatnya.Dileher Ervin tergantung sebuah fon telinga besar.Rambut dia kelihatan sedikit kusut tapi seksi habis! Ketika itu dia kelihatan santai dan mengancam habis.Yuri tertelan liur sendiri.
“Awak buat apa kat sini? Kerja ke?” Yuri berbasa basi.Daripada gaya pemakaian Ervin ketika itu,mustahillah dia bekerja.Jadi,buat apa dia berkunjung ke Pizza Star pagi-pagi ini?.
“Tak kerja pun.Saya cuti hari ni.” Ervin jawab selamba sebelum menghadiahkan gadis dihadapannya dengan senyuman lebar.Lega rasa hatinya bila dapat menatap seraut wajah comel itu.Dua malam tidurnya tidak lena kerana bimbangkan gadis itu.Alhamdullilah akhirnya perasaan rindunya dapat dikurangkan hari ini.
“Jadi,kenapa datang Pizza Star pagi ni? Lebih baik awak tidur atau berehat dekat rumah.Belum pukul sembilan pagi pun ni.” Teguran Yuri yang sedang melihat jam tangan mematikan lamunan Ervin.Gadis dihadapannya ini memang sukar untuk dIfahami!
“Amboi,menghalau kita pulak.Saya tak boleh tidur nyenyaklah Yuri.Asyik terfikirkan tentang orang tu.Rindu sangat dekat dia.Hati ni meronta-ronta nak tahu dia dah sihat ke belum.Dan apa yang paling penting jiwa ini resah dan gelisah bila tidak dapat menatap wajahnya setiap hari.Saya rasa bagai pungguk rindukan bulan.”
Sebaik saja Ervin  tamat berkata,Yuri ketawa mengekek.Senak sekejap perutnya saat itu.Yuri yang tadinya berdiri terduduk di tangga.Ayat bermadah tidak kena tempat.Geli telinga Yuri mendengarnya.Ervin yang melihat gadis itu pertama kali ketawa sebesar itu dihadapannya tersenyum senang.
“Cliche gila ayat awak Ervin.Poyo betul.Geli gila saya dengar awak cakap macam tu.” Yuri menyambung gelak dan Ervin menarik muncung sedepa.Berpura-pura merajuk.
“Sampainya hati.Orang ikhlas rindukan dia,dia boleh kata orang poyo pulak.” Ervin menggumam kecil dan mula merenung Yuri dengan pandangan tidak puas hati.Ingin melihat reaksi gadis manis itu
Yuri menyelesaikan sisa tawanya dan dia kembali berdiri berhadapan dengan Ervin.Dalam hati Yuri berkata.Pemuda ini memang suka bikin jiwa aku kacau.Sekejap dia menggelarkan dirinya kita dan sekarang orang pulak.Dahlah cara bercakap tu manja sangat!.Ingat aku ni kekasih dia ke apa?
“Maaf sebab gelakkan awak.Siapa suruh buat lawak pagi-pagi ni.Okeylah Ervin,saya nak tolong Aizul angkat stok-stok ni.Awak kalau takde kerja nak dibuat.Pergi balik rumahlah.”
Sekali lagi Yuri menyarankan  Ervin agar pulang ke rumah daripada terus membuang masa di Pizza Star.Pemuda itu terkebil-kebil melihat Yuri yang kembali mengangkat kotak stok sejuk beku .Belum sempat Yuri menaiki anak tangga pertama,kotak yang berada di tangannya dirampas laju oleh Ervin dan dia menonong naik ke tingkat atas.Yuri melopong dan terpaku di situ.Dalam masa tidak sampai seminit,Ervin kembali berdiri di hadapannya.
“Saya tak suka awak angkat barang-barang yang berat macam ni.Tak baik untuk tubuh awak.Awak pergilah buat kerja lain.Biar saya saja yang tolong Aizul angkat semua stok ni.Kerja angkat-angkat barang,kerja lelaki.Jagakan saya punya I Pod.”
Ervin berbicara lembut namun cukup tegas buat pendengaran Yuri.Tanpa sempat Yuri memprotes,Ervin menanggalkan fon kepalanya dan menyarungkan fon tersebut ke telinga Yuri.I Pod bewarna putih kepunyaan pemuda itu diletakkan dalam poket vest yang Yuri pakai.Sebelum Ervin mengangkat kotak-kotak stok yang lain,dia mengusap-usap lembut kepala Yuri yang bertopi.Yuris masih begitu.Terpana dengan senyuman dan layanan Ervin .
Seperti sebuah patung cendana,Yuri berdiri di kaki tangga memerhatikan Ervin dan Aizul mengangkat semua stok itu.Aizul sempat menyapa Ervin dan mereka berborak sambil melakukan tugas.Ervin begitu cepat dan tangkas sekali mengangkat dua buah kotak tersebut sekaligus.Kelihatan urat dilengannya timbul setiap kali dia mengangkat beban yang berat itu.Namun,wajahnya tetap ceria dan dia kelihatan tidak kisah melakukan kerja itu.Baru sekarang Yuri tersedar bahawa Ervin memiliki sebuah pesona atau perwatakan yang amat menarik hati.
“Hei sayang,are you okey?” Seperti baru tersedar daripada mimpi,suara Ervin menjamah pendengaran Yuri.
Ervin berdiri di hadapan gadis itu dan menurunkan fon kepala miliknya daripada pendengaran gadis itu dan digantungkan di leher Yuri..Bagaimanalah Yuri boleh begitu ralit memerhatikan pemuda itu hingga tidak sedar semua stok sudah disimpan ke dalam freezer.Aizul pun telah berlalu ke dapur untuk membuat tugasan lain.
“Okey.Okey.” Yuri sedikit menggelabah menjawab pertanyaan Ervin.Cepat saja Yuri menanggalkan fon kepala dan I Pod sebelum memulangkan dua objek itu kepada Ervin.Ervin menyambut sebelum tersenyum kecil.Suka melihat wajah gadis itu merona merah walaupun Ervin kurang tahu apa sebenarnya yang difikiran Yuri.Dan dia selalu berdoa,dirinya selalu termasuk dalam angan-angan gadis itu.
“Saya hauslah sayang.Boleh tolong buatkan saya air Mocha Freppe tak?” Ervin duduk di sebuah kerusi makan Pizza Star dan merenung Yuri manja.Permintannya ketika itu kedengaran mengada-ngada betul.Dia ingat aku ni orang rumah dia ke? Kata Yuri dalam hati.
“Ervin,tolonglah jangan panggil saya sayang.Kalau staf-staf lain dengar,entah apa pula yang mereka akan kata nanti.”
“Suka hati merekalah nak kata apa pun.Saya tak kisah.” Jika tidak melawan,memang tidak boleh agaknya.
“Awak tak kisah tapi saya kisah!” Yuri melawan kembali.
Kurang suka mendengar Ervin menggelarnya sayang sedangkan  antara dia dan pemuda itu tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa.Bagi Yuri panggilan sayang  hanya layak digunakan untuk orang yang istimewa dalam hidupnya.
“Okey.Saya tak nak gaduh dengan awak .Tolong Yuri,buatkan saya segelas air.Saya haus ni.” Buat pertama kali Ervin mengalah dengan Yuri.Dia tahu tiada gunanya bertekak dengan gadis itu.Akhirnya akan memakan jiwanya saja.Jadi lebih baik jangan cari gaduh.
...........................................
Dalam pukul 9.30 pagi barulah Ervin keluar daripada Pizza Star.Itu pun setelah Yuri menghalaunya banyak kali agar tidak menggangu kerjanya dan menyarankan agar Ervin berehat di rumah.Sempat juga Yuri memulangkan kemeja pemuda itu yang telah dibasuh bersih akibat basah dengan jus oren di rumah Kak Nita kali lepas.
Sebentar tadi,setelah Yuri membuat air Mocha Freppe,Ervin hanya minum separuh gelas. Boleh pula dia meminta agar Yuri menghabiskan sisa minumannya itu.Bila Yuri kata tak nak majikannya itu mula tarik muncung sedepa dan bermasam muka.Walhal hari itu dia juga yang beria benar memarahi Yuri kerana memakan sisa makanan orang lain.Hari ini dia pulak suruh Yuri minum sisanya.Pelik betullah Daniel Ervin ni!.
Masuk pukul dua petang,mata Yuri sekali lagi terbeliak apabila melihat Ervin kembali melangkah masuk ke dalam Pizza Star.Kali ini dengan pakaian lain.Dia memakai sehelai kemeja putih yang bersulam gambar burung phoenix besar warna biru di bahagian belakang dan sehelai jeans Levis.Dia kelihatan ranggi dan stylo sangat dengan pakaian itu.Yuri yang berdiri bersebelahan dengan bar hanya merenung dirinya tanpa berkelip-kelip.
“Kenapa tenung saya macam tu? Saya hensem sangat ya?”
Belum sempat Yuri membuka mulut,Ervin sudah berdiri di sisi Yuri.Sempat pula dia memuji diri sendiri.Perasan yang Yuri ralit merenungnya daripada tadi.
“Baju…”
“Kenapa dengan baju saya?” Ervin bertanya bila perkataan itu keluar daripada bibir Yuri.
“Baju awak cantik.”
“Baju saya je cantik?”
“Takkan saya nak cakap awak cantik?”
“Cakaplah saya hensem.Saya memang hensem kan?” Ervin tersenyum bangga bila melihat wajah meluat Yuri.
“Berapa awak beli?”
“Apa?”
“Baju kemeja ni? Saya teringin nak beli dan pakai.”
“Sayang!” Pertanyaan serius Yuri buat Ervin terjerit kecil.Gadis itu ingin bertukar songsang ke apa kerana berminat memakai baju lelaki? Yuri ingin melarikan diri ke tempat lain namun Ervin sempat menarik hujung lengan uniformnya.Dia kembali berdiri di sisi pemuda itu.
Bauan yang datang daripada tubuhnya membuatkan Yuri terbuai seketika.Bau yang segar dan menyamankan.Apabila Yuri sedar Ervin sedang merenung wajahnya,segera saja Yuri menapak ke kanan beberapa langkah untuk menjauhkan diri daripada pemuda itu.Malangnya,setiap kali Yuri melangkah ke tempat lain,Ervin akan ikut melangkah sama.
“Huh,awak buat apa lagi datang ke Pizza Star ni Ervin? Awak kan cuti.” Akhirnya Yuri malas melarikan diri.Dia menghela nafas panjang dan bertatap mata dengan Ervin yangtidak penat mengekirinya.Ervin tersenyum lebar dan menggosok kuat kepala Yuri.Hampir tercabut topi gadis itu.Yuri mendongkol geram dengan telatah Ervin itu.
“Saya rindukan awak,sebab tulah saya datang sini.” Berdiri bulu roma apabila Ervin tiba-tiba sahaja berbisik lembut di cuping telinga Yuri.Yuri menolak lembut bahu pemuda itu.Tidak mahu menjadi perhatian staf-staf yang lain.
“Ya Allah,tak habis-habis dengan rindu dia.” Yuri menjawab perlahan.Masih teringat insiden pagi tadi.
“Rindu saya takkan habis selagi awak takde depan mata saya.” Ervin menyambung ayatnya dan Yuri mengeluh panjang.Mengapa pemuda itu gemar mengungkapkan perkataan yang boleh membuatkan dirinya perasan.
“Suka hati awaklah Ervin nak cakap apa pun.Saya sedang bekerja ni.Jadi tolong jangan ganggu kerja saya.”
Jawapan Yuri menyebabkan Ervin mencebik bibir tanda tidak hairan dengan kerja Yuri. Yuri bergegas mengambil oder pelanggan daripada sebuah meja.Ervin asyik merenung setiap langkah gadis itu.Selesai mengambil oder,Yuri menuju ke arah komputer untuk memasukkan senarai oder pelanggan tersebut.Apabila kertas yang mengandungi semua senarai pesanan berserta bilnya keluar daripada sebuah mesin kecil yang terletak bersebelahan komputer,dia berlalu ke bar.
Kak Ifa  siap menyediakan minuman mengikut pesanan pelanggan dan Yuri terus menghantar minuman tersebut ke meja mereka.Semua pesanan makanan dan minuman dalam Pizza Star menggunakan sistem komputer.Jadi,semua staf tidak perlu terjerit-jerit menyatakan oder pelanggan sama ada minuman atau makanan kepada tukang buatnya.
Selang beberapa minit Yuri dapat melihat Ervin melangkah menuju ke pintu hadapan Pizza Star.Eh,takkan dia nak balik pulak?.Tiba-tiba rasa kesal.Matanya tidak lepas daripada memandang setiap langkah pemuda itu yang tersusun kemas.Gaya Ervin berjalan persis seorang model.
Tiba di pintu hadapan Pizza Star Ervin sempat berbual dengan Zakiah yang menjadi penyambut tetamu dan Kak Ima yang menjadi juruwang.Beberapa ketika,Zakiah membuka pintu,menyambut kedatangan dua orang pelanggan perempuan yang berpakaian cantik.Yuri seperti mengenali dua perempuan itu.Belum sempat dia berfikir panjang Ervin menunjukkan jari telunjuknya ke arah Yuri kepada dua perempuan itu.Entah apa yang diperkatakan Ervin hingga menyebabkan dua orang perempuan itu menuju ke arah Yuri.
“Apa khabar Yuri? Rindunya akak dekat kamu.Ervin kata kamu jatuh motor.Kamu okey ke sekarang?” Bertalu-talu soalan yang keluar daripada mulut perempuan tidak dikenali itu.Dia memeluk tubuh Yuri dan mengusap-usap lembut pipi gadis itu.Patutlah Yuri rasa macam kenal.Rupa-rupanya Kak Nita!
“Yuri baik-baik je kak.Cedera sikit je masa jatuh motor tu.” Yuri tersenyum lebar memandang kakak angkat merangkap guru muziknya itu.Ini kali pertama Nita berkunjung ke tempat Yuri bekerja.
Sekilas pandang Yuri sempat menjeling Ervin yang sedang berbisik dengan seorang lagi perempuan yang berselendang biru.Perempuan itu tergelak kecil setiap kali Ervin menuturkan bicara.Ish,kenapa Yuri rasa sakit hati dan meluat?!
Apabila Yuri mengamati wajah gadis berselendang itu,baru Yuri ingat yang gadis itu adalah perempuan berbaju sejuk yang bersama Ervin sewaktu Ervin pertama kali berkunjung ke Pizza Star dahulu.Teman wanita dia ke?.Cantik.Orangnya tinggi lampai macam Ervin.Kulit putih dan senyumannya manis.Padanlah dengan Ervin.Tiba-tiba Yuri rasa rendah diri.
“Awak ni Mayurie Rosella kan? Gembira berjumpa dengan awak.” Perempuan itu menghulurkan salam dan Yuri menyambutnya hambar.Sebaik salam terlepas,gadis itu terus merangkul erat tubuh Yuri.
“Ervin banyak bercerita pasal awak dekat saya.Harap kita dapat berkenalan rapat.” Perempuan itu berbisik di telinga Yuri sebelum meleraikan pelukan.Dia kemudian memegang kedua belah pipi Yuri dan merenung mata Yuri lama.Yuri hanya mampu menelan liur apabila diperlakukan sebegitu.Mesra sungguh layanan perempuan ini terhadapYuri.Padahal,mereka baru saja berkenalan.
“Macammana kak? Dia comel kan?” Ervin bertanya kepada perempuan itu dan Yuri terkedu.
“Em,comel sangat.Hari tu akak tak sempat nak telek muka dia.Tapi dia ni mempunyai kecantikan semulajadi.Kulit dia licin dan mata dia cantik.Kalau digilap oleh tangan akak,pasti dia kelihatan seperti artis.”
Perempuan itu menjawab sebelum melepaskan tangannya daripada terus melekap di wajah Yuri.Ini yang berpakat hendak memuji aku tidak tentu pasal,kenapa pula? Memuji ke memerli?.Aku boleh kelihatan seperti artis? Biar betul perempuan ni?! Yuri menggaru-garu kepala yang tidak gatal akibat tidak memahami perbualan mereka berdua.
“Tak payah nak gilap sangatlah kak.Saya tak suka buah hati saya jadi tumpuan ramai.” Selamba badak Ervin sahaja mengatakan yang aku ini buah hati dia.Eh,bukan ke perempuan cantik ini teman wanitanya? Tapi mengapa dia panggil akak pulak?.Yuri berteka teki.
“Maaflah Yuri.Dia orang berdua ni kalau dah mula bercerita memang tak ingat dunia.Ini kakak sulung Ervin,Dania Farhanah.Dia ni seorang jurusolek profesional.Sebab tulah bila melihat seseorang dia akan belek habis-habisan.”
Penjelasan Kak Nita membuatkan dada Yuri yang sesak tadinya,lega tiba-tiba.Jadi perempuan ini adalah kakak Ervin.Patutlah mereka berdua mesra semacam.Amboi,kau cemburu ke Yuri?!
“Maafkan saya sebab membelek wajah awak.Yuri boleh panggil saya Kak Nana.” Lembut sekali tutur bicaranya dan Yuri sekadar mengangguk-angguk kecil.
“Hari ni saya nak belanja makcik dengan kakak saya makan di sini.” Ervin memberitahu tanpa dipinta.Ingin tergelak melihat wajah terkejut Yuri.Sengaja ingin memperkenalkan kakaknya dengan gadis yang berjaya menawan hatinya itu.
“Awak tolong ambil oder dan sediakan makanan kami ya sayang?” Ervin menyambung ayatnya dan membuatkan Yuri melopong.Dia ini jenis manusia yang tidak makan saman.Sudah banyak kali dilarang pun tetap dia ingin memanggil Yuri sayang.Kak Nita dan Kak Nana tersengih-sengih memandang Yuri.Mahu tidak tebal wajah Yuri ketika itu.Ervin bergurau tidak pernah kena tempat dan masa!.
“Okey,duduklah dulu.Saya pergi ambil menu.”
Yuri malas bertengkar dengan Ervindi hadapan Kak Nita atau Kak Nana.Jadi,dia layankan saja permintaan pemuda itu.Apabila mereka duduk di meja nombor 25,Yuri berlalu ke hadapan dan meminta pertolongan Farah agar membawa menu sekaligus mengambil oder mereka.Yuri mengambil oder pelanggan lain.Daripada jauh Yuri dapat melihat Ervin menjeling tidak puas hati.Dia membebel  dekat kakaknya sambil menjuihkan bibirnya ke arah Yuri.Mungkin dia membebel tentang Yuri yang tidak mengikut arahannya.Kak Nita dan Kak Nana kelihatan tergelak melihat kelakuan Ervin.Tanpa sedar bibir Yuri mengukir senyuman.




BAB 13
“Awak manja betul dengan kakak awak ya?” Yuri bertanya seraya mengemas sebuah meja yang dipenuhi dengan pinggan mangkuk keesokan harinya.Ervin yang bekerja sama shift dengan Yuri merajinkan diri membantu gadis itu membersihkan meja.
“Taklah manja sangat.Kadang-kadang je.Kenapa? Awak jeles ke?” Ervin tersenyum senget ke arah Yuri sambil tangannya lincah menyusun gelas kotor ke atas sebuah dulang plastik bewarna hitam.Yuri membalas senyumannya.
“A,ah.Jeles juga.Saya takde adik lelakilah.Tak tahu bagaimana rasa hendak melayan adik lelaki.Awak nak tak jadi adik saya?” Yuri berseloroh sambil menjungkitkan keningnya ke arah Ervin.Menanti reaksi pemuda itu.Belum sempat Yuri mengelak,kepalanya diluku agak kuat oleh pemuda itu.
“Auch!.Sakitlah Ervin!” Yuri terjerit kecil seraya menggosok kepala sendiri.
“Padan muka.Cakap lagi yang bukan-bukan.Kenapa pulak saya nak jadi adik awak sedangkan saya lebih tua daripada awak.Tak ingin saya ada kakak macam awak.” Ervin mencebik bibir.Ada pulak Yuri hendak menjadi kakaknya? Gila apa?!
“Kenapa pulak tak nak?” Yuri menjegilkan mata.Ada gaya macam kakak tiri Cinderella!
“Yalah,dahlah awak tu suka merajuk.Sensitif.Cepat sentap dan suka marah-marah.Takut saya kalau awak jadi kakak saya.Daripada saya jadi adik awak lebih baik saya jadi suami awak.Kalau awak merajuk,saya akan pujuk.Kalau awak nak marah saya pun,saya tak kisah.” Jawapan selamba Ervin membuatkan Yuri termalu sendiri.
“Eh,tapi kan Ervin.Saya ingatkan Kak Nana tu teman wanita awak.Masa pertama kali awak makan dekat sini dulu,saya dengar dia panggil awak dengan gelaran I dan you.Saya tak dengar dia panggil awak adik pun?”
Yuri cepat mengubah topik.Walaupun perkara itu sudah hampir tiga bulan berlalu,dia masih dapat mengingatinya dengan jelas.Memang Kak Nana tidak memanggil Ervin adik.Jadi sebab itulah dia mengandaikan mereka adalah pasangan kekasih.
“Dia memang macam tu.Ikut sedap mulut dia je nak panggil saya apa.Saya jenis tak kisah.” Ervin laju menipu.Walhal,waktu pertemuan mereka di Pizza Star dahulu dia memang sudah berpakat dengan Farhanah.Dia berpesan agar kakaknya itu menggunakan gelaran I dan you.Semuanya dilakukan untuk melihat reaksi Yuri.Namun Ervin tidak akan sesekali membocorkan rahsia itu.
Ervin beriringan dengan Yuri meletakkan pinggan dan gelas kotor di tempat sepatutnya.Ketika itu jam menunjukkan pukul enam petang dan Pizza Star lengang tanpa pelanggan.Tunggulah waktu malam,pasti ramai yang menyerbu untuk mengisi perut.
“Awak dua beradik je ke Ervin?” Rajin mulut Yuri bertanya soalan.
“A,ah.Dua orang je.Kak Nana dan saya.Awak?”Yuri dan Ervin berdiri di satu sudut sambil bersandar malas pada dinding.
“Lima orang adik beradik.Saya ada tiga orang abang dan seorang adik perempuan.” Pantas saja mulut Yuri menjawab.
“Ingatkan takde adik.Adik awak mesti tak manja dengan awak kan? Sebab awak garang.” Selamba Ervin membuat telahan yang benar belaka.
Nama adik Yuri adalah Siti Nur Aishah,berumur 12 tahun dan suka melawan cakap Yuri.Jadi mereka sering bergaduh.Tapi bukan bergaduh serius pun.Biasalah bergaduh adik-beradik.Mungkin disebabkan perbezaan umur yang terlalu jauh, Yuri dan adiknya itu tidak sebulu.Yuri lebih rapat dengan abangnya yang ketiga berbanding adik beradik yang lain.Kadang kala Yuri berasa cemburu dengan adik yang selalu menjadi tumpuan semua ahli keluarga.
“Yalah,dia kan kecil lagi.Perlulah diberikan lebih perhatian.Takkanlah keluarga awak nak manjakan awak lebih daripada adik awak pulak?” Ervin menyampuk saat Yuri bercerita perihal adiknya.Ervin tergelak bila Yuri mencebik bibir tidak puas hati.
“Memanglah.Mungkin sebab sebelum adik saya lahir,semua ahli keluarga lebih manjakan saya.Jadi bila dah ada adik,saya tak bolehlah nak manja-manja lagi.Sebab tu lah saya rasa cemburu dengan dia.”
Penjelasan ikhlas Yuri menyebabkan gelak Ervin semakin besar.Senang hati dia mendengar cerita Yuri.Yuri membulatkan mata apabila pemuda itu sekali lagi meluku kepalanya lembut.
“Kesiannya dia tak dapat bermanja-manja dengan keluarga.Em,takpelah.Selepas ini,awak boleh manja-manja dengan saya.Saya sedia memanjakan awak.”
Ervin berbicara dengan senyuman nakal terukir di bibir.Ringan saja tangan Yuri mencubit kuat lengan pemuda itu hingga dia mengaduh kesakitan tanda melepaskan geram.Tiada maknanya Yuri hendak bermanja-manja dengan Ervin!.
“Sakitlah Yuri.Tajamnya kuku awak!” Ervin terjerit kecil seraya menggosok-gosok lengannya yang kemerahan akibat cubitan Yuri.
“Padan muka.Siapa suruh cakap yang bukan-bukan.” Yuri menjelirkan lidah tanda tidak hirau akan kesakitan yang Ervin alami.Ervin menjuihkan bibir tanda tidak puas hati.
“Akak,jom main teka teki!” Jeritan kecil Ika daripada arah bar mengejutkan  Yuri dan Ervin.Segera saja mereka mengatur langkah kea rah gadis genit itu.
“Teka teki apa Ika?” Ervin bertanya dan Ika tersengih seraya menayangkan sebuah buku di tangannya.
Yuri dan Ervin memerhatikan tajuk yang tertera pada muka hadapan buku itu.Koleksi Teka Teki di Malaysia.Itulah tajuk bukunya.Membazir betul Ika membeli buku yang sebegitu.Yuri lebih berminat membeli novel berbanding buku-buku lain.Komik pun best juga.Tapi minat masing-masing kan berbeza.Jadi sukahatilah hendak beli buku jenis apa pun.
“Kita main teka-teki.Siapa kalah kena denda.Nak tak?” Ika memandai menetapkan  peraturan.Ervin menunjukkan wajah teruja dan Yuri kurang berminat.
“Saya nak lawan dengan Yuri.Kalau dia kalah saya nak malam ni dia jadi tukang basuh pinggan.” Melopong mulut Yuri mendengar bicara Ervin yang penuh dengan unsur ingin mengena itu.Sekali lagi tangan Yuri laju mencubit lengannya.
“Auch! Sakitlah Yuri! Janganlah main cubit-cubit.” Berkedut dahi Ervin menahan sakit dan Yuri tersenyum jahat.
“Sesuka hati dia je nak suruh saya basuh pinggan macam kompem je dia menang.Okey,saya terima cabaran awak.Tapi kalau awak yang kalah,saya nak awak yang jadi tukang basuh pinggan Pizza Star malam ni,boleh?” Yuri menetapkan syarat.
“Okey.Takde masalah.Saya pasti akan kalahkan awak.”
Ervin menjawab dengan nada berlagak.Yuri mencebik bibir.Menyampah!.Ika yang melihat tersenyum simpul.Suka kerana buku yang dibawanya telah berjaya menyebabkan Yuri dan Ervin mencabar antara satu sama lain.Paling kurang Ika tidak perlu melihat pasangan itu bertengkar atau bermasam muka.Bukankah sesuatu permainan itu mampu merapatkan perhubungan?
“Soalan yang pertama.Kalau manusia panjat pokok nampak bukit, kalau kura-kura panjat pokok nampak apa?” Ika memulakan teka tekinya.Yuri dan Ervin berpandangan sama sendiri sambil berfikir panjang.
“Nampak buah.” Yuri menjawab spontan.
“Buah apa Yuri?” Ervin bertanya lembut di telinga Yuri sambil tersenyum gatal.Segera saja Yuri menolak kepalanya kuat.
“Sibuklah dia ni!.” Ervin tergelak besar apabila melihat wajah Yuri berubah warna.Suka betul menyakat Yuri yang mudah blushing apabila malu.
“Bos tak nak jawab ke?” Ika yang tadinya ikut tergelak bertanya ke arah Ervin yang masih senang hati mengetawakan Yuri.
“Kalau kura-kura panjat pokok nampak sangat bohongnya.Kura-kura mana boleh panjat pokok.” Dia menjawab dengan yakin sekali.
“Jawapan bos tepat sama sekali.Satu markah untuk bos!.”
Pengumuman Ika membuatkan Yuri melopong.Pandai pula si Ervin menjawab teka-teki itu.Bagaimana dia boleh tidak terfikir akan jawapannya.Apabila Yuri memandang Ervin,dia menjungkitkan sebelah keningnya.Hendak tunjuk lagaklah tu sebab dia memberikan jawapan yang betul.
Ika meneruskan soalannya yang kedua.Mujurlah kali ini Yuri dapat menjawab dengan betul. Ervin tidak puas hati dengan jawapan negara Bahrain yang Yuri berikan bagi soalan negara apa yang banjir dulu lepas tu baru hujan.Yalah,ini kerana bah itu merujuk kepada banjir dan rain itu merujuk kepada hujan.Bila digabungkan jadilah Bahrain.Sudah nama pun teka-teki memanglah tidak logik jawapannya.
Soalan demi soalan diajukan Ika dan mereka berdua cuba menjawab dengan cepat dan tepat.Lebih kurang satu jam berlalu begitu sahaja.Kawasan bar yang tadinya hanya ada Yuri,Ervin dan Ika kini dipenuhi staf-staf lain.Mereka turut berminat untuk cuba menjawab setiap teka-teki yang diajukan.Sambil menjawab,sambil tergelak.Yalah,soalan teka-teki entah apa-apa dan mereka pula memberikan jawapan pakai hentam kromo saja.
“Burung apakah yang boleh berdiri, boleh baring tetapi tak boleh duduk?” Soalan Ika menyebabkan Yuri terdiam dan Ervin mengekeh tanpa sebab.Seperti dapat membaca niat Ervin yang ingin menyakat,Yuri tidak memberikan sebarang jawapan.
“Penguin!” Zakiah laju memberi jawapan.
“Pandai Kak Kiot.” Puji Yuri ikhlas.
“Gajah lalu titi patah, lepas tu kambing pula lalu. Apa yang patah pulak?” Soalan seterusnya diajukan.Semua kelihatan berfikir.
“Patah balik laa, bengang pasal titi tu dah patah.” Aizul menjawab selamba dan ternyata jawapannya benar.
“Lima pasang stokin direndam di dalam laut merah. Setiap pasang stokin itu berwarna putih, hijau, biru, kuning dan hitam. Apa akan terjadi kepada semua stokin tersebut?”
“Stokin tu basah la!” Hampir keseluruhan staf yang berada di situ memberikan jawapan sama.
“Dalam banyak-banyak cecair, cecair apakah yang akan menjadi beku apabila dipanaskan?”
“Telur!” Yuri tersenyum senang bila dia memberikan jawapan yang betul.
“Apa tiga jenis buah yang terselamat dalam kebakaran disebuah kedai?” Soalan Ika kali ini mengambil masa yang agak lama untuk sesiapa memberikan jawapan.
“Buah keranji,pisang emas dan buah cempedak.” Ervin menjawab tenang.
“Betul!”
“Apahal pulak? Cuba beli pisang dan letak dalam Pizza Star ni.Lepas tu bakar Pizza Star ni.Cuba tengok pisang terbakar ke tak?” Yuri memprotes dan Ervin ketawa besar.Tidak menyangka buah hatinya bukan seorang gadis yang mudah menerima kekalahan.
“Sebab buah keranji dalam perahu, pisang emas dibawa belayar dan buah cempedak diluar pagar.Ianya pantun melayu Mayurie Rosella.” Jawapan penuh Ervin menyebabkan Yuri terasa dia memperbodohkan diri sendiri.Staf yang lain sekadar mengangguk-angguk kecil.Mereka bukan tahu sangat perihal pantun melayu.
Apa bezanya jatuh pokok kelapa dengan jatuh perigi?” Ika bertanya soalan yang ke-40.
“Jatuh pokok kelapa sakit je,jatuh perigi terus mati.” Din yang baru pulang daripada menghantar oder delivery tiba-tiba memberikan jawapan.
“Ah kau,memandai je.Cuba kau panjat pokok kelapa lepas tu kau terjun.Tengok mati ke tak?”
Yuri memprotes dan menyebabkan semua yang berada di situ tergelak.Wajah Ervin memerah akibat ketawa yang melampau.Pertama kali Yuri melihat Ervin seceria itu.Dia turut tumpang gembira.Untuk soalan tersebut semua staf Pizza Star tidak dapat menjawab dengan betul.Jawapan yang dibacakan Ika mengikut buku itu ialah,jatuh pokok kelapa,naik dulu baru jatuh, jatuh perigi jatuh dulu baru naik. Itulah perbezaannya.
“Okeylah.Ini soalan terakhir.Antara bos dengan Yuri,siapa yang dapat jawab dialah yang menang.Siapa yang kalah kena jadi tukang basuh pinggan malam ni.”
Yuri dan Ervin berpandangan antara satu sama lain dengan senyuman sinis terukir di bibir masing-masing.Daripada 40 soalan sebelum ini,Yuri dan Ervin setiap seorang telah menjawab sembilan soalan teka teki dengan betul.Kini tibalah masanya untuk mereka  menjawab soalan yang terakhir.Penentu kepada cabaran hari itu.
“Baiklah,soalan yang terakhir berbunyi begini.” Semua mata tertumpu ke arah Ika.Yuri dan Ervin menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap gadis genit itu.
Ada satu benda, kita berdiri dia baring, kita baring dia berdiri tapi bila kita jalan dia pun ikut sama. Nak tinggal tak boleh pulak tu.Apakah benda itu?”
Ika mengajukan soalan terakhirnya dan Yuri mula berfikir ligat.Jawapan yang logik ke tak logik?. Benda apa yang dikatakan Ika itu?.Yuri menelan liur apabila melihat Ervin tersenyum jahat ke arahnya.Ervin tahu jawapannya ke? Masak dia hari ni!
“Saya tahu jawapannya.” Semua staf teruja apabila Ervin menunjukkan muka yang dia tahu akan jawapan soalan itu.
“Apa bos jawapannya?” Ika bertanya laju.
“Jawapannya ialah saya dengan Yuri.Saya sentiasa nak ikut dia dan tak boleh nak tinggalkan dia.”
Ervin selamba melingkarkan tangan kanannya di atas bahu Yuri sambil mengeyitkan mata nakal.Yuri melopong dan wajahnya terasa membahang.Semua staf  Pizza Star bersorak riang.Walaupun Yuri selalu menyangkal yang Ervin sukakan dirinya.Staf-staf yang lain bukanlah buta menilai.Majikan mereka itu memang memberikan layanan yang luar biasa untuk Yuri.Apa lagi tujuannya jika tidak kerana Ervin sukakan Yuri?
Pantas saja Yuri menolak tangan Ervin dan Ervin tergelak besar.Ish,dia ini bergurau memang tidak mengira tempat!.Buat tebal muka aku sahaja.Jawapan yang dia berikan sedikit sebanyak akan menyebabkan aku perasan.Perasan yang dia benar-benar sukakan aku dan tidak mahu berjauhan daripada aku.Yuri bermonolog dalam hati.
“Bodohlah dia ni.Awak dengan saya ni manusia bukannya benda.” Yuri melepaskan geram dengan meluku kepala Ervin hingga dia mengaduh kesakitan.Semua yang berada di situ tergelak melihat kerenah Yuri dan Ervin.
“Jawapan bos tu memang romantik.Tapi salahlah bos.” Ika menokok dan Yuri menjelingnya tajam.Romantik kepala dia!.Suka sangat menyokong Ervin.Ini yang buat aku nak marah ni! Jerit Yuri dalam hati.
Beberapa ketika Yuri mendiamkan diri dan memerhatikan Ervin yang masih belum menamatkan sisa tawanya.Yuri masih memikirkan jawapan bagi soalan Ika sambil memandang lantai.Melihat kasut kulit jenama Versace yang dipakai Ervin membuatkan dia terfikir akan sesuatu.
Apabila Yuri mengangkat wajah,matanya bertembung dengan mata Ervin.Daripada sinar matanya,Yuri rasa Ervin juga sudah memperoleh jawapan yang tepat bagi soalan itu.Mungkin kerana dia perasan yang Yuri memerhatikan kasutnya lama.Yuri segera berpaling ke arah Ika untuk memberikan jawapan.Malangnya,belum sempat Yuri membuka mulut,Ervin pantas menekup mulut gadis itu dengan tangannya.
“Jawapannya ialah tapak kaki!” Ervin menjerit memberikan jawapan sebelum melepaskan tangannya daripada mulut Yuri.
“Jawapan bos betul!.Pertandingan hari ini dimenangi oleh bos dan Kak Yuri kalah!”
Pengumuman daripada Ika membuatkan Yuri terpanar.Yuri sudah tahu jawapannya tapi Daniel Ervin main kotor.Sepatutnya Yuri yang lebih awal dapat menjawab teka teki itu jika Ervin tidak menutup mulutnya.Dasar penipu!.Yuri memandang Ervin dengan pandangan bengang dan pemuda itu asyik menggelakkannya.Tak guna betul!.Muka nampak macam baik,tapi otak licik yang amat.Sakit betul hati Yuri!.
BAB 14
Mak Piah,tukang basuh pinggan mangkuk kotor Pizza Star tersenyum lebar apabila Yuri  menyatakan yang dia akan mengambil alih tugasnya malam itu.Orang tua yang berusia 57 tahun itu sudah enam tahun berkhidmat di Pizza Star.Akibat  kematian suami dan hanya mempunyai seorang anak angkat yang tidak berguna,dia terpaksa bekerja untuk menampung hidup sendiri.Mujurlah,Pizza Star masih memberikan ruang untuk golongan tua seperti Mak Piah bekerja.Jika tidak Yuri pun tidak tahu orang tua itu hendak makan apa.
Pernah juga Yuri dan beberapa orang staf Pizza Star yang lain bertanya sampai bila Mak Piah hendak bekerja.Dan jawapannya,selagi tulang empat keratnya boleh berfungi,selagi itulah dia akan keluar mencari rezeki.Dia tidak mahu tinggal di rumah orang tua-tua atau menumpang di rumah saudara mara.Mak Piah tidak mahu membebankan sesiapa.
Kadang kala Yuri kasihan melihat keadaan orang tua itu.Malangnya,apalah daya dia hendak menolong.Dia pun kuli.Lainlah kalau dia banyak duit,bolehlah dia menghulurkan sumbangan untuk membantu orang tua itu.Mak Piah selalu mengalami asma dan sakit-sakit badan sewaktu bekerja.Walaupun kerjanya hanya membasuh pinggan mangkuk,namun bagi Yuri kerja seperti itu agak teruk untuk wanita seusianya.
Apabila memandang seraut wajah tua itu,Yuri  teringat akan bapanya.Sepatutnya dalam usia seperti itu mereka tidak perlu bekerja lagi.Tapi,apakan daya untuk menampung keluarga,mereka perlu menghabiskan usia tua mereka dengan membanting kudrat yang ada. Sudahlah kos kehidupan sekarang agak tinggi dan pelbagai perbelanjaan diperlukan.Banyak kali Yuri berfikir,alangkah bagusnya jika dia ditakdirkan menjadi seorang yang kaya raya.Sudah tentu dia tidak akan membenarkan abah bertugas sebagai pengawal keselamatan lagi.Dia lebih suka jika bapanya duduk di rumah dan menghabiskan waktu tuanya bersama emak dan membanyakkan amal ibadat kepada Allah.Namun,dia tahu itu semua hanya angan-angan.Beruntunglah kepada insan yang dilahirkan dalam keluarga sedia kaya.Tidak perlulah mereka bersusah payah memikirkan cara untuk mencari duit.
“Sayang,mengelamun apa tu? Saya panggil banyak kali tak dengar?” Satu bisikan lembut menyapa telinga menyebabkan Yuri tesentak.Sebuah pinggan yang dia pegang,terhempas ke bawah.Pecah berderai di atas lantai dapur Pizza Star.
Semua staf yang berada di dapur saat itu terkejut dan Yuri memandang gerangan orang yang telah memeranjatkannya.Terkebil-kebil mata coklat cair itu melihat Yuri.Geram betul!.Entah bila Ervin berdiri di situ,dia tidak perasan.Suka sangat menggangu! Yuri tidak mempedulikan pertanyaan atau pandangan Ervin.Bengang sebab  pemuda itu menipu sewaktu pertandingan teka-teki tadi.Bukan hendak minta maaf pun.Bahkan,setelah permainan itu tamat Ervin masih setia menggelakkan Yuri.Sengal punya Daniel Ervin!
Sepanjang satu jam Yuri berada di dapur membasuh pinggan mangkuk,tidak pula pemuda itu datang menjenguk.Sekarang baru sibuk hendak mengacau.Yuri tiba-tiba rasa hendak merajuk dengan perbuatan Ervin itu.Eh,yang kau nak sentap tak tentu pasal ni,apahal pulak Yuri?
Belum sempat Ervin bertanya soalan lain ,Yuri segera mencangkung dan mengutip serpihan kaca di atas lantai.Tidak mahu serpihan kaca itu terpijak oleh staf Pizza Star yang lain.Malang tidak berbau,sewaktu mengutip salah satu daripada serpihan itu tangan Yuri terkena pada bahagian tajam dan terluka.Kelihatan beberapa titis darah mengalir keluar daripada jari telunjuknya.
“Ya Allah,Mayurie Rosella,siapa suruh awak kutip kaca tu pakai tangan!”
Ervin terjerit kecil apabila melihat jari Yuri berdarah.Yuri tidak sedar yang Ervin meninggalkannya dan pergi mengambil penyapu dan pengaut sampah.Kemanalah fikiran dia melayang hingga tidak perasan akan hal sekeliling.Ervin menarik tangan Yuri agar berdiri dan pemuda itu membelek jari Yuri yang terluka dengan penuh perhatian. Yuri terkejut melihat air muka Ervin yang penuh kebimbangan dan tidak seceria tadi.
“Tunggu sini sekejap,saya ambil handyplast dalam ofis.” Ervin bergegas meninggalkan Yuri dan memasuki ofis.Yuri memegang dada.Rasa pelik semacam.Ya Allah,kenapa Ervin buat memek muka macam tu? Macamlah aku ini sedang cedera parah.Dia betul-betul bimbangkan keselamatan aku ke?.Bimbang itu tanda sayang.Dia sayangkan aku ke?.Yuri baru sedar akan sesuatu.
Tidak sampai beberapa saat,Ervin kembali di hadapannya dengan handyplast.Dia menarik tangan Yuri dan menampal handyplast itu di bahagian jari yang terluka.Yuri memandang wajah Ervin yang  sedang membelek jarinya itu lama.Mengapalah makhluk ciptaan Allah di hadapannya itu begitu menggoda dan menggetarkan kalbu?.
“Dahlah,awak tak payah basuh pinggan lagi.Jari tu dah terluka nanti pedih pulak kalau terkena air.Biar saya ambil alih tugas awak.” Ervin memberi arahan dengan wajah yang masih mengukir riak kebimbangan.
“Saya okeylah.Luka sikit je.” Yuri menjawab sambil tersenyum kecil.Cuba mengembalikan mood ceria pemuda itu.Terus hilang perasaan marah Yuri terhadapnya apabila Ervin melayan dia sebaik itu.Sanggup Ervin hendak menggantikan tugasnya hanya kerana jari Yuri terluka.
“Jangan degil.Lagipun tadi memang saya main tipu,kalau tidak awak yang menang,saya yang kalah.Jadi biarlah saya je yang basuh pinggan mangkuk ni.Awak pergilah buat kerja dekat luar.” Dia mengaku yang dia main tipu.Tak patut betullah dia ni!.Yuri ingin tergelak saat itu.
“Em,takpelah kalau macam tu.Awak basuh pinggan mangkuk,saya tolong susun.Boleh?” Yuri rasa bersalah jika membiarkan majikannya itu melakukan tugas membasuh seorang diri.Itu tugas kuli.Ervin orang atasannya.
“Degil betullah awak ni.Suka hati awaklah kalau macam tu.Hati-hati masa buat kerja.Jangan asyik berangan saja.” Ervin memerli dengan wajah serius.
Banyak juga pinggan mangkuk kotor yang perlu dicuci malam itu.Yuri dapat melihat Ervin menyinsingkan lengan baju dan melakukan kerjanya dengan cepat dan tangkas.Apabila dia sudah selesai mencuci,Yuri menyusun semua pinggan mangkuk itu di atas sebuah rak.Sudu dan garfu Yuri lap dengan sehelai kain putih hingga kering sebelum diletakkan dalam sebuah bekas.
Daripada gaya Ervin mencuci pinggan mangkuk,Yuri dapat merasakan pemuda itu sudah biasa dengan kerja itu.Mungkin dia pernah membantu ibunya mencuci pinggan mangkuk di rumah sendiri.Yuri memandai membuat andaian.Berdiri disisi Ervin dan melakukan tugas bersama menyebabkan hati Yuri berasa gembira.Yuri rasa sangat dekat dengan pemuda itu dan selesa bekerja dengan Ervin.Mengapa perasaan Yuri semakin pelik sekarang ini?.
Sewaktu jam menunjukkan pukul 9.15 malam Yuri dan Ervin terpaksa meninggalkan kerja membasuh pinggan mangkuk.Ini kerana staf servis di bahagian hadapan tidak cukup tangan melayan pelanggan.Biasalah,hujung minggu sebegini agak ramai orang yang ingin makan malam.Mak Piah yang tadinya membantu Aizul memotong piza kembali melakukan tugas mencuci yang Ervin dan Yuri tinggalkan.
Keadaan di bahagian hadapan Pizza Star agak bingit kerana dipenuhi pelanggan.Hampir semua meja penuh dan ramai yang sedang menikmati makanan.Yuri dan Ervin sama-sama mengemas meja yang kotor dan menghantar pesanan makanan mengikut nombor meja.Semua staf lain turut sibuk melakukan tugasan masing-masing.
“Kak,tolong ambil oder meja nombor 16.Ika seramlah nak ambik oder meja dia orang.” Ika berbicara perlahan dengan Yuri sebaik saja Yuri menghantar gelas kosong ke bar. Yuri membuang pandang ke arah meja yang dikatakan Ika.Terdapat empat orang lelaki dewasa duduk di situ.
“Okey.”
Yuri malas untuk berbual panjang dengan Ika.Masih ramai pelanggan yang memerlukan khidmat mereka.Pantas dia bergegas menuju ke meja nombor 16.Ervin yang sedang mengambil oder meja nombor 14 sempat melemparkan senyuman manis kepadanya.Yuri membalas senyumannya.Dengan senyuman itu,semangat untuk bekerja terasa bekobar-kobar apabila melihat wajah Ervin.
“Boleh saya ambil oder sekarang?”
Yuri mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pen daripada poket apron.Empat pasang mata di hadapannya memandang dengan senyuman gatal.Salah seorang daripada mereka adalah pelanggan tetap Pizza Star.Namanya Hamid.Seorang kontraktor yang berusia 54 tahun dan mempunyai tiga orang isteri.Dia adalah salah seorang daripada kenalan Kak Ifa.Jadi,Kak Ifalah yang menceritakan perihalnya kepada Yuri.Mungkin tiga lelaki lain di meja itu adalah rakan sekerja Hamid.
“Dah lama abang tak nampak awak Yuri.Rindu abang nak tengok awak.”
Hamid memulakan bicara dan Yuri hanya tersenyum.Padahal dalam hati sudah berbakul makian dihadiahkan untuk orang tua gatal itu.Pantang nampak muka Yuri,ada saja ayat menggelikan yang hendak diungkapkannya.Meremang seluruh bulu roma di atas badan ini apabila dia menggelarkan dirinya abang.Umur sudah sebaya dengan ayah Yuri ada hati hendak berlagak muda.Dasar orang tua tidak sedar diri!.
“Em,encik nak oder apa ni?” Yuri mengulang lagi ayat yang sama.Mujurlah prinsip pekerja restoran seperti Yuri,customer always right.Jika tidak,sudah lama dia tinggalkan meja itu.
“Betullah kata kau Mid.Cantik budak ni.Putih gebu.Eh,kenapa dengan jari adik ni?”
Tersirap darah Yuri apabila salah seorang daripada sahabat orang tua gatal itu menyentuh jarinya yang berbalut dengan handyplast.Pantas saja Yuri menarik tangannya dan mendengus kecil.Mereka berempat ketawa miang melihat reaksi Yuri .Jika diikutkan panas hati,ada yang kena tampar sekejap lagi ni!.
“Maaflah encik,masih ramai pelanggan lain yang menunggu saya untuk ambil oder mereka.Boleh saya ambil oder meja encik sekarang?” Yuri masih cuba tersenyum namun nada suara berubah tegas.
“Alahai cik adik manis ni.Janganlah marah-marah.Abang cuma nak bergurau dengan adik.” Sampuk seorang lagi sahabat Hamid dan mereka berempat kembali mengetawakan Yuri.
Belum sempat Yuri membuka mulut untuk mengeluarkan ayat seterusnya,terasa bahunya dipaut seseorang daripada arah belakang.Tanpa perlu Yuri memandang,dia dapat mengecam siapa yang berani melingkarkan tangan pada bahunya itu.Bau wangian yang dipakainya memang Yuri dah cam sangat.Tapi,apa pula tujuan dia memaut bahu Yuri?.
“Sayang,ada pelanggan nak jumpa sayang dekat depan Pizza Star.Sayang pergi jumpa dia sekejap biar saya ambil oder meja ni.”
Berderau darah Yuri apabila Ervin bersuara dengan kuat.Jelas wajah empat orang lelaki tua di hadapannya berubah serta merta.Terkejut dengan kedatangan Ervin yang tiba-tiba dan memanggil Yuri sayang,Yuri mengerling ke arah Ervin.Dia terkejut apabila melihat wajah pemuda itu yang masam mencuka dan langsung tiada secalit senyuman di situ.Ervin memberikan isyarat mata agar Yuri beredar dari situ.Yuri segera mengikut arahannya dan berlalu pergi.
Setelah melangkah agak jauh daripada meja tersebut,Yuri sempat mengintai Ervin yang sedang bersoal jawab dengan empat orang tua gatal itu.Beberapa ketika Yuri berlalu ke pintu hadapan Pizza Star untuk memastikan yang tiada pelanggan ingin menemui dirinya.Dia pasti Ervin hanya menipu dengan mangatakan ada pelanggan ingin menemuinya kerana dia tidak mahu Yuri mengambil oder meja tersebut.Ervin cemburu ke?
Beberapa minit berlalu Yuri kembali ke kawasan bar.Ervin berada di situ dengan wajah yang agak masam.Mujurlah pelanggan semakin berkurangan,jadi Yuri sempat untuk menyapa dia.
“Takde pelanggan pun yang nak jumpa saya? Kenapa awak panggil saya sayang dekat depan pelanggan tadi?” Yuri pura-pura bertanya untuk mendapatkan kepastian.
“Siapa lelaki tua tadi tu? Sesuka hati dia saja nak pegang tangan awak.Dahlah gelarkan diri dia abang.Tak sedar diri betul!” Ervin bertanya laju dan cuba menahan perasaan marah.Dia melihat semua insiden yang terjadi sebentar tadi.Ringan saja tangannya ingin menghayunkan buku lima pada pelanggan tua tidak sedar diri yang sewenang-wenang menyentuh jari buah hatinya.
“Salah seorang daripada lelaki tu adalah pelanggan tetap Pizza Star.Biasalah Ervin,orang tua gatal.Dia orang memang tak sedar diri pun yang dia orang tu dah tua.Bumi sudah kata pergi,kubur pula kata mari.Tapi,tetap mereka berlagak macam orang muda.” Yuri cuba membuat lawak.Namun,Ervin langsung tidak ketawa.
“Saya tak sukalah awak layan pelanggan yang macam tu.Sesuka hati dia saja nak sentuh tangan awak dan nak menggatal dengan awak.Benci betul saya tengok.”
Ervin mendengus kecil sebelum meraup wajah dengan tangan.Seperti meluahkan perasaan bengang dan geram.Daripada nadanya mengungkap kata dia seperti sedang menahan api cemburu yang bergelodak.Dia cemburu dengan empat orang tua gatal itu ke?.Yuri masih berteka teki.
Customer always right.Saya akan layan kerenah pelanggan selagi tidak melebihi batas.Itu prinsip kerja Pizza Star.” Yuri cuba menyedapkan hati pemuda itu.
“Saya tahu.Tapi saya betul-betul tak suka.Lain kali kalau orang tua gatal tu makan dekat sini lagi,awak jangan ambil oder meja dia.” Yuri tergelak kecil mendengar arahannya.Macamlah seorang kuli sepertinya boleh memilih meja pelanggan mana yang perlu diambil oder.
“Kenapa,awak cemburu ya?” Pertanyaan mengejut Yuri menyebabkan wajah Ervin yang tadinya putih bertukar merah.Dia melihat Yuri sekilas sebelum berpaling ke arah lain.Ervin menggelabah.
“Er..mana ada.Saya tak cemburu pun.” Ervin memberikan jawapan yang membuatkan Yuri sedikit terkilan.I
Belum sempat Yuri bertanyakan Ervin akan hal lain,Kak Ifa memasuki bar dan bertanyakan Yuri hal Hamid.Mungkin dia perasan yang Yuri mengambil oder meja Hamid sebelum Ervin campur tangan.Yuri menceritakan serba sedikit apa yang terjadi tanpa menyebut perihal Ervin yang memanggil dirinya sayang.Yuri tidak mahu menjadi bahan gosip di Pizza Star.
Ervin yang tadinya tidak mahu bertentang mata dengan Yuri akhirnya menunjukkan minat pada cerita Kak Ifa.Cerita mengenai pengalaman kebanyakkan staf servis Pizza Star dalam melayan kerenah pelanggan yang gatal seperti Hamid dan rakan-rakannya.Yuri tidak perlu mendengar cerita Kak Ifa dengan teliti.Ini kerana sepanjang dia bekerja di Pizza Star,sudah banyak peristiwa yang berlaku di hadapan matanya.Mujurlah dia dilindungi Allah dan dijauhkan daripada mengalami peristiwa yang memalukan.
“Kalau akak tak silap tahun lepas masa Miss Fatin jadi pengurus,ada seorang pelanggan mabuk meraba punggung seorang staf servis.Tapi kita orang tak boleh buat apa-apa pun sebab pelanggan tu memang mabuk sewaktu makan di Pizza Star.”
Cerita Kak Ifa menyebabkan Ervin kembali menatap wajah Yuri.Dia merenung Yuri lama dengan renungan yang penuh simpati dan bimbang.Entah apalah yang difikirkan lelaki di hadapannya itu.Ervin tersedar apabila Yuri mencucuk pinggangnya dengan jari telunjuk.
“Kenapa?” Yuri bertanya ringkas.Riak wajah Ervin seperti terganggu saat itu.
“Er..awak pernah mengalami pengalaman macam tu?” Pertanyaan Ervin membuatkan Yuri tergelak kecil.Patutlah semacam saja wajahnya memandang Yuri.Jauhnya dia berfikir.
“Tak pernahlah.Insya-Allah saya akan cuba elak daripada mengambil oder pelanggan yang gatal.Lebih selamat kalau suruh staf lelaki yang ambil.”
Jawapan Yuri menyebabkan Ervin menghembus nafas lega.Kemudian Ervin mengusap-usap lembut kepala Yuri dengan tangannya.Pandangan matanya sedikit bersinar berbanding tadi.Daripada pemandangan mata Yuri,Ervin betul-betul bimbang jika peristiwa buruk seperti cerita Kak Ifa berlaku kepadanya.Dia sangat prihatin soal Yuri.Dia sayangkan Yuri atau hanya Yuri yang syok sendiri?






BAB 15
Panggilan daripada Yusof hampir saja membuatkan jantung Yuri berhenti berfungsi.Hasnah dimasukkan ke dalam hospital kerana pengsan di tengah jalan.Yuir tidak tahu perkara sebenar yang terjadi.Namun panggilan itu cukup untuk membuatkan dia bergegas ke hospital dengan air mata yang berjuraian.Kerja di Pizza Star ditinggalkan begitu sahaja. Yuri telah memberitahu Mak Ngah akan hal yang telah terjadi agar mereka tidak tercari-cari akan dirinya.
Yuri tahu Hasnah mempunyai masalah tekanan darah tinggi.Namun,tidak pernah pula dia pengsan kerana penyakitnya itu.Sepanjang perjalanan menuju ke Hospital Kota Tinggi dengan menaiki teksi tidak putus-putus dia berdoa agar keadaan ibunya baik-baik sahaja.Yuri tidak dapat memikirkan apa yang akan berlaku jika sesuatu yang buruk menimpa ibunya.Dia adalah insan yang paling Yuri sayang.
Sebaik saja Yuri tiba di hospital,dia bergegas menuju ke nombor wad seperti yang diberitahu Yusof dalam telifon.Setibanya di wad,abah sedang duduk di sisi katil Hasnah yang sedang tidur.Yuri menghampiri katil yang dibaringi Hasnah dengan hati penuh kebimbangan.Dia menyalam tangan Yusof sebelum mengucup dahi Hasnah yang sedang tidur.Tangan ibunya dipasang dengan tiub air.Yusof bangun daripada duduk dan menepuk lembut bahu Yuri.Mengisyaratkan agar anak daranya itu keluar daripada wad bersamanya.Ada hal yang ingin dibincangkan.
Di luar wad,Yusof menceritakan perkara yang telah berlaku.Kata Yusof,dia dan Hasnah ke Kota Tinggi untuk membeli ubat di farmasi.Mungkin kerana cuaca yang panas terik dan perjalanan agak jauh menaiki bas,Hasnah telah pitam dan pengsan.Mujurlah ada seorang lelaki budiman yang melihat kejadian itu membantu Yusof menghantar isterinya untuk dirawat ke hospital dengan sebuah kereta.Mengikut kata doktor keadaan ibunya baik-baik sahaja.Cuma tekanan darahnya agak tinggi dan dia dehidrasi.Yuri mengucap syukur apabila Yusof memberitahu hal itu.
Yusof meminta Yuri menjaga Hasnah kerana dia ingin pulang ke rumah seketika untuk bertukar pakaian sebelum datang kembali ke hospital.Sebaik saja Yusof pulang,Yuri kembali melihat ibunya.Ibunya masih tidur,jadi Yuri tidak mahu menggangu lenanya.Yuri duduk di luar wad sebelum menghubungi ketiga-tiga orang abangnya dan memberitahu mereka peristiwa yang telah terjadi.Mereka berjanji akan datang melawat Hasnah secepat mungkin.
Yuri menghela nafas panjang dan beteleku seketika di luar wad.Perkara seperti hari ini tidak akan terjadi kepada emak jika aku mampu menyediakan emak sebuah kereta.Emak tidak akan berasa panas sehingga pitam.Emak dan abah boleh berjalan ke mana saja yang mereka mahu tanpa rasa penat jika aku mampu menyediakan mereka seorang pemandu kereta.Emak dan abah tidak perlu ke farmasi setiap bulan untuk membeli ubat jika aku mampu menyediakan seorang doktor persendirian untuk mereka.Mengapa aku sebagai seorang anak tidak mampu menyediakan semua kelengkapan itu untuk kedua orang tua yang paling aku sayangi? Mengapa nasib aku perlu sebegini? Mengapa Allah tidak melahirkan aku seperti Ace?Pasti kedua orang tuanya bangga mempunyai anak sepertinya.Ratap Yuri dalam hati.
Sungguh Yuri akan menyalahkan diri sendiri jika sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada Hasnah atau Yusof.Dia merasakan tanggungjawabnya untuk menyenangkan hidup ibu bapanya di atas dunia ini masih belum tertunai.Tanpa sedar air mata yang tadinya hampir kering kembali membasahi pipi.
“Yuri,awak buat apa dekat sini?”
Satu suara menyapa lembut pedengaran Yuri.Apabila dia mendongak,jelas kelihatan wajah seorang pemuda dihadapannya.Wajah yang amat dia kenali dan beberapa hari ini wajah itu yang sering muncul dalam mimpinya.Namun,bagaimana dia boleh berada di hadapan Yuri sekarang?.
“Hei,kenapa menangis ni?”
Ervin berlutut di kaki Yuri dan memandang gadis itu dengan riak penuh kebimbangan dan simpati.Pertama kali melihat gadis kesayangannya mengalirkan air mata.Dahulu sewaktu Ervin memarahi atau mempermainkan Yuri,gadis itu tidak akan mengalirkan air mata.Apa sebenarnya yang berlaku hingga Yuri yang begitu kental menjadi rapuh?.Yuri menjadi semakin sebak apabila melihat wajah Ervin,hatinya berasa semakin sayu.Semakin banyak air mata mengalir keluar tanpa dapat ditahan.
“Yuri,janganlah menangis macam ni.Risau betullah saya tengok.Apa yang telah berlaku? Cuba beritahu saya?.Emmm..”
Ervin memegang kedua belah pipi gadis itu dan mengelap air mata dengan kedua ibu jarinya.Renungan mata Ervin kelihatan sarat dengan kasih sayang dan rasa ingin tahu.Yuri menarik tangan pemuda itu agar bangun daripada terus melutut dan duduk di sebelahnya.Dengan sedu sedan dan air mata yang tidak henti berjuraian ,Yuri menceritakan perihal yang terjadi kepada Ervin.
“Awak banyakkan sabar ya Yuri.Setiap apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya.Awak berdoalah kepada Allah agar keadaan ibu awak baik-baik saja.” Ervin memberikan nasihat apabila gadis itu tamat bercerita.
“Saya tahu.Tapi saya betul-betul tak boleh menerima hakikat jika sesuatu yang buruk menimpa emak saya.Saya sangat sayangkan dia Ervin.Saya tak suka dia sakit!.”
Yuri meluahkan perasaan dengan fikiran berserabut.Air mata semakin galak keluar daripada tubirnya.
“Jangan macam ni Yuri.Semua orang pun sayangkan ibu mereka dan tidak suka ibu mereka sakit.Tapi ketahuilah bahawa sakit itu adalah salah satu daripada ujian Allah kepada orang yang menghadapi dan orang-orang yang berada di sisinya.Sabarlah menghadapinya kerana sabar itu sebahagian daripada iman.Manusia tidak akan lepas daripada sakit atau mati.Kita sebagai hambanya,wajar menerima semua ujian ini dengan redha.”
Kata-kata Ervin membuatkan Yuri semakin sebak.Yuri menjatuhkan dahinya di bahu Ervin dan menangis di situ.Dia seperti mengerti perasaan Yuri.Dia mengusap-usap kepala Yuri perlahan dan membiarkan gadis itu menangis di atas bahunya.Ervin langsung tidak beralih posisi atau mengungkap sebarang kata.Hanya tangisan kecil Yuri yang kedengaran berlagu di hadapan wad itu.Dengan kehadiran Ervin di sisi,kesedihan yang Yuri alami terasa sedikit berkurangan berbanding tadi.
....................
Selama tiga hari Yuri berulang alik ke wad selepas waktu kerja bersama Ervin.Ervin  membenarkan Yuri bekerja shift pagi setiap hari hingga Hasnah keluar daripada wad.Waktu pagi,Yusof dan tiga orang anak lelakinya bergilir-gilir menjaga Hasnah.Selepas tekanan darah tinggi Hasnah stabil,doktor membenarkan ibu Yuri itu dibawa pulang ke rumah.Ervin berbaik hati untuk menghantar Hasnah,Yuri dan Yusof pulang ke kampung.
Yusof bertemu dengan Ervin ketika dia datang melawat Hasnah bersama Yuri untuk kali kedua. Barulah Yuri tahu bahawa pemuda yang membantu menghantar ibunya ke hospital kali lepas adalah Ervin.Ervin langsung tidak memberitahu Yuri akan hal itu dari awal  sehinggalah dia berjumpa dengan Yusof.Yusof yang mengecam Ervin,lantas memberitahu Yuri akan hal itu.
Ervin kata dia menolong Hasnah dengan ikhlas dan bukan kerana perempuan tua yang ditolonginya itu adalah ibu Yuri.Sungguh  Yuri sangat terharu dengan pertolongannya.Tidak putus-putus Yuri mengucapkan terima kasih atas jasanya itu.Jika Ervin tidak membantu di saat Hasnah pengsan di kaki lima,mungkin keadaan ibu Yuri itu akan lebih teruk.Yuri  terhutang budi dengan Ervin.
Sepanjang perjalanan menuju ke Kampung Sayang,Hasnah tidak berhabis memuji Ervin secara terang-terangan.Begitu juga dengan Yusof yang duduk di sisi Ervin.Yuri yang duduk di bahagian belakang BMW 5 Series itu bersama ibunya dapat melihat wajah Ervin tersipu malu dan agak kemerahan melalui cermin kereta.Masakan tidak,Hasnah yang baru keluar daripada wad itu berkelakuan seperti seorang wanita yang langsung tidak pernah mengalami sakit.Rancak saja mulutnya bertanya itu dan ini kepada Ervin.Dan majikan Yuri itu tidak jemu menjawab setiap pertanyaan Hasnah.Sungguh Yuri terharu dengan sikapnya.Ervin boleh memandu dengan wajah yang ceria dan diselangi gelak tawa apabila berbual dengan kedua orang tuaYuri.
...............................
Sebagai tanda berterima kasih kepada Ervin,Hasnah menjemputnya makan di rumah keesokan harinya.Pada mulanya,Yuri ingatkan Ervin akan menolak pelawaan itu.Ini kerana sewaktu menghantar Yuri,Hasnah dan Yusof pulang semalam Ervin terus bergegas untuk pulang ke rumah.Katanya dia ada urusan penting.Hati Yuri sedikit curiga ketika itu dengan berfikiran yang Ervin tidak berminat untuk memasuki rumah orang biasa seperti Yuri.
Tetapi hari ini,persepsi Yuri berubah begitu sahaja apabila Ervin molek melangkah masuk ke dalam rumah kampungnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga.Mujurlah hari itu,Yuri bercuti daripada bekerja.Jadi bolehlah dia membantu Hasnah mengemaskan rumah dan menyediakan makanan untuk santapan bersama.Abang-abang Yuri telah pulang ke Johor Bharu untuk menjalankan kerja masing-masing.Adiknya pula menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Satu sikap Ervin yang menarik perhatian Yuri,dia amat peramah dan menghormati orang tua.Buktinya Yusof yang kurang  bercakap itu kelihatan gembira berborak dengannya di ruang tamu.Daripada dapur Yuri dapat mendengar suara Ervin yang memuji keindahan persekitaran rumah Yuri.
Rumah Yuri hanyalah sebuah rumah batu yang bersaiz sederhana besar.Terletak tidak jauh dari jalanraya dan dikelilingi oleh rumput yang menghijau.Terdapat beberapa jenis pokok yang ditanam tidak jauh daripada rumah mereka.Yusof sentiasa menjaga kawasan persekitaran rumah.Jika rumput panjang,dia akan menebasnya dengan mesin rumput.Jika pokok kurang subur,dia akan membaja dan menyiramnya.Hasilnya,persekitaran rumah  mereka sangat bersih dan cantik dengan kehijauan warna daun.
“Wah,banyaknya lauk.Awak ke yang masak semua ni Yuri?”
Ervin bertanya sebaik saja Yusof mengajak dia ke meja makan.Makanan semua telah dihidang atas meja.Ada ikan keli goreng cili padi,ayam goreng berempah,kangkung goreng belacan,sup tahu dan udang masak sambal.Dulu Ervin pernah cakap yang dia tidak memilih dalam soal makan.Jadi, Yuri hendak lihat sejauh mana kebenaran yang dia katakan itu.Yuri fikir Ervin temberang saja untuk mengambil hatinya.
“Kalau Yuri yang masak semua lauk ni,jawabnya memang tak boleh dimakanlah Vin.Dia bukan pandai masak pun.” Yusof selamba memberi informasi percuma kepada Ervin.Mahu tidak tebal seinci muka Yuri apabila Ervin memandangnya dan tergelak kecil.
Yuri memanglah tidak pakar dalam bidang masakan.Namun,itu bukan bermakna dia langsung tidak pandai memasak.Setakat masak nasi,nasi goreng dan dua tiga jenis lauk yang mudah,dia pandailah.Jika hendak bandingkan kehandalan Hasnah memasak dengan Yuri,memang langsung tidak samalah.Yuri boleh katakan ibunya mampu memasak hampir ke semua jenis masakan melayu dengan sedap dan cepat.Bila Yuri cuba memasak sesuatu resepi yang sukar,akhirnya masakan itu tidak menjadi dan dibuang begitu saja.Sebab itulah bapanya selalu kata masakan Yuri tidak boleh dimakan.
“Oh,saya ingatkan semua gadis-gadis kampung pandai memasak.Rupa-rupanya saya silap.” Menyirap darah Yuri apabila Ervin berkata begitu.Sudahlah Yuri sedang menuangkan dia segelas air sirap limau.Ada juga air itu kena jirus air itu atas kepala!.
“Makcik rasa dalam kampung ni cuma anak dara makcik ni jelah yang tak pandai memasak.Entah siapalah lelaki malang yang nak ambil anak makcik ni sebagai isteri” Sampuk Hasnah dan Ervin ketawa.
“Mak,sampai hati cakap Yuri macam tu.” Yuri  menarik muncung sedepa dan hendak berjauh hati apabila emak dan abahnya berpakat hendak mengutuk dia di hadapan Ervin.Ervin pula senang hati melihat Yuri naik darah.Sabar sajalah dengan dia ni!.
“Takpe makcik.Sebelum dia kahwin suruh dia belajar memasak dulu.Bila dia dah pandai memasak barulah boleh kahwin.Kalau tak kesian suami dia kena masak dekat rumah” tokok Ervin bersungguh.
Yuri mendengus geram dan menjelingnya tajam apabila Hasnah dan Yusof ketawa geli hati.Sibuk saja hendak suruh akubelajar memasak.Macamlah aku hendak kahwin dengan dia!.Protes Yuri dalam hati.
“Dahlah,depan rezeki jangan bermasam muka.Ervin baca doa makan,lepas tu kita boleh mula makan.” Arah Yusof sambil memandang Ervin yang duduk disebelahnya.Bertentangan dengan Yuri.Mungkin abah perasan yang wajah anak daranya sudah semasam cuka saat itu.
Teruja pulak Yuri hendak mendengar suara Ervin membaca doa.Jangan dia kata dia tidak tahu membaca doa makan sudahlah.Apabila Ervin membuka mulut dan memulakan bacaan yang pendek itu,Yuri terkedu.Merdunya suara dia walaupun ayat itu pendek sahaja.Seketika dia terpana dan memandang pemuda di hadapannya itu tanpa berkelip.
“Yang kau pandang muka Ervin macam kau nak makan dia tu kenapa? Makan nasi tu Yuri.”
Teguran Hasnah membuatkan Yuri tersedar.Ervin baru perasan yang Yuri merenungnya dan dia tersenyum nakal.Cepat-cepat saja Yuri menundukkan wajah dan memulakan suapan.Wajah terasa membahang saat itu.Pasti Ervin sakan menggelakkan dia dalam hati saat itu.

Sepanjang makan tengahhari itu,Yuri banyak mendiamkan diri.Tidak mahu kena perli dengan kedua orang tuanya lagi.Dia membiarkan kedua orang tuanya berbual mesra dengan Ervin. Melalui pertanyaan Yusof,barulah Yuri tahu bahawa moyang Ervin sebelah bapanya berbangsa Cina dan Rusia.Patutlah wajah Ervin langsung tidak iras dengan wajah lelaki melayu tulen.Rupanya genetik sudah bercampur aduk.Untunglah sesiapa yang dapat menjadi isteri dia.Dapatlah menatap wajah kacaknya itu 24 jam.Ya Allah,apa yang kau merepek ni Yuri!.Jauh betul fikiran melayang.

No comments: